Sudahkah anda tahu akan khasiat kacang macadamia? Jika belum, anda berada ditempat yang betul. Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat kacang macadamia yang boleh diperolehi berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.
Kacang macadamia adalah kacang yang diperolehi dari pokok macadamia. Pokok ini berasal dari negara Australia, tetapi kini telah banyak ditanam di beberapa buah negara lain seperti New Zealand, Brazil, Costa Rica, China dan Hawaii.
Kacang macadamia (Macadamia tetraphylla) lazimnya dipanggang kerana kaedah ini boleh memelihara kualiti dan membuatkan kacang ini tahan lebih lama.
Seperti kebanyakan kacang lain, kacang macadamia juga tinggi dengan kandungan lemak sihat, iaitu majoritinya adalah lemak monotaktepu.

Selain itu, kandungan nutrien-nutrien lain dalam kacang ini turut menjadikan kacang macadamia ini sebagai salah satu hidangan yang sihat.
Berikut adalah 10 khasiat kacang macadamia yang disokong oleh kajian-kajian sains.
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Kacang macadamia mempunyai profil nutrien yang baik. Pemakanan kacang ini boleh menambah kembali nutrien-nutrien yang telah kurang atau hilang dalam badan kita.
Bagi 100 gram kacang macadamia segar, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 718 kcal
- Protein: 7.9 gram
- Lemak: 75.8 gram
- Karbohidrat: 13.8 gram
- Serat: 8.6 gram
- Kalsium: 85 miligram
- Zat besi: 3.7 miligram
- Magnesium: 130 miligram
- Fosforus: 188 miligram
- Kalium: 368 miligram
- Zink: 1.3 miligram
- Tembaga: 0.8 miligram
- Mangan: 4.1 miligram
- Selenium: 3.6 mikrogram
- Vitamin C: 1.2 miligram
- Vitamin B1: 1.2 miligram
- Vitamin B2: 0.2 miligram
- Vitamin B3: 2.5 miligram
- Vitamin B5: 0.8 miligram
- Vitamin B6: 0.3 miligram
- Folat: 11 mikrogram
- Vitamin E: 0.5 miligram
Kacang macadamia tinggi dengan kandungan lemak terutamanya lemak monotaktepu iaitu kira-kira 59 gram bagi setiap 100 gram kacang ini.
Kacang ini turut mengandungi sedikit lemak politaktepu dan lemak tepu.
2. Boleh Menurunkan Paras Kolesterol
Kacang macadamia didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol bagi mereka yang menghidap paras kolesterol tinggi.
Khasiat kacang macadamia ini dibuktikan dalam kajian yang terhadap 25 orang individu lelaki dan wanita yang menghidap kolesterol tinggi. Pengambilan kacang macadamia sebanyak 42.5 gram sehari didapati boleh menurunkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) barbanding diet yang tidak mengandungi kacang ini. [2]
3. Mengandungi Antioksidan
Kacang macadamia juga tinggi dengan antioksidan. Antioksidan memainkan peranan penting dalam melawan atau meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung, ia boleh menyebabkan berlakunya tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik seperti kanser, diabetes dan penyakit jantung.
Kacang macadamia mengandungi vitamin E dalam bentuk alfa-tokoferol. Alfa-tokoferol adalah antioksidan larut lemak yang menghadkan pembentukan radikal bebas, tekanan oksidatif dan pemperoksidaan lipid (lemak).
Vitamin C yang terkandung dalam kacang macadamia juga turut bertindak sebagai antioksidan. Vitamin C turut boleh melindungi sel-sel badan daripada pemperoksidaan lipid. [3]
Pemperoksidaan lipid rantaian tindak balas yang boleh menyebabkan kerosakan sel-sel badan.
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Keupayaan kacang macadamia yang boleh menurunkan paras kolesterol jahat dan jumlah kolesterol boleh menyumbang kepada kesihatan jantung.
Kandungan lemak monotaktepu yang tinggi dalam kacang macadamia dikaitkan dengan kesihatan jantung yang lebih baik dengan mengurangkan risiko strok dan serangan jantung. [4]
Selain itu, pengambilan 40-90 gram kacang macadamia sehari juga didapati boleh mengurangkan penanda-penanda keradangan dan tekanan oksidatif. Keradangan adalah faktor risiko kepada penyakit jantung. [5]
5. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Kacang macadamia juga turut berkhasiat buat mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Kandungan protein dan serat yang tinggi dalam kacang ini boleh membantu mengurangkan rasa lapar dan membuatkan rasa kenyang yang lebih lama.
Selain itu, kacang macadamia turut tinggi dengan asid lemak monotaktepu iaitu asid palmitoleik. Asid palmitoleik ini dipercayai boleh mencegah kenaikan berat badan.
Berdasarkan kajian terhadap haiwan, pengambilan asid palmitoleik selama 28 hari menyebabkan penurunan berat badan sebanyak 77%. [6]
Walau bagaimanapun, kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk mengesahkan kebaikan asid palmitoleik ini.
