Khasiat gamat telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional. Gamat atau Timun Laut ialah hidupan laut yang boleh didapati di seluruh dunia namun lebih tertumpu di Asia dan Lautan Pasifik.
Habitat gamat adalah di dasar laut dan kawasan mempunyai terubu karang. Di Malaysia, gamat boleh didapati di perairan Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Hidupan marin ini bersaiz beberapa milimeter dan boleh mencapai saiz sehingga 2 meter.
Gamat sinonim dengan perubatan tradisional masyarakat Melayu. Gamat mentah dijadikan sebagai sumber makanan atau diproses untuk digunakan sebagai perubatan alternatif ataupun untuk tujuan kecantikan.
Gamat yang diproses dan dijadikan minyak boleh digunakan untuk menyembuhkan luka atau merawat penyakit kulit dan juga boleh diminum sebagai tonik kesihatan. Gamat juga boleh disapu pada wajah dan badan untuk mendapatkan kulit yang cantik.
Berikut ialah khasiat gamat serta potensinya dalam kesihatan berdasarkan kajian:
1. Tinggi dengan Protein
Gamat merupakan makanan yang tinggi dengan sumber protein dan rendah kalori.
Gamat membekalkan 13 gram protein bagi setiap 110 gram hidupan ini, iaitu kira-kira 21% daripada RNI (recommended nutrient intake) untuk protein bagi lelaki dewasa di Malaysia.
Ini menjadikan gamat makanan yang sesuai bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Makanan yang tinggi protein boleh membuatkan anda berasa kenyang lebih lama dan turut menstabilkan paras gula dalam darah. [2]
Makanan tinggi protein seperti gamat ini juga sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kencing manis (diabetes).
2. Tinggi dengan Antioksidan
Gamat juga kaya dengan kandungan antioksidan seperti flavonoid dan fenol. Sebatian ini sudah terbukti berkesan dalam merawat atau melawan radang.
Sebatian ini juga dikaitkan dengan mengurangkan risiko terkena penyakit kronik seperti penyakit jantung, strok dan penyakit Alzheimer. [3, 4]
Timun laut atau gamat ini juga mengandungi sebatian bioaktif yang dikenali sebagai saponin. Saponin ini mempunyai ciri-ciri seperti antitumor, antihipertensi, menghalang pengumpulan lemak, dan lain-lain lagi. [5]
3. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Gamat mempunyai sebatian aktif yang dikenali sebagai triterpene glycosides yang boleh melawan kanser.
Beberapa kajian menunjukkan sebatian ini boleh menghalang pertumbuhan sel-sel kanser bagi kanser pankreas. [6]
Kajian tabung uji turut menunjukkan triterpene diglycosides ini mempunyai kesan toksik terhadap sel-sel kanser seperti kanser payudara, prostat dan kulit . [7]
Kajian makmal lain turut mendapati sebatian ini boleh membunuh sel-sel kanser bagi kanser kolorektum dan leukemia. [8]
4. Mempunyai Ciri-ciri Antikulat
Jangkitan yis atau kulat banyak menyerang golongan wanita.
Kajian menunjukkan ekstrak gamat boleh melawan spesies Candida albicans, fungus yang menyebabkan jangkitan yis terhadap manusia sekiranya bilangannya tidak terkawal. [9]
Selain itu, ekstrak gamat dari laut Oman juga menunjukkan sifat antikulat yang hampir sama dengan ubat terhadap spesies kulat jenis Trychophyton mentagrophytes, Sporothrix schenckii dan Aspergillus fumigatus. [10]
5. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kajian terhadap haiwan yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi menunjukkan penurunan selepas diberi makan ekstrak gamat. [11]
Kajian lain terhadap tikus yang diberikan diet kaya dengan gamat menurunkan jumlah kolesterol, kolestrol-LDL dan trigliserida. [12]
Paras kolesterol terutamanya kolesterol LDL yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Rumusan
Khasiat gamat merangkumi keupayaannya untuk melawan kanser, bersifat antikulat dan tinggi dengan kandungan antioksidan.
Gamat juga merupakan sumber makanan yang tinggi protein. Walau bagaimanapun, gamat juga mempunyai sifat pencair darah. Maka, mereka yang mengambil ubat pencair darah harus menghindari gamat terutamanya dalam bentuk makanan tambahan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Westerterp-Plantenga, M. S. et al. (2012). Dietary protein – its role in satiety, energetics, weight loss and health. The British journal of nutrition.
- Spagnuolo, C. et al. (2018). Anti-inflammatory effects of flavonoids in neurodegenerative disorders. European journal of medicinal chemistry.
- McCullough, M. L. et al. (2012). Flavonoid intake and cardiovascular disease mortality in a prospective cohort of US adults. The American journal of clinical nutrition.
- Zhao, Y. C. et al. (2018). Saponins from Sea Cucumber and Their Biological Activities. Journal of agricultural and food chemistry.
- Li, X. et al. (2008). Review of the apoptosis pathways in pancreatic cancer and the anti-apoptotic effects of the novel sea cucumber compound, Frondoside A. Annals of the New York Academy of Sciences.
- Cuong, N. X. et al. (2017). Cytotoxic triterpene diglycosides from the sea cucumber Stichopus horrens. Bioorganic & medicinal chemistry letters.
- Yun, S. H. et al. (2012). Stichoposide C induces apoptosis through the generation of ceramide in leukemia and colorectal cancer cells and shows in vivo antitumor activity. Clinical cancer research.
- Lakshmi, V. et al. (2012). Antifungal activity of bivittoside-D from Bohadschia vitiensis (Semper). Natural product research.
- Adibpour, N. et al. (2014). Antibacterial and Antifungal Activity of Holothuria leucospilota Isolated From Persian Gulf and Oman Sea. Jundishapur journal of microbiology.
- Sadegh Vishkaei, M. et al. (2016). Angiotensin-I Converting Enzyme (ACE) Inhibitory and Anti-Hypertensive Effect of Protein Hydrolysate from Actinopyga lecanora (Sea Cucumber) in Rats. Marine drugs.
- Olivera-Castillo, L. et al. (2013). Diets containing sea cucumber (Isostichopus badionotus) meals are hypocholesterolemic in young rats. PloS one.