Minyak pati oregano adalah minyak yang dihasilkan daripada tumbuhan herba oregano. Minyak pati oregano ini mempunyai banyak khasiat dan kegunaan. Justeru itu, artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai khasiat dan kegunaan minyak pati oregano.
Oregano (Origanum vulgare) adalah tumbuhan herba dimana daunnya selalu digunakan dalam masakan Itali dan Mexico. Tumbuhan ini tumbuh di kawasan beriklim sederhana iaitu Barat-Baratlaut Eurasia dan Mediterranean.
Minyak pati oregano pula turut banyak digunakan dalam perubatan tradisional kerana ciri-ciri antibakteria, antikulat, antiradang dan antioksidannya.
Artikel ini akan menyenaraikan beberapa khasiat dan kegunaan minyak pati oregano dalam perawatan atau kegunaan seharian berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.
1. Boleh Melawan Bakteria
Minyak pati oregano terkenal dengan ciri-ciri antibakterianya.
Minyak pati oregano didapati boleh mencegah bakteria-bakteria yang rintang terhadap ubat seperti Acinetobacter baumannii, Pseudomonas aeruginosa dan methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA). [1]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan, jangkitan saluran pernafasan, jangkitan saluran kencing atau jangkitan pada kulit.
Minyak pati oregano juga turut menunjukkan kesan antibakteria yang kuat terhadap bakteria-bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan seperti Listeria monocytogenes, L. plantarum, S.aureus, E.coli, Salmonella Typhimurium, Y. enterocolitica dan P. aeruginosa. [2]
Malah, minyak pati oregano menunjukkan kesan antibakteria yang paling kuat berbanding minyak pati lain.
2. Mengandungi Antioksidan
Minyak pati oregano turut mengandungi antioksidan yang kuat seperti:
- Karvakrol (Carvacrol). Sebatian ini didapati boleh merencatkan pertumbuhan pelbagai jenis bakteria.
- Timol (Thymol). Sebatian ini boleh membantu menguatkan sistem imun badan dan melindungi daripada toksin.
- Eugenol. Sebatian ini mempunyai ciri-ciri antioksidan, antiradang, antibakteria serta analgesik.
- Rosmarinic acid . Sebatian ini bersifat antioksidan yang kuat dan boleh melindungi badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Ciri-ciri antioksidan dalam minyak pati oregano sangat bermanfaat untuk melindungi badan manusia daripada radikal bebas.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung dan jumlahnya melebihi antioksidan, ia akan menyebabkan tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, diabetes, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Dalam satu kajian tabung uji, minyak pati oregano didapati mempunyai 3 hingga 30 kali ganda antioksidan berbanding herba-herba lain seperti thyme, marjoram, parsley atau rosemary. [3]
3. Boleh Melawan Keradangan
Keradangan yang berpanjangan dalam badan boleh mendatangkan kesan yang negatif terhadap badan.
Oleh itu, adalah penting untuk kita mendapatkan makanan yang boleh mengurangkan keradangan tersebut.
Kajian-kajian turut mendapati minyak pati oregano turut boleh mengurangkan keradangan.
Satu kajian oleh pengkaji dari University of Catania, Itali mendapati minyak pati oregano boleh membantu mengurangkan keradangan dan menyokong penyembuhan luka. [4]
Kajian juga turut mendapati kesan antiradang sebatian karvakrol dalam sistem pernafasan manusia. Kajian semula dan metaanalisis terhadap 17 kajian mendapati karvakrol ini boleh mengurangkan penanda-penanda keradangan. [5]
4. Boleh Membantu Merawat Jangkitan Yis
Yis adalah sejenis kulat. Kulat jenis Candida adalah spesies kulat yang sering menjangkiti manusia termasuklah jangkitan yis pada faraj wanita.
Kajian tabung uji mendapati minyak pati oregano turut berkesan dalam mencegah atau melawan jangkitan 5 jenis Candida yang berbeza. Ini termasuklah jenis yang menyebabkan jangkitan pada mulut dan faraj. [6]
Terdapat juga kajian yang mendapati minyak pati oregano turut menunjukkan aktiviti-aktiviti antikulat terhadap kulat jenis Candida glabrata. [7]
Candida glabrata adalah yis atau kulat yang boleh menyebabkan jangkitan pada saluran kencing, jangkitan di kemaluan, mulut dan salur darah.
5. Boleh Mencegah Penuaan Kulit
Khasiat dan kegunaan minyak pati oregano juga turut didapati berpotensi digunakan dalam produk-produk kosmetik.
Kajian yang dijalankan terhadap minyak pati oregano yang ditanam di negara tropika menunjukkan aktiviti antipenuaan kulit yang kuat, bahkan lebih kuat dari asid askorbik (vitamin C) melalui pencegahan pemusnahan kolagen, elastin dan asid hialuronik. [8]
Ketiga-tiga komponen ini penting untuk struktur dan keanjalan kulit.
6. Baik untuk Kesihatan Usus
Minyak pati oregano juga turut berkhasiat kepada usus.
Usus manusia terdedah kepada jangkitan parasit terutamanya melalui makanan atau minuman. Simptom-simptom seperti cirit-birit, sakit perut atau loya mungkin menjadi petanda kepada jangkitan parasit.
Satu kajian klinikal yang dijalankan terhadap 14 orang pesakit yang mengalami jangkitan parasit mendapati pengambilan minyak oregano setiap hari selama 6 minggu berjaya melenyapkan parasit-parasit yang menyebabkan jangkitan tersebut. [9]
7. Berpotensi Mencegah Kanser
Minyak pati oregano melalui sebatian utamanya, karvakrol berpotensi dalam mencegah kanser.