6. Baik untuk Sistem Penghadaman
Khasiat kacang macadamia juga turut merangkumi sistem penghadaman. Kandungan serat dalam kacang ini boleh melancarkan penghadaman dan kesihatan usus.
Serat larut dalam kacang macadamia boleh bertindak sebagai prebiotik. Prebiotik adalah makanan kepada bakteria-bakteria baik dalam usus.
Seterusnya, bakteria baik dalam usus ini akan menghasilkan asid lemak rantaian pendek seperti butirat yang boleh mengurangkan keradangan dan melindungi usus daripada penyakit.
7. Berpotensi Mencegah Kanser
Kacang macadamia juga mengandungi vitamin E yang dipanggil tokotrienol (tocotrienol).
Tokotrienol ini mempunyai ciri-ciri antikanser terhadap kanser payudara dan kanser usus. [7]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk mengesahkan potensi kacang macadamia ini dalam mencegah kanser.
8. Baik untuk Kesihatan Otak
Tokotrienol ini juga turut mempunyai kesan perlindungan terhadap otak.
Kajian oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati tokotrienol dan alfa-tokoferol dalam vitamin E boleh melindungi sel-sel otak daripada kesan glutamat, iaitu bahan yang mempunyai peranan dalam pembentukan penyakit Alzheimer dan Parkinson. [8]
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk melihat kesan kacang macadamia terhadap kesihatan otak.
9. Mengurangkan Risiko Sindrom Metabolik
Sindrom metabolik adalah kumpulan faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, paras kolesterol yang tinggi dan lemak perut berlebihan yang boleh meningkatkan risiko kepada penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan strok.
Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa asid lemak monotaktepu seperti yang terkandung dalam kacang macadamia boleh membantu mengurangkan risiko sindrom metabolik atau mengurangkan kesannya bagi mereka yang telah menghidap sindrom ini.
Satu metaanalisis yang diterbitkan pada tahun 2016 membuktikan bahawa diet yang tinggi dengan asid lemak monotaktepu boleh mengurangkan faktor risiko metabolik dalam kalangan pesakit kencing manis (diabetes jenis 2). [9]
10. Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Khasiat kacang macadamia turut boleh membantu mengawal paras gula darah terutamanya terhadap pesakit kencing manis (diabetes jenis 2).
Satu kajian metaanalisis melaporkan bahawa pengambilan kira-kira 56 gram kekacang setiap hari boleh membantu mengurangkan paras purata gula darah (HbA1c) dan gula darah puasa dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2. [10]
HbA1c ialah bentuk pengukuran terhadap purata gula darah seseorang bagi 2 hingga 3 bulan terakhir.
Rumusan
Kacang macadamia adalah kacang yang kaya dengan protein, lemak sihat, vitamin dan mineral.
Pemakanan kacang macadamia boleh mendatangkan pelbagai khasiat seperti menurunkan paras kolesterol, menyihatkan jantung, mengandungi antioksidan, baik untuk sistem penghadaman dan lain-lain lagi.
Kacang macadamia juga mudah untuk dimakan atau dicampurkan dalam pelbagai menu masakan. Kacang ini boleh dipanggang sebelum dimakan. Walau bagaimanapun, kacang macadamia segar adalah bentuk yang paling sihat.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Griel, A. E. et al. (2008). A macadamia nut-rich diet reduces total and LDL-cholesterol in mildly hypercholesterolemic men and women. The Journal of nutrition.
- Traber, M. G., & Stevens, J. F. (2011). Vitamins C and E: beneficial effects from a mechanistic perspective. Free radical biology & medicine.
- Schwingshackl, L., & Hoffmann, G. (2014). Monounsaturated fatty acids, olive oil and health status: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Lipids in health and disease.
- Garg, M. L. et al. (2007). Macadamia nut consumption modulates favourably risk factors for coronary artery disease in hypercholesterolemic subjects. Lipids.
- Duckett, S. K. et al. (2014). Palmitoleic acid reduces intramuscular lipid and restores insulin sensitivity in obese sheep. Diabetes, metabolic syndrome and obesity.
- Sen, C. K. et al. (2006). Tocotrienols: Vitamin E beyond tocopherols. Life sciences.
- Selvaraju, T. R. et al. (2014). The neuroprotective effects of tocotrienol rich fraction and alpha tocopherol against glutamate injury in astrocytes. Bosnian journal of basic medical sciences.
- Qian, F. et al. (2016). Metabolic Effects of Monounsaturated Fatty Acid-Enriched Diets Compared With Carbohydrate or Polyunsaturated Fatty Acid-Enriched Diets in Patients With Type 2 Diabetes: A Systematic Review and Meta-analysis of Randomized Controlled Trials. Diabetes care.
- Viguiliouk, E. et al. (2014). Effect of tree nuts on glycemic control in diabetes: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled dietary trials. PloS one.