Jantung pisang mungkin tidak asing bagi masyarakat setempat dan penduduk Asia. Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui sebenarnya terdapat banyak khasiat jantung pisang terhadap kesihatan tubuh badan.
Oleh itu, artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai khasiat-khasiat jantung pisang yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan anda.
Jantung pisang atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil banana blossom atau banana heart mempunyai warna merah gelap dan merah manggis serta berbentuk kon seolah-olah bentuk jantung. Mungkin sebab itu ia dipanggil jantung pisang.
Bagi masyarakat Melayu di negara ini, jantung pisang lazimnya dijadikan ulam. Ia dicelur terlebih dahulu dan dihidangkan bersama-sama sambal belacan dan nasi putih.
Pokok pisang yang matang akan menghasilkan buah dan jantung pisang. Jantung pisang ini biasanya dipangkas supaya buah pisang menjadi lebih besar.
Tanpa jantung pisang ini, maka baja yang diberikan akan tertumpu kepada tumbesaran buah.
Berikut adalah beberapa khasiat jantung pisang untuk kesihatan:
1. Mengandungi Nutrien Penting
Jantung pisang turut mengandungi nutrien-nutrien penting yang diperlukan untuk fungsi badan yang sempurna.
Bagi 100 gram jantung pisang, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 41 kcal
- Protein: 1.8 gram
- Karbohidrat: 6.4 gram
- Serat: 1 gram
- Kalsium: 73 miligram
- Zat besi: 2.1 miligram
- Fosforus: 30 miligram
- Kalium: 601 miligram
- Vitamin C: 5.8 miligram
- Vitamin B3: 1.1 miligram
- Vitamin A: 32 mikrogram
2. Boleh Membantu Penghadaman
Jantung pisang mengandungi serat diet seperti serat larut dan serat tak larut. Serat diet ini boleh membantu melancarkan sistem penghadaman.
Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pemakanan serat diet boleh meningkatkan komuniti bakteria baik di dalam usus besar. [2]
Kesannya, ia dapat mencegah daripada berlakunya penyakit yang lebih serius seperti kanser usus besar.
Selain itu juga, pengambilan serat diet boleh membantu melancarkan pembuangan air besar dan mencegah daripada berlakunya sembelit.
3. Boleh Membantu Merendahkan Paras Kolesterol
Jantung pisang juga berkhasiat dalam membantu merendahkan paras kolesterol dalam darah. Ini menjadikan makanan ini sesuai untuk mereka yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Khasiat jantung pisang ini ditunjukkan dalam satu kajian terhadap haiwan yang diberikan serbuk jantung pisang. Haiwan tersebut mengalami penurunan paras kolesterol total dan kolesterol jahat. [3]
Tambahan itu juga, kumpulan haiwan yang menerima serbuk jantung pisang ini juga turut mengandungi probiotik yang lebih banyak di dalam usus.
4. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Jantung pisang juga boleh membantu menurunkan paras gula darah. Ini juga bermakna jantung pisang adalah makanan yang berkhasiat kepada penghidap diabetes.
Satu kajian menyatakan bahawa antioksidan kuersetin dan katekin dalam bunga pisang boleh mengurangkan paras gula dalam darah selepas makan. [4]
Antioksidan ini berfungsi dengan menyekat enzim yang memecahkan karbohidrat kepada gula ringkas.
5. Boleh Mencegah Pembesaran Prostat
Jantung pisang juga mungkin bermanfaat kepada kaum lelaki terutamanya mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
Lelaki berusia 50 tahun ke atas berisiko untuk mengalami pembesaran kelenjar prostat yang menyebabkan masalah kencing.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak jantung pisang mempunyai ciri-ciri antiradang yang boleh mengecutkan kelenjar prostat yang membesar. [5]
Asid amino dan asid sitrik dalam jantung pisang dipercayai menyumbang kepada khasiat ini.
Tambahan lagi, kandungan antioksidan seperti kuersetin dalam jantung pisang juga boleh membantu mengurangkan keradangan dalam prostat dan meningkatkan aliran air kencing. [6]
6. Boleh Mencegah Kelesapan Tulang
Jantung pisang juga turut berkhasiat dalam mencegah kelesapan tulang (bone loss).
Terdapat kajian semula yang mendapati antioksidan seperti kuersetin mempunyai ciri-ciri perlindungan tulang yang boleh mengurangkan risiko kelesapan tulang. [7]
Selain itu juga, jantung pisang juga turut mengandungi mineral seperti kalsium. Pengambilan kalsium yang mencukupi penting untuk kesihatan tulang.
7. Boleh Mencegah Anemia
Anemia ialah penyakit yang diakibatkan oleh kekurangan sel-sel darah merah atau hemoglobin dalam sel-sel darah merah.
Jantung pisang boleh membantu mencegah anemia kerana kandungan mineral zat besi yang tinggi didalamnya.
Zat besi adalah mineral yang penting untuk penghasilan sel-sel darah merah.
Di samping itu juga, kandungan vitamin C dalam jantung pisang juga boleh membantu meningkatkan penyerapan zat besi di dalam badan.
8. Membantu Menurunkan Berat Badan
Menjadikan jantung pisang sebagai ulam atau sayur boleh membantu anda untuk menurunkan berat badan.
Hal ini demikian kerana, jantung pisang tinggi dengan kandungan serat dan rendah dengan kalori.
Kandungan serat yang tinggi boleh membantu anda berasa lebih kenyang dan seterusnya boleh mencegah anda daripada makan secara berlebihan.
Rumusan
Jantung pisang adalah makanan warisan yang makin dilupakan. Mungkin sukar untuk mendapatkannya atau mungkin ramai yang tidak mengetahui khasiatnya.
Bagi yang belum mengetahuinya, jantung pisang kaya dengan pelbagai nutrien termasuklah serat, antioksidan, pelbagai vitamin dan serat.
Kajian-kajian awal mendapati jantung pisang berkhasiat dalam membantu meningkatkan kesihatan penghadaman, membantu merendahkan paras kolesterol dan gula darah, mencegah pembesaran prostat dan lain-lain lagi.
Rujukan
- MyFCD. Plantain, Flower (Jantung Pisang); Musa Sapientium.
- Lin, D. et al. (2018). Association of dietary fibre intake and gut microbiota in adults. The British journal of nutrition.
- Liyanage, R. et al. (2016). Banana Blossom (Musa acuminate Colla) Incorporated Experimental Diets Modulate Serum Cholesterol and Serum Glucose Level in Wistar Rats Fed with Cholesterol. Cholesterol.
- Patil, S. M. et al. (2022). Evaluation of flavonoids from banana pseudostem and flower (quercetin and catechin) as potent inhibitors of α-glucosidase: An in silico perspective. Journal of biomolecular structure & dynamics.
- Liu, L. C. et al. (2018). Banana Flower Extract Suppresses Benign Prostatic Hyperplasia by Regulating the Inflammatory Response and Inducing G1 Cell-cycle Arrest. In vivo.
- Cicero, A. F. G. et al. (2019). Nutraceutical treatment and prevention of benign prostatic hyperplasia and prostate cancer. Archivio italiano di urologia, andrologia.
- Wong, S. K. et al. (2020). Quercetin as an Agent for Protecting the Bone: A Review of the Current Evidence. International journal of molecular sciences.