Kailan atau nama Inggerisnya “Collard” atau “Collard green” adalah sayuran daripada keluarga kubis (Brassica). Kailan mempunyai banyak khasiat yang menarik yang menjadikannya salah satu makanan yang berkhasiat tinggi.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat kailan yang mungkin sesetengahnya masih tidak diketahui oleh umum.
Kailan adalah sayur dalam keluarga yang sama dengan bok choy, brokoli, kubis, kubis bunga, kubis daun dan turnip.
Bagi masyarakat tempatan, sayur kailan popular dengan masakan kailan ikan masin, kailan goreng dan sebagainya.
1. Mengandungi Zat-zat Penting
Kailan adalah sayur yang kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan. Pemakanan sayur ini secara kerap boleh mengurangkan risiko terhadap sesetengah penyakit.
Bagi secawan (36 gram) kailan yang telah dipotong terdapat zat-zat berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 11.5 kcal
- Protein: 1.1 gram
- Lemak: 0.2 gram
- Karbohidrat: 2.0 gram
- Serat: 1.4 gram
- Kalsium: 83.5 miligram
- Zat besi: 0.2 miligram
- Magnesium: 9.7 miligram
- Fosforus: 9 miligram
- Kalium: 76.7 miligram
- Mangan: 0.24 miligram
- Selenium: 0.47 mikrogram
- Vitamin C: 12.7 miligram
- Folat: 46.4 mikrogram
- Vitamin A: 90.4 mikrogram
- Vitamin E: 0.81 miligram
- Vitamin K: 157 mikrogram
Selain itu, kailan turut mengandungi sedikit mineral zink, tembaga, mangan, vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6.
Profil nutrisi ini menunjukkan sayur kailan tinggi dengan mineral kalsium, vitamin A, folat dan vitamin K.
Vitamin dan mineral ini pada asasnya mempunyai peranan terhadap kesihatan badan seperti untuk kekuatan tulang dan gigi, baik untuk ibu mengandung, menguatkan sistem imun dan baik untuk kesihatan mata.
2. Baik untuk Kesihatan Tulang
Kandungan mineral kalsium dan vitamin K yang tinggi dalam sayur kailan menjadikannya sebagai sumber makanan yang baik untuk kesihatan tulang.
Kekurangan vitamin K boleh mengurangkan kekuatan tulang seterusnya meningkatkan risiko kepada osteoporosis (kerapuhan tulang).
Selain itu, vitamin K juga turut memainkan peranan penting terhadap penyerapan mineral kalsium. Vitamin K boleh membantu meningkatkan penyerapan kalsium.
Oleh itu, kailan merupakan pilihan yang baik terutamanya kepada warga tua yang berisiko tinggi untuk mengalami kerapuhan tulang.
3. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kailan juga berkhasiat untuk mengekalkan jantung yang sihat.
Khasiat kailan ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati kailan boleh mengurangkan paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan menurunkan tekanan darah sistolik. [2]
Penurunan paras kolsterol dan tekanan darah ini boleh mengurangkan risiko terhadap penyakit jantung.
Di samping itu, penting juga untuk diketahui bahawa sayur-sayuran berdaun hijau boleh mendatangkan kebaikan kepada kesihatan jantung lebih baik daripada sayur-sayuran jenis lain. [3]
4. Baik untuk Sistem Penghadaman
Sayur kailan juga turut mendatangkan kebaikan terhadap sistem penghadaman.
Kandungan serat dalam kailan boleh menambah baik kesihatan sistem penghadaman dengan memudahkan pembuangan air besar dan membekalkan makanan kepada bakteria baik dalam usus.
Kailan juga turut mengandungi sebatian yang dipanggil sulforaphane.
Sulforaphane ini dilaporkan boleh membantu mencegah pertumbuhan bakteria Helicobacter pylori iaitu sejenis bakteria yang boleh menjangkiti lapisan perut. [4]
Jangkitan bakteria ini boleh menyebabkan ulser perut atau simptom-simptom berkaitan sistem penghadaman seperti loya, sakit perut atau kembung perut.
5. Baik untuk Kesihatan Mata
Kailan juga turut mengandungi sebatian antioksidan yang dikenali sebagai lutein dan zeaxantin. Antioksidan ini boleh melindungi mata daripada beberapa jenis penyakit mata.
Lutein dan zeaxantin boleh dijumpai dalam makular dan retina mata. Antioksidan ini berperanan melindungi mata daripada sinaran UV yang berbahaya.
Kajian menunjukkan lutein dan zexantin boleh membantu mencegah penyakit mata seperti katarak, degenerasi makular berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetes. [5, 6]
6. Berpotensi Mencegah Kanser
Sayur kailan juga berpotensi mencegah kanser. Pengambilan sayur berdaun hijau seperti kailan dalam diet harian boleh mengurangkan risiko kepada beberapa jenis kanser.
