Kaskas atau biji popi adalah biji yang diperolehi daripada pokok popi (Papaver smoniferum). Mungkin tidak ramai yang mengetahui akan khasiat kaskas ini. Oleh itu, artikel kali ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat kaskas berdasarkan kajian dan risiko yang wujud bagi pengambilan biji ini.
Kaskas terkenal akan kegunaannya dalam pastri dan roti atau bahan tambahan dalam masakan. Biji ini dikatakan berasal dari Timur Mediterranean dan mempunyai sejarah penggunaannya sendiri.
Perubatan Mesir Kuno ada menyebut mengenai biji popi atau kaskas yang digunakan sebagai sedatif (ubat penenang).
Terdapat catatan Yunani yang menceritakan tentang penggunaan kaskas ini dalam perubatan. Biji ini digunakan sebagai analgesik, sedatif dan perangsang. Selain itu, kaskas turut berguna dalam merawat sakit kepala, batuk, insomnia, asma dan juga sakit kolik. [1]
Walaupun kaskas mempunyai banyak khasiat dan potensi perubatan, terdapat risiko yang wujud yang perlu pengawalan dalam pengambilan biji ini.
Getah daripada pokok popi ini mengandungi sebatian narkotik iaitu morfin dan kodeina. Umumnya, biji popi atau kaskas ini tidak mengandungi sebatian ini tetapi boleh tercemar dengan sebatian narkotik ini semasa proses penuaian atau akibat serangan serangga perosak. [2]
Berikut adalah beberapa khasiat kaskas untuk kesihatan yang disokong oleh kajian.
1. Kaya dengan Zat-zat Penting
Kaskas atau biji popi ini mengandungi zat-zat yang bermanfaat seperti serat, protein dan lain-lain.
Bagi sesudu kaskas (8.8 gram) terdapat zat-zat berikut: [3]
- Tenaga: 46.2 kcal
- Protein: 1.6 gram
- Lemak: 3.7 gram
- Karbohidrat: 2.5 gram
- Serat: 1.7 gram
- Kalsium: 127 miligram
- Zat besi: 0.9 miligram
- Magnesium: 30.5 miligram
- Fosforus: 76.6 miligram
- Kalium: 63.3 miligram
- Zink: 0.7 miligram
- Mangan: 0.6 miligram
- Selenium: 1.2 mikrogram
- Folat: 7.2 mikrogram
- Vitamin E: 0.16 miligram
Selain itu, kaskas juga turut mengandungi sedikit vitamin C dan kumpulan vitamin B iaitu B1, B2, B3, B5 dan B6.
Kaskas agak tinggi dengan mineral mangan iaitu 26% daripada saranan pengambilan nutrien bagi rakyat Malaysia.
Mangan adalah mineral yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan tenaga dan melindungi sel-sel daripada kerosakan. Mangan juga diperlukan untuk membina tulang yang kuat, pembekuan darah, pembiakan dan juga kesihatan sistem imun.
Selain itu, kaskas juga turut tinggi dengan mineral kalsium yang penting untuk tulang yang sihat dan fungsi-fungsi badan yang lain.
2. Mengandungi Antioksidan
Kaskas juga turut mengandungi antioksidan yang boleh mencegah sel-sel badan daripada rosak akibat daripada radikal bebas.
Vitamin E adalah salah satu antioksidan larut lemak yang terkandung dalam kaskas yang boleh membantu menghentikan penghasilan radikal bebas. Melalui mekanisme ini, vitamin E dipercayai boleh membantu mencegah atau melambatkan penyakit kronik yang berkaitan dengan radikal bebas. [4]
Selain itu, kajian juga turut melaporkan bahawa ekstrak kaskas dan minyak kaskas turut menunjukkan aktiviti antioksidan. [5]
Kajian terhadap haiwan juga mendapati minyak kaskas (minyak biji popi) boleh meningkatkan kapasiti antioksidan melalui peningkatan paras glutation dalam kalangan haiwan yang mengalami kerosakan tisu otak yang boleh membawa kepada strok. [6]
Glutation ialah antioksidan yang dihasilkan oleh badan.
3. Boleh Membantu Meningkatkan Kesihatan Jantung
Biji dan minyak kaskas juga mengandungi lemak monotaktepu dan politaktepu yang bermanfaat kepada kesihatan jantung.
Selain antioksidan, kajian turut mencadangkan bahawa pemakanan yang tinggi dengan lemak monotaktepu atau politaktepu sebagai ganti kepada lemak tepu boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan juga strok. [7, 8]
Kandungan serat dalam kaskas juga boleh menyumbang ke arah kesihatan jantung. Serat terutamanya serat larut boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Analisis menunjukkan bahawa serat larut boleh membantu mengurangkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [9]
Meskipun begitu, penggunaan kaskas ini juga masih perlu pada paras sederhana kerana biji ini mempunyai nisbah omega-6 kepada omega-3 yang agak tinggi. Nisbah omega-6 kepada omega-3 yang tinggi boleh meningkatkan risiko keradangan dan penyakit. [10]
4. Membantu Penghadaman
Kandungan serat dalam kaskas ini juga turut boleh membantu sistem penghadaman dan mencegah daripada berlakunya sembelit.
Analisis menunjukkan bahawa diet yang tinggi dengan serat dapat meningkatkan kekerapan membuang air besar bagi mereka yang menghidap sembelit. [11]
5. Meningkatkan Kesuburan
Salah satu khasiat kaskas ialah membantu meningkatkan kesuburan wanita. Kebaikan ini disumbang oleh minyak kaskas melalui satu teknik perubatan yang berusia lebih 100 tahun.
