Mungkin ramai yang suka akan bubur kacang hijau. Ramai juga yang menikmati kuih kasturi atau kuih kacang yang dibuat daripada kacang hijau. Tetapi, adakah ramai yang tahu apakah khasiat kacang hijau?
Sambil-sambil anda menikmati juadah kacang hijau, jom kita ketahui khasiat-khasiat kacang hijau yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan badan.
Kacang hijau atau nama saintifiknya Vigna radiata adalah antara legum yang paling banyak dimakan di dunia terutamanya di Asia. Pokok kacang hijau paling banyak di tanam di negara-negara Asia seperti China, India, Pakistan, Bangladesh dan Asia Tenggara.
Selain boleh membekalkan nutrien-nutrien penting seperti protein, serat diet, vitamin, mineral dan sebagainya. Kacang hijau juga dilaporkan digunakan dalam perubatan tradisional China untuk aktiviti penyahtoksikan, meringan strok haba, memulihkan daya pemikiran dan mengurangkan sakit perut.
Selain daripada penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden juga mendapati kacang hijau mempunyai banyak khasiat yang berpotensi untuk dimanfaatkan kepada kesihatan manusia.
Berikut adalah khasiat-khasiat kacang hijau yang disokong oleh kajian-kajian sains moden.
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Kacang hijau kaya dengan protein berkualiti tinggi, vitamin dan mineral yang mempunyai pelbagai peranan untuk fungsi dan kesihatan badan.
Bagi 100 gram yang mentah, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenga/Kalori: 347 kcal
- Protein: 23.9 gram
- Lemak: 1.2 gram
- Karbohidrat: 62.6 gram
- Serat: 16.3 gram
- Kalsium: 132 miligram
- Zat besi: 6.7 miligram
- Magnesium: 189 miligram
- Fosforus: 367miligram
- Kalium: 1250 miligram
- Zink: 2.7 miligram
- Tembaga: 0.9 miligram
- Mangan: 1.0 miligram
- Selenium: 8.2 mikrogram
- Vitamin C: 4.8 miligram
- Vitamin B1: 0.6 miligram
- Vitamin B2: 0.2 miligram
- Vitamin B3: 2.2 miligram
- Vitamin B5: 1.9 miligram
- Vitamin B6: 0.3 miligram
- Folat: 625 mikrogram
- Vitamin A: 6.0 mikrogram
- Vitamin E: 0.5 miligram
- Vitamin K: 9 mikrogram
2. Mengandungi Antioksidan
Kacang hijau turut mengandungi sebatian aktif yang bertindak sebagai antioksidan.
Contohnya seperti kuersetin, vitexin, isovitexin, antosianin, katekin, luteolin, asid galik, asid kaumarik, asid kafeik, asid ferulik dan asid sinapik.
Antioksidan-antioksidan ini mempunyai banyak khasiat dan peranannya terhadap badan. Peranan utama antioksidan adalah melindungi sel-sel badan yang sihat daripada radikal bebas.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung, ia boleh menyebabkan berlakunya tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan banyak penyakit kronik seperti penyakit jantung, penyakit kencing manis dan kanser.
3. Berpotensi Mencegah Penyakit Alzheimer
Kandungan antioksidan di dalam kacang hijau dipercayai boleh membantu melindungi otak daripada penyakit degeneratif seperti penyakit Alzheimer.
Terdapat kajian yang mendapati kandungan sebatian bioaktif seperti isovitexin, vitexin, asid ferulik dan asid sinapik adalah sebatian yang boleh memulihkan fungsi otak melalui pencegahan tekanan oksidatif, pengurangan keradangan dan lain-lain. [2]
4. Boleh Membantu Merendah Paras Gula Darah
Kacang hijau juga berkhasiat untuk membantu merendahkan paras gula darah bagi mereka yang memakannya.
Khasiat kacang hijau ini dapat dilihat dalam kajian makmal dan kajian terhadap haiwan yang mendapati kacang hijau dan ekstraknya mempunyai keupayaan untuk mengawal metabolisme glukosa (gula) dengan berkesan.
Ekstrak kacang hijau boleh mencegah enzim-enzim pencernaan yang menyumbang kepada pengurangan penyerapan karbohidrat dalam usus, meningkatkan kepekaan insulin dan seterusnya mengurangkan paras gula dalam darah. [3, 4]
5. Boleh Membantu Merendahkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi terutamanya kolesterol LDL (kolesterol jahat) boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Menariknya, terdapat kajian yang menunjukkan kacang hijau mungkin boleh membantu merendahkan paras kolesterol.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati pengambilan kacang hijau boleh menurunkan paras kolesterol total dan trigliserida (lemak) dalam darah. [5]
Kajian klinikal yang dijalankan pada tahun 2018 turut melaporkan bahawa protein yang diasingkan daripada kacang hijau boleh membantu menurunkan paras trigliserida dengan ketara. [6]
6. Boleh Melindungi Hati daripada Kecederaan
Kecederaan hati boleh disebabkan oleh pelbagai agen seperti alkohol, virus atau penyakit autoimun.
Kacang hijau dan tauge kacang hijau didapati berkesan bertindak sebagai agen yang melindungi hati.
