Khasiat kacang pekan – Kacang pekan atau dalam bahasa Inggerisnya pecan adalah kacang yang diperolehi daripada pokok pekan (Carya illinoinensis). Kacang pekan ini berasal dari Amerika Syarikat dan Mexico. Tetapi kini, pokok kacang ini banyak ditanam di beberapa buah negara lain seperti di Amerika Selatan, Uruguay, Argentina, Chile, Peru, Brazil dan China.
Kacang pekan ini banyak digunakan sebagai snek atau dijadikan bahan tambahan dalam pelbagai resepi. Kacang ini juga turut dijadikan mentega kacang dan minyak serta menjadi penambah rasa kepasa ais krim, kek dan juga biskut.
Dari segi kesihatan, kacang pekan mengandungi pelbagai khasiat untuk kesihatan yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang menyukai kacang ini. Kacang pekan kaya dengan sumber asid lemak dan polifenol yang dikenali sebagai epigallocatechin-3-gallate (EGCG) yang mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan.
Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat kacang pekan berdasarkan kajian-kajian sains perubatan yang telah dijalankan.
1. Mengandungi Nutrien-nutrien Penting
Kacang yang kecil ini mengandungi banyak nutrien atau zat penting yang diperlukan oleh badan kita untuk berfungsi dengan baik.
Bagi 100 gram kacang pekan mentah, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 691 kcal
- Protein: 9.2 gram
- Lemak: 72 gram
- Karbohidrat: 13.9 gram
- Serat: 9.6 gram
- Kalsium: 70 miligram
- Zat besi: 2.5 miligram
- Magnesium: 121 miligram
- Fosforus: 277 miligram
- Kalium: 410 miligram
- Zink: 4.5 miligram
- Tembaga: 1.2 miligram
- Mangan: 4.5 miligram
- Selenium: 3.8 mikrogram
- Vitamin C: 1.1 miligram
- Folat: 22 mikrogram
- Vitamin A: 3 mikrogram
- Vitamin E: 1.4 miligram
- Vitamin K: 3.5 mikrogram
Di samping itu juga, kacang pekan turut mengandungi vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6 yang mempunyai peranan penting dalam penghasilan tenaga, menyokong fungsi sistem saraf dan terlibat dalam membaiki DNA.
Kacang ini juga turut kaya dengan sumber lemak monotaktepu dan politaktepu. Lemak jenis ini adalah lebih baik daripada lemak tepu kerana boleh menambah baik paras kolesterol dalam darah.
2. Baik untuk Kesihatan Jantung
Paras kolesterol dalam darah yang tinggi adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kenaikan risiko penyakit jantung.
Keupayaan kacang pekan untuk membantu merendahkan paras kolesterol dalam darah pemakannya menjadi penyumbang kepada khasiat kacang pekan dalam meningkatkan kesihatan jantung.
Satu kajian yang melibatkan 204 pesakit arteri koronari mendapati pengambilan 30 gram kacang pekan setiap hari selama 12 minggu boleh menambah baik nisbah jumlah kolesterol kepada kolesterol HDL (kolesterol baik) dalam darah. [2]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan peningkatan pengambilan kekacang termasuklah kacang pekan dikaitkan dengan pengurangan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida (lemak). [3]
Kajian yang melibatkan individu sihat pula mendapati selepas pengambilan 68 gram kacang pekan setiap hari selama 4 minggu, berlaku penurunan terhadap paras kolesterol LDL dan selepas 8 minggu pula berlaku penurunan paras jumlah kolesterol dan kolesterol HDL. [4]
Kajian-kajian ini menunjukkan kacang pekan sesuai disertakan dalam diet harian bagi mengurangkan paras kolesterol pemakannya.
3. Meningkatkan Fungsi Otak
Kacang pekan juga turut berkhasiat dalam membantu meningkatkan fungsi otak.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan asid lemak monotaktepu yang dikaitkan dengan kemampuannya untuk mengurangkan kemerosotan mental. [5]
Pengurangan paras mineral selenium dalam darah juga turut dikaitakn dengan kemerosotan fungsi otak yang kemungkinannya disebabkan oleh pengurangan aktiviti antioksidan daripada selenium.
Selenium juga dilaporkan mempunyai potensi yang besar dalam mencegah dan merawat penyakit berkaitan kemerosotan otak seperti penyakit Alzheimer.
Satu kajian di China yang melibatkan 2 000 warga emas mendapati paras selenium yang rendah dalam darah mempunyai perkaitan dengan fungsi kognitif yang rendah. [6]
Kacang pekan tinggi dengan kandungan mineral selenium yang boleh menampung keperluan harian terhadap mineral ini seterusnya dapat mengurangkan risiko kemerosotan fungsi otak akibat kekurangan mineral ini.