Teknik atau prosedur ini dikenali sebagai “hysterosalpingography” ini melibatkan semburan minyak kaskas atau air pada tiub Fallopio.
Kajian ini mendapati wanita yang menjalani prosedur ini dengan semburan minyak kaskas didapati lebih subur berbanding wanita yang menjalani prosedur ini menggunakan air. [12]
6. Membantu Menguatkan Tulang
Kaskas juga tinggi dengan mineral-mineral yang diperlukan untuk tulang yang kuat.
Mineral seperti kalsium, tembaga, magnesium, zink dan fosforus adalah antara nutrien-nutrien yang diperlukan untuk mempunyai tulang yang sihat dan kuat.
Kajian terhadap wanita pascamenopaus yang mengalami ketumpatan tulang yang rendah dan tulang yang rapuh turut mendapati diet yang rendah dengan mineral-mineral seperti kalsium, zink, magnesium dan tembaga turut menjadi faktor penyumbang kepada masalah tulang rapuh ini. [13]
Risiko Pengambilan Kaskas
Secara umumnya, kaskas adalah selamat di makan.
Namun, terdapat kebimbangan mengenai kandungan dadah seperti morfin dan kodeina di dalam makanan ini. Sebatian narkotik (dadah) seperti morfin dan kodeina ini terkandung dalam getah pokok popi.
Pada asasnya, biji popi atau kaskas ini tidak mengandungi sebatian narkotik seperti morfin dan kodeina ini. [2]
Walau bagaimanapun, biji kaskas ini boleh tercemar dengan sebatian ini semasa proses penuaian atau akibat serangan serangga perosak.
Terdapat kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Sains Malaysia terhadap pengambilan makanan seperti kari yang ditambah dengan kaskas.
Kajian ini mendapati sekiranya masakan seperti kari ini ditambah dengan kaskas pada kadar yang tinggi boleh menyebabkan keputusan positif bagi ujian dadah dalam air kencing. Selain itu, pengambilan air minuman selepas makan makanan yang mengandungi kaskas juga turut mempengaruhi keputusan bagi ujian dadah dalam air kencing ini. [14]
Pengguna juga harus berhati-hati dengan kaskas yang tidak dibersihkan, teh biji popi (teh kaskas) atau produk yang mengandungi kaskas yang diiklankan sebagai pelega kesakitan semulajadi atau produk yang boleh membantu untuk tidur.
Produk-produk seperti ini boleh menyebabkan ketagihan, terlebih dos atau kematian. [15]
Rumusan
Kaskas atau biji popi adalah biji yang mengandungi pelbagai nutrien-nutrien yang bermanfaat untuk kesihatan.
Selain itu, kaskas turut mengandungi antioksidan, boleh membantu penghadaman, menyihatkan jantung, meningkatkan kesuburan wanita dan juga membantu menguatkan tulang.
Meskipun begitu, terdapat kebimbangan yang harus diberi perhatian akan pengambilan kaskas ini iaitu kandungan dadah yang mungkin wujud bersama-sama biji ini.
Selagi kaskas ini diambil atau dimakan pada kadar yang sedikit dan berkala, kesan kandungan morfin dan kodeina dalam makanan ini mungkin tidak ketara.
Rujukan
- Masihuddin, M., et al. (2018). TRADITIONAL USES, PHYTOCHEMISTRY AND PHARMACOLOGICAL ACTIVITIES OF PAPAVER SOMNIFERUM WITH SPECIAL REFERENCE OF UNANI MEDICINE AN UPDATED REVIEW. Journal of Drug Delivery and Therapeutics.
- EFSA Panel on Contaminants in the Food Chain (CONTAM) et al. (2018). Update of the Scientific Opinion on opium alkaloids in poppy seeds. EFSA journal.
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- National Institutes of Health.(2021). Vitamin E.
- Ishtiaque, S. (2013). Antioxidant Potential of the Extracts, Fractions and Oils Derived from Oilseeds. Antioxidants.
- Cevik-Demirkan, A. et al. (2012). Poppy seed oil protection of the hippocampus after cerebral ischemia and re-perfusion in rats. Biotechnic & histochemistry.
- Mozaffarian, D. et al. (2010). Effects on coronary heart disease of increasing polyunsaturated fat in place of saturated fat: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. PLoS medicine.
- Schwingshackl, L., & Hoffmann, G. (2014). Monounsaturated fatty acids, olive oil and health status: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Lipids in health and disease.
- Brown, L., et al. (1999). Cholesterol-lowering effects of dietary fiber: a meta-analysis. The American journal of clinical nutrition.
- Russo G. L. (2009). Dietary n-6 and n-3 polyunsaturated fatty acids: from biochemistry to clinical implications in cardiovascular prevention. Biochemical pharmacology.
- Yang, J., et al. (2012). Effect of dietary fiber on constipation: a meta analysis. World journal of gastroenterology.
- Dreyer, K. et al. (2017).Oil-Based or Water-Based Contrast for Hysterosalpingography in Infertile Women. N Engl J Med.
- Mahdavi-Roshan, M. et al. (2015). Copper, magnesium, zinc and calcium status in osteopenic and osteoporotic post-menopausal women. Clinical cases in mineral and bone metabolism.
- Gan, C. Y. et al. (2019). Profiling of morphine and codeine in urine after the ingestion of curry containing poppy seed as an evidence for opiates defence in Malaysia. Forensic science international.
- Powers, D. et al. (2018). Quantification of Morphine, Codeine, and Thebaine in Home-Brewed Poppy Seed Tea by LC-MS/MS. Journal of forensic sciences.