Kacang tanah adalah bijian yang boleh dimakan dari kategori legum (kekacang). Kacang tanah adalah antara kekacang yang paling banyak ditanam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.
Kacang tanah atau nama saintifiknya Arachis hypogaea secara teknikalnya dianggap sebagai pea dalam keluarga legum. Kacang ini banyak digunakan untuk menghasilkan minyak, mentega kacang, produk-produk snek dan lain-lain lagi.
Kacang tanah jarang-jarang sekali dimakan mentah. Kacang ini biasanya dipanggang, disangai atau dijadikan mentega kacang sebelum dimakan.
Terdapat ribuan kultivar bagi kacang tanah ini yang dibezakan berdasarkan rasa, kandungan minyak, saiz, bentuk dan ketahanan terhadap penyakit.
Kacang tanah juga dikatakan tinggi dengan kandungan protein, minyak dan serat. Oleh itu, artikel kali ini akan menyenaraikan beberapa khasiat kacang tanah untuk kesihatan terutamanya kepada penggemarnya.
1. Mengandungi Nutrien-nutrien Penting
Seperti kebanyakan kekacang yang lain, kacang tanah juga kaya dengan pelbagai nutrien (zat) yang penting untuk kesihatan dan fungsi badan.
Bagi 100 gram kacang tanah mentah, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 567 kcal
- Protein: 25.8 gram
- Lemak: 49.2 gram
- Karbohidrat: 16.1 gram
- Serat: 8.5 gram
- Kalsium: 92 miligram
- Zat besi: 4.6 miligram
- Magnesium: 168 miligram
- Fosforus: 376 miligram
- Kalium: 705 miligram
- Zink: 3.3 miligram
- Tembaga: 1.1 miligram
- Mangan: 1.9 miligram
- Selenium: 7.2 mikrogram
- Vitamin B3: 12.1 miligram
- Folat: 240 mikrogram
- Vitamin E: 8.3 miligram
Selain itu, kacang tanah juga turut mengandungi sedikit vitamin B1, B2, B5 dan B6.
Berdasarkan profil nutrien ini dapat dilihat bahawa kacang tanah tinggi dengan kandungan protein, serat, magnesium, fosforus, vitamin B3 dan vitamin E.
Kacang tanah juga tinggi dengan lemak yang terdiri daripada asid lemak monotaktepu dan politaktepu. Kandungan kacang tanah yang tinggi dengan lemak ini juga menjadikan kacang tanah sebagai salah satu sumber yang baik untuk dijadikan minyak.
2. Baik Untuk Kesihatan Jantung
Penyakit jantung adalah salah satu penyakit yang paling banyak menyebabkan kematian di seluruh dunia.
Terdapat kajian-kajian yang melaporkan bahawa pengambilan kekacang termasuklah kacang tanah boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung. [2, 3]
Selain itu, kandungan sebatian antioksidan iaitu resveratrol dalam kacang tanah juga berpotensi melindungi pemakannya daripada penyakit kardiovaskular dan kegagalan jantung. [4]
3. Membantu Menurunkan Berat Badan
Khasiat kacang tanah yang seterusnya adalah membantu menurunkan berat badan bagi mereka yang dalam proses menurunkan berat badan.
Walaupun kacang tanah tinggi dengan kandungan lemak dan kalori, namun kacang ini dilihat tidak menyumbang kepada kenaikan berat badan.
Malah kajian mendapati pengambilan kacang atau mentega kacang dalam pemakanan tidak menyumbang kepada penambahan berat badan. [5]
Tambahan daripada itu juga, kajian turut menunjukkan kacang tanah turut boleh meningkatkan rasa kenyang dan lebih memuaskan berbanding snek “rice cakes” pada kuantiti yang sama. [6]
4. Mengurangkan Risiko Diabetes
Kacang tanah juga berkhasiat untuk mengurangkan risiko diabetes.
Terdapat laporan kajian yang melaporkan bahawa pengambilan kacang tanah (mentega kacang) boleh mengurangkan risiko penyakit diabetes jenis 2 dalam kalangan wanita. [7]
Kandungan serat diet dan mineral magnesium yang tinggi dalam kacang tanah dikaitkan sebagai penyumbang utama kepada kebaikan ini.
Dalam satu kajian lain yang melibatkan 32 orang pesakit diabetes jenis 2, pengambilan kacang tanah berserta diet rendah karbohidrat didapati menyebabkan penurunan paras gula darah puasa dan paras gula darah selepas makan. [8]
Pengambilan kacang tanah ini juga tidak menyebabkan kenaikan berat badan atau paras kolesterol dalam darah.
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Kanser adalah penyakit kronik yang merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di Malaysia pada tahun 2018.
