Bagi anda yang menyukai atau ingin mencuba kacang parang, mengetahui khasiat kacang parang boleh menjadi satu kelebihan dan boleh menambah minat anda kepada kacang ini.
Kacang parang atau dalam bahasa Inggerisnya “fava beans” atau “broad beans” adalah sejenis legum (kekacang) yang tumbuh di dalam lenggai. Secara saintifiknya, ia dikenali sebagai Vicia faba.
Kacang parang mula-mula ditanam beberapa ribu tahun dahulu di Timur Tengah dan Barat Daya Asia. Tumbuhan ini juga boleh tumbuh di mana-mana tempat di seluruh dunia.
Kacang parang mempunyai rasa yang sedikit manis dan rasa semula jadi. Biasanya, di negara ini kacang parang dipanggang dan dijual sebagai snek.
Kacang parang kaya dengan pelbagai vitamin, mineral, protein dan serat. Ciri-ciri ini menjadikan kacang parang sebagai salah satu sumber makanan yang berkhasiat.
Berikut adalah senarai khasiat kacang parang yang boleh anda manfaatkan:
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Walaupun saiznya kecil, namun kacang parang mengandungi jumlah nutrien yang menakjubkan.
Bagi secawan (170 gram) kacang parang yang telah dimasak, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 187 kcal
- Protein: 12.9 gram
- Lemak: 0.68 gram
- Karbohidrat: 33.3 gram
- Serat: 9.18 gram
- Kalsium: 61.2 miligram
- Zat besi: 2.55 miligram
- Magnesium: 73.1 miligram
- Fosforus: 212 miligram
- Kalium: 456 miligram
- Zink: 1.72 miligram
- Tembaga: 0.44 miligram
- Mangan: 0.72 miligram
- Selenium: 4.42 mikrogram
- Vitamin C: 0.51 miligram
- Vitamin B1: 0.17 miligram
- Vitamin B2: 0.15 miligram
- Vitamin B3: 1.21 miligram
- Vitamin B5: 0.27 miligram
- Vitamin B6: 0.12 miligram
- Folat: 177 mikrogram
- Vitamin A: 1.7 mikrogram
- Vitamin E: 0.034 miligram
- Vitamin K: 4.93 mikrogram
2. Boleh Meningkatkan Aktiviti Antioksidan
Kacang parang juga boleh membantu meningkatkan aktiviti antioksidan di dalam badan anda. Seterusnya, ia boleh meningkatkan kekuatan sistem imun yang melindungi badan anda daripada jangkitan.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Satu kajian tabung uji mendapati merawat sel-sel paru-paru manusia menggunakan ekstrak kacang parang meningkatkan aktiviti antioksidan sehingga 62.5%. [2]
Terdapat juga kajian makmal yang lain yang mendapati sebatian di dalam kacang parang boleh meningkatkan keupayaan antioksidan glutation yang kuat dalam sel manusia dan melambatkan penuaan sel-sel. [3, 4]
3. Boleh Membantu Mencegah Kecacatan Janin
Kacang parang juga tinggi dengan kandungan folat atau vitamin B9.
Seperti yang diketahui ramai, folat amat penting semasa kehamilan kerana ia boleh membantu mencegah daripada berlakunya kecacatan terhadap janin seperti kecacatan tiub saraf.
Semasa kehamilan juga, ibu hamil memerlukan jumlah folat harian yang lebih tinggi daripada kebiasaannya.
Satu kajian terhadap lebih daripada 23,000 wanita mendapati bahawa kejadian masalah otak dan saraf tunjang adalah 77% lebih rendah pada bayi yang ibunya mempunyai pengambilan folat harian tertinggi, berbanding wanita dengan pengambilan terendah. [5]
Secawan (170 gram) kacang parang boleh membekalkan kira-kira 30% keperluan folat harian bagi ibu hamil.
4. Boleh Mencegah Daripada Berlakunya Anemia
Anemia ialah penyakit yang diakibatkan oleh kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam sel darah merah, ataupun perdarahan yang berlebihan.