4. Mengandungi Antioksidan
Kacang pekan juga kaya dengan kandungan antioksidan.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh diperolehi daripada kekacang, sayur-sayurana atau buah-buahan yang bertindak mencegah atau meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung, ia akan menyebabkan tekanan oksidatif yang banyak dikaitkan dengan penyakit kronik seperti kanser, diabetes, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Antara antioksidan yang terkandung dalam kacang ini adalah:
- Vitamin C
- Vitamin E
- Beta-karotena
- Lutein
- Zeaxantin
- Beta-kriptoxantin
- Gamma-tokoferol
- Katekin
- Epigallocatechin
- Proanthocyanidin
- Asid galik
- Antosianin
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa tinggi dengan kandungan katekin iaitu 1800 hingga 4700 mg bagi setiap 100 gram kacang pekan. [7]
Kacang hazel dan kacang pekan juga turut tinggi dengan proanthocyanidin berbanding kacang-kacang yang lain.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa proanthocyanidin boleh membantu melindungi badan daripadan sinaran matahari (UV), menambah baik penglihatan, meningkatkan kelenturan sendi lutut, arteri , jantung dan meningkatkan kitaran darah. [8]
5. Baik untuk Sistem Penghadaman
Kacang pekan juga berkhasiat untuk sistem penghadaman keranan kandungan seratnya yang tinggi.
Satu analisis terhadap 5 kajian mendapati serat diet mempunyai keberkesanan yang tinggi dalam meningkatkan kekerapan untuk pembuangan air besar dalam kalangan mereka yang mengalami sembelit. [9]
6. Menguatkan Sistem Imun Badan
Kandungan vitamin A, vitamin E dan mineral zink dalam kacang pekan boleh membantu menguatkan sistem imun badan seterusnya membolehkan badan melawan jangkitan dan membaiki kerosakan.
Sebagai contoh, vitamin E adalah nutrien yang dijumpai banyak dalam sel-sel imun berbanding sel-sel lain.
Kajian terhadap haiwan dan manusia mendapati kekurangan vitamin E menjejaskan penghasilan antibodi dan sel-sel imun seperti sel-T. [10]
7. Menstabilkan Paras Gula Darah
Kacang pekan juga turut mempunyai khasiat dalam membantu mengawal atau menstabilkan paras gula darah.
Terdapat kajian yang merumuskan bahawa kacang pekan boleh menggalakkan kawalan gula darah yang lebih baik akibat daripada kandungan seratnya.
Serat larut akan larut didalam air dan membentuk bahan seperti gel. Kemudian melalui saluran pencernaan tanpa dicernakan dan memperlahankan penyerapan gula ke dalam darah.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 26 peserta yang terlebih berat dan obesiti mendapat diet yang kaya dengan kacang pekan boleh menambah baik keupayaan badan untuk menggunakan insulin dengan berkesan. [11]
Insulin ialah hormon yang bertanggungjawab membawa gula daripada saluran darah ke dalam sel-sel badan.
Terdapat juga ulasan kajian yang melaporkan bahawa penambahan kekacang dalam diet boleh membantu merendahkan purata paras gula darah. [12]
Rumusan
Kacang pekan adalah salah satu daripada kumpulan kekacang yang diperolehi daripada pokok. Kacang ini mempunyai pelbagai kegunaan dan manfaat kepada kesihatan.
Kajian-kajian perubatan moden mendapati kacang pekan berkhasiat dalam membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, mencegah kemerosotan otak, baik untuk sistem pencernaan dan sistem imun serta boleh membantu menurunkan paras gula darah.
Justeru itu, manfaatkan khasiat kacang pekan ini dalam diet harian anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Campos, V. P. et al. (2020). Effects of a healthy diet enriched or not with pecan nuts or extra-virgin olive oil on the lipid profile of patients with stable coronary artery disease: a randomised clinical trial. Journal of human nutrition and dietetics.
- Del Gobbo, L. C. et al. (2015). Effects of tree nuts on blood lipids, apolipoproteins, and blood pressure: systematic review, meta-analysis, and dose-response of 61 controlled intervention trials. The American journal of clinical nutrition.
- Morgan, W. A., & Clayshulte, B. J. (2000). Pecans lower low-density lipoprotein cholesterol in people with normal lipid levels. Journal of the American Dietetic Association.
- Naqvi, A. Z. et al. (2011). Monounsaturated, trans, and saturated Fatty acids and cognitive decline in women. Journal of the American Geriatrics Society.
- Gao, S. et al. (2007). Selenium level and cognitive function in rural elderly Chinese. American journal of epidemiology.
- Bolling, B. W. et al. (2011). Tree nut phytochemicals: composition, antioxidant capacity, bioactivity, impact factors. A systematic review of almonds, Brazils, cashews, hazelnuts, macadamias, pecans, pine nuts, pistachios and walnuts. Nutrition research reviews.
- Rauf, A. et al. (2019). Proanthocyanidins: A comprehensive review. Biomedicine & Pharmacotherapy.
- Yang, J. et al. (2012). Effect of dietary fiber on constipation: a meta analysis. World journal of gastroenterology.
- Lewis, E. D. et al. (2019). Regulatory role of vitamin E in the immune system and inflammation. IUBMB life.
- McKay, D. L. et al. (2018). A Pecan-Rich Diet Improves Cardiometabolic Risk Factors in Overweight and Obese Adults: A Randomized Controlled Trial. Nutrients.
- Viguiliouk, E. et al. (2014). Effect of tree nuts on glycemic control in diabetes: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled dietary trials. PloS one.