Kajian mendapati ekstrak kacang hijau menunjukkan kesan perlindungan hati yang terbaik berbanding kacang hitam, kacang adzuki dan kacang sepalit terhadap kecederaan hati akibat ubat paracetamol (acetaminophen). [7]
Kajian lain turut mendapati ekstrak tauge dan kacang hijau yang difermentasi boleh menurunkan paras enzim-enzim yang menunjukkan kerosakan hati dan tekanan oksidatif seperti alanine aminotransferase (ALT), aspartate aminotransferase (AST) dan malondialdehyde (MDA). [8]
Ini menunjukkan kacang hijau berpotensi untuk digunakan sebagai agen yang melindungi hati.
7. Berpotensi Mencegah Kanser
Kacang hijau juga berpotensi untuk digunakan dalam membantu mencegah kanser.
Kajian-kajian tabung uji menunjukkan protein, peptida dan asid fenolik yang diambil daripada kacang hijau menunjukkan kesan antikanser terhadap beberapa jenis sel kanser seperti kanser payudara, kanser leukimia, kanser serviks, kanser ovari, kanser prostat dan sel-sel kanser sistem penghadaman. [9, 10]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian lanjutan yang diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian-kajian tersebut.
8. Bersifat Antiradang
Keradangan telah diiktiraf sebagai faktor risiko untuk beberapa masalah kesihatan. Terdapat bukti kukuh yang menunjukkan bahawa keradangan kronik adalah faktor utama yang menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan penyakit autoimun, aterosklerosis, dan beberapa jenis kanser.
Terdapat laporan kajian terhadap yang menunjukkan kacang hijau dan tauge mempunyai kesan antikeradangan terhadap:
- sepsis (jangkitan yang disebabkan oleh bakeria atau toksinnya)
- artritis (sakit sendi)
- bengkak di telinga
dan merencatkan protein-protein yang prokeradangan. [11, 12, 13]
9. Boleh Membantu Mencerahkan Kulit
Khasiat kacang hijau juga turut mempunyai khasiat terhadap kesihatan kulit dan boleh membantu mencerahkan kulit.
Terdapat kajian yang mendapati kacang hijau menunjukkan aktiviti perencatan enzim tirosinase yang tinggi. Enzim tirosinase merupakan enzim utama penghasilan melanin. Penghasilan enzim tirosinase yang terlalu tinggi boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada kulit. Contohnya seperti hiperpigmentasi. [14]
Di samping itu, aktiviti perencatan enzim tirosinase oleh kacang hijau juga boleh membantu mencerahkan kulit melalui pengurangan penghasilan melanin.
10. Boleh Membantu Membina Otot
Kacang hijau juga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan protein yang berkualiti tinggi. Kacang hijau mengandungi kesemua 10 asid amino perlu (essential amino acid).
Tambahan daripada itu juga, kandungan asid amino leusina (leucine) yang tinggi dalam kacang hijau bermanfaat untuk membantu meningkatkan jisim otot dan membaiki otot. [15]
Rumusan
Kacang hijau kaya dengan pelbagai nutrien dan antioksidan yang berkhasiat kepada tubuh badan.
Kacang hijau juga berpotensi untuk mencegah penyakit Alzheimer, membantu menurunkan paras gula darah, merendahkan paras kolesterol, mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Justeru itu, manfaatkan khasiat kacang hijau ini dalam diet harian anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Xu, H. et al. (2021). Neuroprotective Potential of Mung Bean (Vigna radiata L.) Polyphenols in Alzheimer’s Disease: A Review. Journal of agricultural and food chemistry.
- Yao, Y. et al. (2013). Antioxidant and antidiabetic activities of black mung bean (Vigna radiata L.). Journal of agricultural and food chemistry.
- Luo, J. et al. (2016). Phytochemical distribution in hull and cotyledon of adzuki bean (Vigna angularis L.) and mung bean (Vigna radiate L.), and their contribution to antioxidant, anti-inflammatory and anti-diabetic activities. Food chemistry.
- Yao, Y. et al. (2014). Mung bean decreases plasma cholesterol by up-regulation of CYP7A1. Plant foods for human nutrition.
- Kohno, M. et al. (2018). Improvement of glucose and lipid metabolism via mung bean protein consumption: clinical trials of GLUCODIA™ isolated mung bean protein in the USA and Canada. Journal of nutritional science.
- Wu, S. J. et al. (2001). Evaluation of hepatoprotective activity of legumes. Phytomedicine.
- Mohd Ali, N. et al. (2013). Antioxidant and hepatoprotective effect of aqueous extract of germinated and fermented mung bean on ethanol-mediated liver damage. BioMed research international.
- Joghatai, M. et al. (2018). The evaluation of radio-sensitivity of mung bean proteins aqueous extract on MCF-7, hela and fibroblast cell line. International journal of radiation biology.
- Xu, B., & Chang, S. K. (2012). Comparative study on antiproliferation properties and cellular antioxidant activities of commonly consumed food legumes against nine human cancer cell lines. Food chemistry.
- Ali, N. M. et al. (2014). Anti-inflammatory and antinociceptive activities of untreated, germinated, and fermented mung bean aqueous extract. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Zhu, S. et al. (2012). It Is Not Just Folklore: The Aqueous Extract of Mung Bean Coat Is Protective against Sepsis. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Venkateshwarlu, E. et al. (2016). Potential of Vigna radiata (L.) sprouts in the management of inflammation and arthritis in rats: Possible biochemical alterations. Indian journal of experimental biology.
- Yao, Y. et al. (2011). Biological potential of sixteen legumes in China. International journal of molecular sciences.
- Duan, Y. et al. (2015). Nutritional and regulatory roles of leucine in muscle growth and fat reduction. Frontiers in bioscience.