Betulkah khasiat durian belanda boleh membunuh sel kanser? Betulkah khasiatnya 200 kali ganda lebih baik daripada kemoterapi? Sebelum-sebelum ini ada dihebahkan mengenai khasiat durian belanda ini untuk mengubati penyakit kanser. Adakah benar? Teruskan membaca.
Durian belanda atau nama saintifiknya Annona muricata adalah tumbuhan yang berasal dari Selatan dan Amerika dan kini boleh didapati di negara-negara subtropika seperti Malaysia, India dan Nigeria.
Dalam bahasa inggeris, durian belanda dipanggil Soursop atau Graviola. Buah ini juga adalah dalam keluarga yang sama dengan buah nona iaitu keluarga Annonaceae.
Buah durian belanda kebiasaannya dimakan secara segar dan apabila sudah masak isinya lebih lembut berbanding yang masih muda.
Dalam perubatan tradisional, buah durian belanda dipercayai boleh mengubati sakit sendi, cirit-birit, demam, malaria, parasit, sakit-sakit otot, ruam kulit, cacing dan untuk meningkatkan susu ibu selepas bersalin.
Daunnya pula dipercayai boleh kencing manis, sakit kepala, insomnia dan sistitis.
Berikut adalah beberapa khasiat durian belanda yang disokong oleh kajian-kajian sains:
1. Kaya dengan Nutrien-nutrien Penting
Dalam 100 gram buah ini, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Air: 81%
- Tenaga: 66 kcal
- Protein: 1 gram
- Karbohidrat: 16.8 gram
- Serat: 3.3 gram
- Kalsium: 14 miligram
- Zat besi: 0.6 miligram
- Magnesium: 21 miligram
- Kalium: 278 miligram
- Vitamin C: 20.6 miligram
- Folat: 14 mikrogram
Buah ini juga turut mempunyai mineral dan vitamin seperti fosforus, zink, tembaga, selenium dan vitamin B.
2. Berpotensi Mencegah dan Merawat kanser
Kanser adalah penyebab kedua tertinggi kematian di seluruh dunia.
Pelbagai kajian yang dijalankan terhadap durian belanda menunjukkan kesan antikanser. Durian belanda mempunyai sebatian yang dikenali sebagai annonaceous acetogenin. Sebatian ini dikaitkan dengan banyak aktiviti antikanser.
Kajian makmal mendapati ekstrak daun durian belanda ini boleh membunuh sel-sel kanser dalam kanser kolon dan kanser paru-paru. [2, 3]
Selain itu, kajian terhadap haiwan juga menunjukkan keupayaan ekstrak daun durian belanda dalam menghalang sel-sel kanser dari bercambah atau merebak. [4]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan ekstrak air daun durian belanda boleh mengecilkan saiz kanser prostat, kemungkinan melalui kematian sel kanser tersebut. [5]
Satu kajian kes terhadap wanita berumur 60 tahun yang menghidap kanser payudara mendapati pengambilan air rebusan daun durian belanda dapat menstabilkan penyakit wanita tersebut tanpa mengalami kesan sampingan. [6]
Walau bagaimanapun, kajian klinikal terhadap manusia masih terhad. Lebih banyak kajian klinikal terhadap penghidap kanser perlu dilakukan untuk mengesahkan kajian-kajian makmal ini.
3. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Durian belanda telah digunakan sebagai ejen antimikrob dan antiparasit oleh perubatan tradisional.
Ekstrak daun durian belanda didapati berkesan untuk membunuh beberapa jenis bakteria termasuklah yang mengakibatkan pereputan gigi, gingivitis (radang pada gusi) dan jangkitan kulat. [7]
Biji buah durian belanda juga menunjukkan kesan antiparasit dengan menghalang tumbesaran parasit jenis E. histolytica, N. brasiliensis, M. dessetae dan A. salina. [8]
Kebanyakan kajian ini ialah daripada kajian makmal atau kajian tabung uji.
4. Boleh Membantu Menstabilkan Gula Darah
Kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak durian belanda boleh merendahkan paras gula darah.
Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap tikus makmal yang menghidap diabetes mendapati tikus yang diberikan ekstrak durian belanda mempunyai paras gula darah 5 kali lebih rendah berbanding yang lain. [9]
Kajian lain turut menunjukkan potensi yang sama. Haiwan yang diberikan air ekstrak daun durian belanda menunjukkan kesan antidiabetes iaitu penurunan gula darah, peningkatan insulin darah, penurunan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida. [10]
5. Mempunyai Ciri-ciri Antiradang
Buah durian belanda muda mempunyai ciri-ciri antiradang dan analgesik (bahan yang melegakan kesakitan).
Buah durian belanda muda ini telah digunakan dalam perubatan tradisional Afrika untuk melegakan kesakitan sakit sendi, otot-otot dan saraf.
Satu kajian mendapati ekstrak buah durian belanda yang muda mempunyai ciri-ciri antiradang dan analgesik. [11]
Kajian lain juga turut menunjukkan hasil yang sama di mana ekstrak buah durian belanda boleh mencegah keradangan. [12]
6. Boleh Membantu Mencegah Ulser
Ulser boleh berlaku didalam perut,usus dan esofagus.
Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan daun durian belanda boleh melindungi bahagian perut daripada berlakunya ulser. [13]
Rumusan
Durian belanda sememangnya mempunyai banyak potensi dalam dunia perubatan. Khasiat durian belanda boleh didapati daripada buah, biji, akar dan juga daunnya.
Banyak kajian makmal dan kajian terhadap haiwan menyokong khasiat durian belanda ini. Walau bagaimanapun, kajian keberkesanan khasiatnya masih kurang dari segi percubaan klinikal terhadap manusia.
Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa banyak khasiat atau nilai perubatan durian belanda datang daripada daunnya.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Moghadamtousi, S. Z. et al. (2015). Annona muricata (Annonaceae): A Review of Its Traditional Uses, Isolated Acetogenins and Biological Activities. International journal of molecular sciences.
- Moghadamtousi, S. Z. et al. (2014). Annona muricata leaves induced apoptosis in A549 cells through mitochondrial-mediated pathway and involvement of NF-κB. BMC complementary and alternative medicine.
- Zorofchian Moghadamtousi, S. et al. (2014). Annona muricata leaves induce G₁ cell cycle arrest and apoptosis through mitochondria-mediated pathway in human HCT-116 and HT-29 colon cancer cells. Journal of ethnopharmacology.
- Zorofchian Moghadamtousi, S. et al. (2015). The chemopotential effect of Annona muricata leaves against azoxymethane-induced colonic aberrant crypt foci in rats and the apoptotic effect of Acetogenin Annomuricin E in HT-29 cells: a bioassay-guided approach. PloS one.
- Asare, G. A. et al. (2015). Antiproliferative activity of aqueous leaf extract of Annona muricata L. on the prostate, BPH-1 cells, and some target genes. Integrative cancer therapies.
- Hansra, D. et al. (2014). Patient with Metastatic Breast Cancer Achieves Stable Disease for 5 Years on Graviola and Xeloda after Progressing on Multiple Lines of Therapy. Advances in Breast Cancer Research.
- Pai, B. M. et al. (2016). Anti-microbial Efficacy of Soursop Leaf Extract (Annona muricata) on Oral Pathogens: An In-vitro Study. Journal of clinical and diagnostic research.
- Bories, C. et al. (1991). Antiparasitic activity of Annona muricata and Annona cherimolia seeds. Planta medica.
- Adeyemi, D. O. et al. (2008). Anti hyperglycemic activities of Annona muricata (Linn). African journal of traditional, complementary, and alternative medicines.
- Adewole, S. O., & Ojewole, J. A. (2008). Protective effects of Annona muricata Linn. (Annonaceae) leaf aqueous extract on serum lipid profiles and oxidative stress in hepatocytes of streptozotocin-treated diabetic rats. African journal of traditional, complementary, and alternative medicines.
- Ishola, I. O. et al. (2014). Mechanisms of analgesic and anti-inflammatory properties of Annona muricata Linn. (Annonaceae) fruit extract in rodents. Journal of medicinal food.
- Oliveira, A. P. et al. (2017). Exploratory Studies on the in Vitro Anti-inflammatory Potential of Two Herbal Teas (Annona muricata L. and Jasminum grandiflorum L.), and Relation with Their Phenolic Composition. Chemistry & biodiversity.
- Moghadamtousi, S. Z. et al. (2014). Gastroprotective activity of Annona muricata leaves against ethanol-induced gastric injury in rats via Hsp70/Bax involvement. Drug design, development and therapy.