Daun pecah beling atau nama saintifiknya Strobilanthes crispus adalah daun daripada tumbuhan herba yang dikenali sebagai pokok pecah beling. Khasiat daun pecah beling ini telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai penyakit seperti batu karang, diabetes jenis 2 dan lain-lain.
Pokok pecah beling turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti pecah kaca, keji beling, karang jin, jin batu dan bayam karang. Ia turut dikenali sebagai hei mian jiang jun oleh masyarakat Cina.
Pokok pecah beling ini dipercayai berasal dari Madagascar dan telah tersebar ke Malaysia dan beberapa negara Asia yang lain.

Sumber imej: Mokkie, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons
Daun pecah beling terkenal sebagai herba tradisional yang digunakan untuk merawat batu karang, diabetes (penyakit kencing manis), tekanan darah tinggi (hipertensi), luka dan laksatif.
Melihat potensinya yang memberangsangkan, kajian-kajian saintifik turut dijalankan bagi membuktikan khasiat-khasiat daun pecah beling.
Artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat daun pecah beling berdasarkan sokongan kajian-kajian sains:
1. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Daun pecah beling berkhasiat kepada penghidap penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2 kerana sifatnya yang boleh membantu mengawal paras gula darah.
Satu kajian yang menjadikan daun pecah beling seperti teh melaporkan bahawa ekstrak teh daun pecah beling yang difermentasi dan tidak difermentasi boleh menurunkan paras gula darah dalam kalangan haiwan yang menghidap diabetes. [1]
Menariknya juga, teh daun pecah beling yang tidak difermentasi turut menurunkan paras gula darah bagi haiwan yang mempunyai paras gula darah yang normal.
Terdapat kajian lain yang turut mendapati bahawa jus pecah beling turut menurunkan paras gula darah bagi haiwan yang menghidap diabetes dan haiwan yang normal. [2]
2. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Daun pecah beling juga boleh membantu menambah baik profil lipid (lemak) seperti menurunkan paras kolesterol total, trigliserida dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) serta meningkatkan kolesterol HDL (kolesterol baik).
Kajian terhadap haiwan menunjukkan teh daun pecah beling boleh membantu menambah baik profil lipid bagi haiwan yang menghidap diabetes dan normal. [1]
Kesan yang sama turut dilaporkan dalam satu kajian lain yang menggunakan jus daun pecah beling terhadap haiwan diabetes dan normal. [2]
3. Boleh Membantu Menyembuhkan Luka
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, daun pecah beling juga turut berkhasiat dalam membantu menyembuhkan luka.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati jus daun pecah beling boleh meningkatkan penyembuhan luka dengan ketara. [3]
Kajian lain turut melaporkan bahawa luka yang dirawat dengan ekstrak daun pecah beling lebih cepat sembuh dan saiz parut yang lebih kecil. [4]
4. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Terdapat kajian yang mendapati daun pecah beling mengandungi beberapa sebatian antioksidan yang hebat seperti katekin, luteolin, apigenin, epikatekin, naringenin, rutin, mirisetin dan kaempferol. [5]
5. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Daun pecah beling juga berpotensi untuk digunakan bagi mencegah dan merawat kanser.
Terdapat banyak kajian-kajian awal yang menunjukkan bahawa daun pecah beling berpotensi untuk mencegah kanser-kanser seperti kanser usus besar, kanser paru-paru, kanser hati dan kanser payudara.
Sebagai contoh, satu kajian terhadap haiwan mendapati bahawa ekstrak daun pecah beling menunjukkan ciri-ciri yang boleh mencegah pembentukan kanser usus besar. [6]
Satu kajian lain mendapati teh daun pecah beling menunjukkan ciri-ciri antikanser terhadap sel-sel kanser payudara. [7]
6. Berpotensi Mengurangkan Ulser Perut
Khasiat daun pecah beling juga didapati berpotensi dalam membantu melindungi perut daripada luka (ulser) yang turut dikenali sebagai ulser gaster.
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak daun pecah beling ini menunjukkan perlindungan terhadap perut dengan mengurangkan pembentukan luka pada lapisan pelapik perut. [8]
Ekstrak daun pecah beling ini juga turut meningkatkan penghasilan mukosa iaitu lapisan pelapik yang melindungi perut daripada asid perut.
7. Boleh Mencegah dan Merawat Batu Karang
Seperti mana penggunaannya dalam perubatan tradisional, daun pecah beling juga turut didapati boleh mencegah dan merawat penyakit batu karang.
Batu karang terbentuk hasil daripada pengumpulan mineral dan garam di dalam buah pinggang (ginjal) seperti kalsium dan oksalat.