Langkah pencegahan melalui pemakanan dan perubahan gaya hidup boleh mengurangkan risiko berlakunya penyakit ini.
Kacang tanah adalah salah satu sumber makanan yang didapati berpotensi untuk mencegah kanser. Sifat antikanser ini disumbang oleh kandungan sebatian beta-sitosterol dalam kacang ini.
Terdapat banyak kajian yang melaporkan bahawa sebatian beta-sitosterol ini mempunyai ciri-ciri antikanser terhadap kanser payudara, kanser prostat, kanser usus, kanser paru-paru, kanser perut, kanser ovari dan leukemia. [9]
Selain itu, kandungan sebatian antioksidan seperti resveratrol juga turut mempunyai potensi antikanser terhadap kanser usus, kanser payudara, kanser ovari, kanser serviks, kanser hati, kanser kulit, kanser perut serta kanser kepala dan leher. [10]
6. Mencegah Batu Karang
Kacang tanah juga berkhasiat dalam mencegah pembentukan batu karang. Pembedahan pembuangan hempedu adalah salah satu prosedur yang digunakan untuk merawat penyakit batu karang atau komplikasi yang disebabkan penyakit ini.
Satu kajian pencerapan terhadap kira-kira 80,000 wanita selama 20 tahun mendapati pengambilan kacang melebihi 5 kali sehari boleh mengurangkan 25% risiko pembedahan pembuangan pundi hempedu. [11]
Kajian pencerapan lain yang melibatkan kira-kira 43,000 lelaki juga mendapati lelaki yang makan kacang 5 kali atau lebih dalam seminggu menunjukkan risiko terkena penyakit batu karang 30% lebih rendah berbanding mereka yang jarang-jarang makan kacang. [12]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
Risiko atau Kesan Sampingan
Walaupun kacang tanah mempunyai pelbagai zat dan khasiat, namun kacang ini juga turut mempunyai risiko bagi mereka yang mempunyai alahan kekacang.
Alahan terhadap kacang tanah adalah antara alahan yang paling lazim berlaku. Alahan terhadap kacang tanah ini boleh menjadi berbahaya dan mengancam nyawa.
Justeru itu, sesiapa yang mempunyai alahan ini harus mengelak daripada makan kacang tanah atau produk makanan yang mengandungi kacang tanah.
Rumusan
Kacang tanah adalah salah satu daripada kumpulan kekacang yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan.
Selain tinggi dengan kandungan protein, serat dan minyak, kacang tanah juga berkhasiat kepada jantung, boleh membantu menurun atau mengekalkan berat badan, mengurangkan risiko diabetes, berpotensi mencegah kanser dan penyakit batu karang.
Namun begitu, tidak semua boleh menikmati khasiat kacang tanah ini. Mereka yang mempunyai alahan terhadap kacang tanah harus mengelak daripada makan kacang ini atau produk-produk yang mengadungi kacang tanah.
Rujukan
- USDA
- Hu, F. B., & Stampfer, M. J. (1999). Nut consumption and risk of coronary heart disease: a review of epidemiologic evidence. Current atherosclerosis reports.
- Hu, F. B. et al. (1998). Frequent nut consumption and risk of coronary heart disease in women: prospective cohort study. BMJ.
- Dyck, G. et al. (2019). The Effects of Resveratrol in Patients with Cardiovascular Disease and Heart Failure: A Narrative Review. International journal of molecular sciences.
- Mattes, R. D. et al. (2008). Impact of peanuts and tree nuts on body weight and healthy weight loss in adults. The Journal of nutrition.
- Kirkmeyer, S. V., & Mattes, R. D. (2000). Effects of food attributes on hunger and food intake. International journal of obesity and related metabolic disorders.
- Jiang, R. et al. (2002). Nut and peanut butter consumption and risk of type 2 diabetes in women. JAMA.
- Hou, Y. Y. et al. (2018). A Randomized Controlled Trial to Compare the Effect of Peanuts and Almonds on the Cardio-Metabolic and Inflammatory Parameters in Patients with Type 2 Diabetes Mellitus. Nutrients.
- Bin Sayeed, M. S., & Ameen, S. S. (2015). Beta-Sitosterol: A Promising but Orphan Nutraceutical to Fight Against Cancer. Nutrition and cancer.
- Rauf, A. et al. (2018). Resveratrol as an anti-cancer agent: A review. Critical reviews in food science and nutrition.
- Tsai, C. J. et al. (2004). Frequent nut consumption and decreased risk of cholecystectomy in women. The American journal of clinical nutrition.
- Tsai, C. J. et al. (2004). A prospective cohort study of nut consumption and the risk of gallstone disease in men. American journal of epidemiology.