Khasiat minyak pati oregano ini dapat dilihat dalam satu kajian yang mendapati karvakrol berpotensi dalam mencegah dan merawat kanser kolon (usus).
Karvakrol boleh merencatkan perkembangan dan migrasi sel-sel kanser kolon. Selain itu, karvakrol juga dilihat boleh membunuh sel-sel kanser kolon bergantung kepada dos. [10]
Karvakrol juga didapati turut mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser serviks. Kajian terhadap sel-sel kanser serviks mendapati karvakrol boleh membunuh sel-sel kanser tersebut. [11]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan.
8. Boleh Mengurangkan Kesakitan
Minyak pati oregano juga mempunyai ciri-ciri seperti ubat penghilang kesakitan.
Kesan analgesik minyak pati oregano disumbang oleh kandungan sebatian karvakrol yang tinggi dalam minyak pati ini. Ia dibuktikan dalam kajian terhadap haiwan yang menunjukkan karvakrol boleh mengurangkan kesakitan. [12]
Selain itu, gabungan sebatian karvakrol dan eugenol yang turut terdapat dalam minyak pati oregano ini juga turut mempunyai khasiat dan kegunaan dalam mengurangkan kesakitan.
Kesan kedua-dua sebatian ini dapat dilihat dalam kajian terhadap manusia yang mendapati sebatian-sebatian ini menyebabkan penyahpekaan terhadap bahan iritasi. [13]
9. Boleh Menghalau Serangga
Minyak peti oregano juga boleh digunakan sebagai bahan penghalau serangga seperti nyamuk atau kutu.
Kajian yang melibatkan kajian tabung uji dan terhadap manusia mendapati sebatian karvakrol dan timol boleh menghalau nyamuk dan kutu. [14]
Kajian-kajian lanjut mungkin boleh menguatkan lagi hasil kajian ini. Walau bagaimanapun, menyapu minyak pati oregano yang telah dicairkan pada kulit mungkin boleh membantu menghalau serangga.
10. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Minyak pati oregano juga mungkin boleh membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Chieti-Pescara, Itali yang mendapati sebatian karvakrol boleh mengganggu proses yang membawa kepada penghasilan dan pengumpulan tisu-tisu lemak. [15]
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk menguatkan hasil kajian ini.
Rumusan
Minyak pati oregano adalah salah satu minyak pati yang mempunyai banyak khasiat dan kegunaan.
Kajian-kajian mendapati minyak pati oregano mempunyai khasiat dan kegunaan dalam melawan bakteria, melawan keradangan, merawat atau mencegah jangkitan yis dan lain-lain lagi.
Pengguna minyak pati ini juga harus peka bahawa minyak pati ini mempunyai kepekatan tinggi dan harus dicairkan dahulu sebelum digunakan.
Rujukan
- Lu, M. et al. (2018). Bactericidal Property of Oregano Oil Against Multidrug-Resistant Clinical Isolates. Frontiers in microbiology.
- Elgayyar, M. et al. (2001). Antimicrobial activity of essential oils from plants against selected pathogenic and saprophytic microorganisms. Journal of food protection.
- Zheng, W., & Wang, S. Y. (2001). Antioxidant activity and phenolic compounds in selected herbs. Journal of agricultural and food chemistry.
- Avola, R. et al. (2020). Oregano (Origanum vulgare L.) essential oil provides anti-inflammatory activity and facilitates wound healing in a human keratinocytes cell model. Food and chemical toxicology.
- de Carvalho, F. O. et al. (2020). Anti-inflammatory and antioxidant activity of carvacrol in the respiratory system: A systematic review and meta-analysis. Phytotherapy research.
- Pozzatti, P. et al. (2008). In vitro activity of essential oils extracted from plants used as spices against fluconazole-resistant and fluconazole-susceptible Candida spp. Canadian journal of microbiology.
- Soares, I. H. et al. (2015). In vitro activity of essential oils extracted from condiments against fluconazole-resistant and -sensitive Candida glabrata. Journal de mycologie medicale.
- Laothaweerungsawat, N. et al. (2020). Chemical Compositions and Anti-Skin-Ageing Activities of Origanum vulgare L. Essential Oil from Tropical and Mediterranean Region. Molecules.
- Force, M. et al. (2000). Inhibition of enteric parasites by emulsified oil of oregano in vivo. Phytotherapy research.
- Fan, K. et al. (2015). Carvacrol inhibits proliferation and induces apoptosis in human colon cancer cells. Anti-cancer drugs.
- Ahmad, A., & Ansari, I. A. (2020). Carvacrol Exhibits Chemopreventive Potential against Cervical Cancer Cells via Caspase-Dependent Apoptosis and Abrogation of Cell Cycle Progression. Anti-cancer agents in medicinal chemistry.
- Cavalcante Melo, F. H. et al. (2012). Antinociceptive activity of carvacrol (5-isopropyl-2-methylphenol) in mice. The Journal of pharmacy and pharmacology.
- Klein, A. H. et al. (2013). Eugenol and carvacrol induce temporally desensitizing patterns of oral irritation and enhance innocuous warmth and noxious heat sensation on the tongue. Pain.
- John F. Carroll, et al. (2017). Repellency of the Origanum onites L. essential oil and constituents to the lone star tick and yellow fever mosquito. Natural Product Research.
- Spalletta, S. et al. (2018). Carvacrol reduces adipogenic differentiation by modulating autophagy and ChREBP expression. PloS one.