Satu kajian semula yang melibatkan 6 kajian melaporkan bahawa pengambilan sayur daripada keluarga Brassica seperti kailan boleh mengurangkan risiko terhadap kanser prostat. [7]
Terdapat juga kajian semula yang melaporkan bahawa sayur-sayuran Brassica atau nama lainnya Cruciferous boleh mengurangkan risiko terhadap kanser paru-paru, kanser payudara, kanser usus dan kanser prostat. [8]
7. Rendah dengan FODMAP
Kailan juga selamat dimakan oleh mereka yang menghidap sindrom usus rengsa atau penyakit Crohn.
Ini kerana kailan adalah rendah dengan FODMAP (fermentable oligo-, di-, mono-saccharides and polyols) iaitu karbohidrat yang boleh menyebabkan simptom-simptom berkaitan dengan kedua-dua penyakit ini.
Makanan yang tinggi dengan FODMAP boleh menyebabkan simptom-simptom seperti kembung perut, sakit perut, angin atau sembelit.
8. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Kailan juga boleh membantu menurunkan paras gula darah bagi pesakit kencing manis atau diabetes.
Khasiat kailan ini disumbang oleh kandungan antioksidan yang dikenali sebagai alpha-lipoic acid (ALA).
Satu kajian melaporkan bahawa pengambilan ALA boleh menurunkan paras gula darah puasa, paras gula darah selepas makan dan rintangan insulin dengan ketara bagi pesakit diabetes. [9]
Kajian terhadap haiwan juga mendapati ekstrak kailan boleh menurunkan paras gula darah dalam haiwan yang menghidap diabetes. [10]
9. Baik untuk Kesihatan Kulit dan Rambut
Kandungan vitamin A dan vitamin C dalam sayur kailan juga boleh membantu mengekalkan kesihatan kulit dan rambut sesiapa yang memakannya.
Vitamin A adalah penting untuk pertumbuhan tisu-tisu badan termasuklah rambut. Vitamin A juga membantu kelenjar pada kulit untuk menghasilkan sebatian berminyak yang dipanggil sebum. Sebum ini berperanan untuk melembapkan kulit kepala dan mengekalkan kesihatan rambut.
Vitamin C pula membantu badan untuk menghasilkan dan mengekalkan paras kolagen yang memberikan struktur kepada kulit. Keadaan ini boleh melambatkan penuaan atau kedutan kulit.
10. Baik untuk Wanita Mengandung
Kailan juga turut mengandungi folat dan kolina. Folat adalah nama lain kepada vitamin B9 manakala kolina adalah nutrien yang dianggap sebagai ahli kumpulan vitamin B kompleks.
Folat dan kolina adalah dua nutrien penting yang diperlukan oleh wanita mengandung untuk mencegah kecacatan tiub saraf bagi bayi yang dikandung.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa wanita mengandung yang kekurangan folat dan kolina berisiko tinggi untuk melahirkan anak dengan kecacatan tiub saraf. [11, 12]
Rumusan
Kailan adalah salah satu daripada kumpulan sayur yang mempunyai khasiat yang tinggi.
Pemakanan sayur kailan boleh membekalkan nutrien-nutrien penting selain membantu menguatkan tulang, menyokong kesihatan jantung, baik untuk penghadaman, baik untuk mata dan lain-lain lagi.
Justeru itu, manfaatkan khasiat kailan ini dengan menjadikannya sebahagian daripada menu harian anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Johnson, M. et al. (2019). Influence of Green Leafy Vegetables in Diets with an Elevated ω-6:ω-3 Fatty Acid Ratio on Rat Blood Pressure, Plasma Lipids, Antioxidant Status and Markers of Inflammation. Nutrients.
- Blekkenhorst, L. C. et al. (2018). Cardiovascular Health Benefits of Specific Vegetable Types: A Narrative Review. Nutrients.
- Yanaka A. (2017). Role of Sulforaphane in Protection of Gastrointestinal Tract Against H. pylori and NSAID-Induced Oxidative Stress. Current pharmaceutical design.
- Ma, L. et al. (2012). Lutein and zeaxanthin intake and the risk of age-related macular degeneration: a systematic review and meta-analysis. The British journal of nutrition.
- Scripsema, N. K. et al. (2015). Lutein, Zeaxanthin, and meso-Zeaxanthin in the Clinical Management of Eye Disease. Journal of ophthalmology.
- Kristal, A. R., & Lampe, J. W. (2002). Brassica vegetables and prostate cancer risk: a review of the epidemiological evidence. Nutrition and cancer.
- Higdon, J. V. et al. (2007). Cruciferous vegetables and human cancer risk: epidemiologic evidence and mechanistic basis. Pharmacological research.
- Ansar, H. et al. (2011). Effect of alpha-lipoic acid on blood glucose, insulin resistance and glutathione peroxidase of type 2 diabetic patients. Saudi medical journal.
- Amssayef, A., & Eddouks, M. (2021). Antihyperglycemic Effect of the Moroccan Collard Green (Brassica oleracea var. viridis) in Streptozotocin-Induced Diabetic Rats. Endocrine, metabolic & immune disorders drug targets.
- Pitkin R. M. (2007). Folate and neural tube defects. The American journal of clinical nutrition.
- Zeisel, S. H., & da Costa, K. A. (2009). Choline: an essential nutrient for public health. Nutrition reviews.