Kacang parang adalah sumber makanan yang boleh membantu mencegah daripada berlakunya anemia kerana kandungan zat besinya yang tinggi.
Zat besi diperlukan untuk menghasilkan hemoglobin. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia yang dicirikan dengan gejala-gejala seperti kelesuan, lemah, pening atau sesak nafas.
Mengamalkan pemakanan kacang parang dan makanan yang kaya zat besi yang lain boleh meningkatkan paras zat besi dalam darah dan mencegah daripada berlakunya anemia.
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Kacang parang juga merupakan makanan yang tinggi dengan serat. Serat boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Serat di dalam kacang parang kebanyakannya terdiri daripada serat larut. Serat larut boleh menggalakkan pergerakan usus yang sihat dengan menyerap air dalam usus anda, membentuk bahan seperti gel dan melembutkan najis anda.
Serat larut juga boleh mengikat dengan kolesterol dan menyingkirkannya dari badan anda.
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan bahawa serat larut boleh merendahkan paras kolesterol dalam darah bagi individu yang sihat dan juga mereka yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Satu kajian terhadap 53 orang dewasa yang sihat mendapati bahawa mereka yang makan dua gram tambahan serat larut setiap hari mengalami penurunan 12.8% dalam kolesterol LDL “kolesterol jahat”, manakala kumpulan yang makan kurang serat tidak mengalami perubahan ketara dalam paras kolesterol LDL mereka. [6]
6. Boleh Membantu Mengawal Tekanan Darah
Kacang parang turut berkhasiat dalam membantu mengawal tekanan darah atau menurunkan tekanan darah tinggi.
Khasiat kacang parang ini disumbang oleh kandungan mineral magnesium dan kaliumnya yang tinggi.
Mineral magnesium dan kalium adalah nutrien yang boleh membantu mengendurkan saluran darah dan mencegah tekanan darah tinggi. [7]
Kajian selama 10 tahun terhadap 28,349 wanita mendapati bahawa mereka yang mempunyai pengambilan magnesium yang paling tinggi berkemungkinan kurang mendapat tekanan darah tinggi berbanding mereka yang kurang mengambil mineral ini. [8]
7. Boleh Membantu Merawat Gejala Penyakit Parkinson
Kacang parang juga kaya dengan levodopa (L-dopa) iaitu sebatian yang ditukarkan oleh badan kepada neurotransmitter atau hormon dopamina. [9]
Penyakit Parkinson menyebabkan kematian sel-sel otak yang menghasilkan dopamina. Akibatnya ia menyebabkan gejala-gejala seperti tremor (ketar), masalah dengan fungsi motor dan kesukaran berjalan.
Gejala-gejala ini lazimnya dirawat menggunakan ubat yang mengandungi L-dopa. Oleh itu, memakan kacang parang boleh membantu merawat gejala-gejala penyakit Parkinson.
Sebagai contoh, satu kajian kecil terhadap 11 orang dengan penyakit Parkinson mendapati bahawa memakan 1.5 cawan (250 gram) kacang parang selepas 12 jam tanpa ubat mempunyai kesan positif yang setanding ke atas tahap dopamina darah dan fungsi motor seperti ubat L-dopa. [10]
Walaupun keputusannya agak memberangsangkan, lebih banyak kajian masih diperlukan.
8. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Kacang parang boleh dijadikan snek semasa anda ingin menurunkan berat badan.
Hal ini demikian kerana, kacang parang tinggi dengan kandungan protein dan serat.
Protein dan serat boleh membantu anda berasa lebih kenyang dan seterusnya boleh membantu mengurangkan pengambilan kalori.
Contohnya, satu kajian kecil terhadap 19 orang dewasa mendapati bahawa diet dengan 30% kalori daripada protein meningkatkan rasa kenyang dan mengurangkan pengambilan kalori harian sebanyak 441 kalori secara purata, berbanding diet dengan jumlah kalori yang sama tetapi hanya 15% daripada protein. [11]
9. Baik untuk Kesihatan Tulang
Kacang parang juga turut berkhasiat kepada kesihatan tulang dan boleh mencegah daripada kelesapan tulang.
