Ikan patin atau nama saintifiknya Pangasianodon hypophthalmus adalah ikan air tawar yang mendiami kawasan sungai dan lombong. Selain dijadikan lauk sebagai sumber protein, ikan patin juga turut mempunyai khasiat lain untuk kesihatan.
Ikan patin sebenarnya berasal dari Sungai Mekong dan Sungai Chao Phraya. Ikan patin kini lebih banyak diternak berbanding ditangkap liar bagi memenuhi permintaan pasaran. Ikan patin turut dijual di pasaran dengan nama Ikan Dory, Swai dan Basa.
Di Malaysia, ikan patin terkenal dengan masakan gulai tempoyak. Selain itu, ikan ini turut boleh dimasak dengan pelbagai jenis masakan lain seperti asam pedas, goreng berlada, asam rebus dan lain-lain lagi.
Masyarakat umum mungkin melihat ikan patin sebagai lauk atau sumber protein sahaja. Tetapi, sebenarnya ikan patin ini mengandungi khasiat lain yang bermanfaat kepada kesihatan mereka yang memakannya.
Oleh itu, artikel ini akan menerangkan beberapa khasiat yang terkandung dalam ikan patin yang menjadi kesukaan ramai ini.
Berikut adalah beberapa khasiat ikan patin yang bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan.
1. Mengandungi Zat-zat Penting
Ikan patin adalah sumber yang baik untuk mendapatkan protein. Ikan adalah makanan yang baik untuk mendapatkan protein berkualiti. Bagi 100 gram ikan patin boleh membekalkan kira-kira 17 gram protein.
Selain kandungan protein, ikan patin juga turut mengandungi zat-zat lain seperti: [1]
- Kalsium
- Zat besi
- Fosforus
- Kalium
- Vitamin C
- Vitamin A
- Vitamin B
Ikan patin juga tergolong dalam kategori ikan berlemak. Ikan berlemak ialah ikan yang tinggi dengan kandungan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan.
Terdapat 3 jenis utama asid lemak Omega-3 iaitu alpha-linolenic acid (ALA), eicosapentaenoic acid (EPA) dan docosahexaenoic acid (DHA). ALA biasanya dijumpai dalam minyak tumbuhan manakala EPA dan DHA boleh dijumpai dalam makanan laut dan ikan
Minyak ikan atau asid lemak Omega-3 ini mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan badan manusia.
2. Baik untuk Perkembangan Otak
Kandungan minyak ikan atau Omega-3 dalam ikan patin bermanfaat untuk perkembangan otak terutamanya kepada bayi.
Kandungan DHA daripada Omega-3 ini penting untuk perkembangan otak dan mata. Oleh sebab itu, wanita hamil dan menyusukan anak disarankan untuk mendapatkan asid lemak Omega-3 secukupnya. [2]
Terdapat juga kajian kohort yang melibatkan 1566 individu melaporkan bahawa pengambilan ikan lebih 1 hidangan seminggu boleh mengurangkan kadar kemerosotan kognitif yang meningkat selari dengan peningkatan usia. [3]
Kognitif ialah proses mental seseorang untuk berfikir, mempelajari dan memahami sesuatu ilmu atau pengetahuan.
3. Baik untuk Kesihatan Jantung
Ikan patin juga baik untuk kesihatan jantung. Hal ini kerana, kandungan Omega-3 dalam ikan patin ini.
Kajian oleh American Physiological Society menunjukkan, pengambilan Omega-3 atau minyak ikan boleh melindungi jantung ketika tekanan mental. [4]
Menariknya lagi, terdapat juga kajian-kajian lain yang menunjukkan mereka yang kerap makan ikan boleh mengurangkan risiko serangan jantung, strok atau mati akibat penyakit jantung. [5, 6, 7]
Satu kajian kohort turut melaporkan bahawa lelaki yang makan ikan 1 hidangan atau lebih sehari boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 15%. [8]
Para pengkaji percaya kandungan Omega-3 dalam ikan berlemak menyumbang kepada kesihatan jantung ini.
4. Rendah Kalori
Ikan patin juga adalah kumpulan makanan yang rendah kalori. 100 gram ikan patin ini hanya mengandungi 118 kalori sahaja.
Makanan yang rendah kalori ini sesuai untuk mereka yang ingin mengurangkan pengambilan kalori harian atau dalam proses menurunkan berat badan.
5. Baik untuk Kesihatan Mata
Pengambilan ikan seperti ikan patin dalam diet harian juga baik untuk kesihatan mata. Penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia (AMD) adalah salah satu penyakit mata yang boleh memyebab buta dalam kalangan warga emas.
Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa ikan dan Omega-3 boleh membantu melawan penyakit ini.
Satu kajian melaporkan bahawa pengambilan ikan dikaitkan dengan pengurangan risiko degenerasi makular berkaitan usia dalam kalangan wanita sebanyak 42%. Kebaikan ini disumbang oleh kandungan DHA dan EPA dalam ikan. [9]
Kajian kohort turut melaporkan bahawa pengambilan ikan berlemak yang mengandungi DHA dan EPA dalam diet harian boleh mencegah atau melambatkan berlakunya degenerasi makular berkaitan usia (AMD). [10]
Rumusan
Ikan patin adalah ikan air tawar yang mempunyai khasiat dan kelebihannya sendirinya. Selain isinya yang lembut dan enak, ikan patin turut mengandungi lemak sihat seperti Omega-3 yang mempunyai pelbagai kebaikan untuk kesihatan badan.
Rujukan
- Malaysian Food Composition Database. (1997).
- Koletzko, B., et al. (2008). The roles of long-chain polyunsaturated fatty acids in pregnancy, lactation and infancy: review of current knowledge and consensus recommendations. Journal of perinatal medicine.
- Qin, B., et al. (2014). Fish intake is associated with slower cognitive decline in Chinese older adults. The Journal of nutrition.
- American Physiological Society (APS). (2013, May 22). Fish oil may help the heart beat mental stress. ScienceDaily.
- Buscemi, S., et al. (2014). Habitual fish intake and clinically silent carotid atherosclerosis. Nutrition journal.
- Zheng, J. et al. (2012). Fish consumption and CHD mortality: an updated meta-analysis of seventeen cohort studies. Public health nutrition.
- Djoussé, L. et al. (2012). Fish consumption, omega-3 fatty acids and risk of heart failure: a meta-analysis. Clinical nutrition.
- Virtanen, J. K. et al. (2008). Fish consumption and risk of major chronic disease in men. The American journal of clinical nutrition.
- Christen, W. G., et al. (2011). Dietary ω-3 fatty acid and fish intake and incident age-related macular degeneration in women. Archives of ophthalmology.
- Wu, J., et al. (2017). Dietary Intakes of Eicosapentaenoic Acid and Docosahexaenoic Acid and Risk of Age-Related Macular Degeneration. Ophthalmology.