Sesetengah masyarakat berpandangan bahawa daun pecah beling ini boleh memecahkan batu karang.
Kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa ekstrak daun pecah beling boleh meningkatkan pelarutan kalsium dan oksalat di dalam air kencing yang seterusnya boleh mencegah pembentukan batu karang. [9]
Satu laporan kes yang melibatkan kucing yang mengalami batu karang mendapati pemberian kapsul daun pecah beling selama 3 hari berturut-turut berjaya menghilangkan batu karang yang dialami oleh haiwan tersebut. [10]
Walau bagaimanapun, kajian klinikal terhadap manusia masih terhad.
8. Bersifat Antibakteria
Daun pecah beling juga berkhasiat dalam membantu melawan jangkitan bakteria kerana sifat antibakterianya.
Satu kajian mendapati ekstrak etanol daun pecah beling menunjukkan ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria Staphylococcus aureus (S. aureus) dan Streptococcus pneumoniae (S. pneumoniae). [11]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan, pneumonia (radang paru-paru), jangkitan salur darah serta jangkitan pada tulang dan sendi.
Risiko dan Kesan Sampingan
Secara umumnya, pengambilan air rebusan daun pecah beling atau produk yang mengandungi daun pecah beling ini adalah selamat selagi mengikut dos yang dinyatakan bagi produk-produk tersebut.
Kajian ketoksikan yang dijalankan terhadap haiwan mendapati tiada tanda-tanda ketoksikan bagi jus daun pecah beling diperhatikan bagi haiwan yang diberikan dos maksimum 4900 mg/kg berat badan. [12]
Rumusan
Khasiat daun pecah beling telah dimanfaatkan oleh orang-orang terdahulu dalam perubatan tradisional.
Kajian-kajian sains turut mendapati daun pecah beling mempunyai banyak khasiat yang selari dengan penggunaan tradisional daun ini.
Kajian-kajian lanjutan terutamanya kajian klinikal masih banyak diperlukan bagi menguatkan lagi hasil-hasil kajian sedia ada.
Rujukan
- Fadzelly, A. B. et al. (2006). Effects of Strobilanthes crispus tea aqueous extracts on glucose and lipid profile in normal and streptozotocin-induced hyperglycemic rats. Plant foods for human nutrition.
- N.A. Norfarizan-Hanoon, R. et al. (2009). Antihyperglycemic, Hypolipidemic and Antioxidant Enzymes Effect of Strobilanthes crispus Juice in Normal and Streptozotocin-Induced Diabetic Male and Female Rats. International Journal of Pharmacology.
- N.A. Norfarizan-Hanoon. et al. (2009). Effects of Strobilanthes crispus Juice on Wound Healing and Antioxidant Enzymes in Normal and Streptozotocin-Induced Diabetic Rats. Journal of Biological Sciences.
- Alhenhena, Nawal. et al. (2011). Histological study of wound healing potential by ethanol leaf extract of Strobilanthes crispus in rats. Journal of Medicinal Plants Research.
- M.S. Liza. et al. (2010). Supercritical carbon dioxide extraction of bioactive flavonoid from Strobilanthes crispus (Pecah Kaca). Food and Bioproducts Processing.
- Al-Henhena, N. et al. (2015). Evaluation of chemopreventive potential of Strobilanthes crispus against colon cancer formation in vitro and in vivo. BMC complementary and alternative medicine.
- Mohd Fadzelly Abu Bakar. et al. (2006). Antiproliferative Properties and Antioxidant Activity of Various Types of Strobilanthes crispus Tea. International Journal of Cancer Research.
- Abdulla, Mahmood. et al. (2011). Evaluation of gastroprotective effects of Strobianthes crispus leaf extract on ethanol-induced gastric mucosal injury in rats. Scientific Research and Essays.
- Vika Ramadhani et al. (2021). Overview of Phytochemicals and Pharmacological Activity of Keji Beling Plant (Strobilanthes crispus Bl.). International Journal of Pharmaceutical Sciences and Medicine.
- Permadi IGWDS. et al. (2023). Administration of Strobilanthes crispus in an Angora Cat with Feline Lower Urinary Tract Disease. World Vet. J.
- Lim, Vuanghao. et al. (2015). Antimicrobial Evaluation and GC-MS Analysis of Strobilanthes crispus Ethanolic Leaf Extract. European Journal of Medicinal Plants.
- N.A. Norfarizan Hanoon. et al. (2012). Absence of Toxicity of Strobilanthes crispa Juice in Acute Oral Toxicity Study in Sprague Dawley Rats. Sains Malaysiana.