Khasiat kacang parang ini disumbang oleh kandungan mineralnya seperti kalsium, mangan dan tembaga. Ketiga-tiga mineral ini penting untuk tulang yang kuat dan sihat.
Satu kajian yang melibatkan wanita menopaus dengan tulang yang lemah mendapati pengambilan suplemen yang mengandungi kalsium, mangan dan tembaga serta nutrien lain boleh menambah baik jisim tulang yang seterusnya boleh menguatkan tulang. [12]
Manakala, satu kajian lain mendapati pengambilan suplemen yang menggabungkan mineral kalsium, mangan, tembaga dan zink boleh mencegah kelesapan tulang dalam kalangan wanita tua. [13]
Risiko dan Kesan Sampingan
Walaupun kacang parang mempunyai banyak khasiat dan kebaikan untuk kesihatan badan. Namun, ia mungkin tidak sesuai untuk sesetengah orang.
Kacang parang TIDAK BOLEH DIMAKAN oleh penghidap gangguan genetik iaitu G6PD.
Ia boleh menyebabkan sesak nafas, peningkatan kadar jantung dan gejala-gejala lain bagi golongan ini.
Selain itu, kacang parang juga boleh menyebabkan angin atau kembung perut bagi sesetengah orang.
Rumusan
Kacang parang mengandungi pelbagai nutrien dan khasiat yang menakjubkan.
Khasiat kacang parang ini boleh dimanfaatkan sekiranya anda ingin meningkatkan kekuatan sistem imun badan, menurunkan paras kolesterol, merendahkan tekanan darah, dan lain-lain lagi.
Kacang parang juga sesuai dijadikan snek yang boleh membantu anda berasa lebih kenyang.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Broadbeans (fava beans), mature seeds, cooked, boiled, without salt.
- Okada, M., & Okada, Y. (2007). Effects of methanolic extracts from broad beans on cellular growth and antioxidant enzyme activity. Environmental health and preventive medicine.
- Okada, Y., & Okada, M. (2007). Effects of radical scavenger protein from broad beans on glutathione status in human lung fibroblasts. Environmental health and preventive medicine.
- Okada, Y., & Okada, M. (2000). Effect of a radical scavenger “water soluble protein” from broad beans (Vicia faba) on antioxidative enzyme activity in cellular aging. Journal of nutritional science and vitaminology.
- Moore, L. L. et al. (2003). Folate intake and the risk of neural tube defects: an estimation of dose-response. Epidemiology.
- Aller, R. et al. (2004). Effect of soluble fiber intake in lipid and glucose levels in healthy subjects: a randomized clinical trial. Diabetes research and clinical practice.
- Houston, M. C., & Harper, K. J. (2008). Potassium, magnesium, and calcium: their role in both the cause and treatment of hypertension. Journal of clinical hypertension.
- Song, Y. et al. (2006). Dietary magnesium intake and risk of incident hypertension among middle-aged and older US women in a 10-year follow-up study. The American journal of cardiology.
- Mehran S M, M., & B, G. (2013). Simultaneous determination of levodopa and carbidopa from fava bean, green peas and green beans by high performance liquid gas chromatography. Journal of clinical and diagnostic research.
- Rabey, J. M. et al. (1993). Broad bean (Vicia faba) consumption and Parkinson’s disease. Advances in neurology.
- Weigle, D. S. et al. (2005). A high-protein diet induces sustained reductions in appetite, ad libitum caloric intake, and body weight despite compensatory changes in diurnal plasma leptin and ghrelin concentrations. The American journal of clinical nutrition.
- Benevolenskaia, L. I. et al. (2004). [Vitrum osteomag in prevention of osteoporosis in postmenopausal women: results of the comparative open multicenter trial]. Terapevticheskii arkhiv.
- Strause, L. et al. (1994). Spinal bone loss in postmenopausal women supplemented with calcium and trace minerals. The Journal of nutrition.