Mungkin ramai yang tahu akan kelebihan daun pandan jika digunakan dalam masakan. Tetapi mungkin ramai tidak tahu akan khasiat daun pandan dalam perubatan. Artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat daun pandan kepada kesihatan anda.
Daun pandan terkenal sebagai perisa semula jadi dek kerana rasa manis dan menyelerakannya. Daun ini digunakan secara meluas di negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Selain digunakan dalam masakan nasik lemak, daun pandan juga turut digunakan untuk membuat makanan lain seperti pencuci mulut, manisan, jem kelapa dan aiskrim. Oleh sebab kandungan klorofil yang tinggi, daun pandan juga digunakan sebagai pewarna hijau yang popular untuk makanan.

Di samping membekalkan rasa dan aroma, daun pandan juga turut mengandungi khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan.
Berikut adalah khasiat-khasiat daun pandan yang turut disokong oleh kajian sains:
1. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Daun pandan boleh membantu mengawal paras gula darah.
Khasiat daun pandan dapat diperhatikan dalam satu kajian yang melibatkan 30 individu dewasa yang sihat. Mereka diberikan minuman teh daun pandan selepas pengambilan gula sebanyak 75 gram.
Hasil daripada kajian tersebut mendapati mereka yang meminum teh daun pandan ini pulih lebih baik daripada ujian gula darah berbanding mereka yang hanya meminum air panas. [1]
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Daun pandan juga turut kaya dengan pelbagai sebatian bioaktif yang mempunyai ciri-ciri antioksidan seperti katekin, asid galik, asid kafeik, kaempferol, naringin, luteolin, kuersetin dan mirisetin.
Menariknya, daun padan bagi sesetengah lokaliti mengandungi kaempferol iaitu flavanoid yang jarang-jarang dijumpai dalam tumbuhan. Bahkan, kaempferol dalam daun pandan didapati lebih tinggi daripada daun pegaga. [2]
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Selain itu juga, daun pandan turut didapati berpotensi untuk mencegah kanser.
Kajian awal mendapati ekstrak daun pandan menunjukkan aktiviti-aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser payudara. [2]
Terdapat juga kajian lain yang mendapati ekstrak daun pandan boleh membunuh sel-sel kanser payudara bebas hormon. [3]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian-kajian lanjut diperlukan untuk melihat kesannya terhadap manusia.
4. Mengurangkan Risiko Terhadap Sindrom Metabolik
Sindrom metabolik adalah masalah yang terus berkembang yang terdiri daripada pelbagai kelompok disfungsi metabolik seperti obesiti, hipertensi, hiperglisemia (paras gula darah tinggi) dan dislipidemia (paras lipid yang tinggi) yang membawa kepada penyakit kardiovaskular, diabetes dan strok.
Pemakanan yang sihat adalah salah satu faktor yang boleh membantu mencegah sindrom metabolik.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak air daun pandan boleh melemah atau mengurangkan gejala-gejala sindrom metabolik seperti pengumpulan tisu lemak, BMI,tekanan darah tinggi, paras gula darah tinggi,trigliserida tinggi, paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) tinggi dan meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL). [4]
Ciri-ciri ini menunjukkan bahawa daun pandan berguna untuk dijadikan penokok diet yang boleh menambah baik sindrom metabolik.
5. Mempunyai Ciri-ciri Antibakteria
Daun pandan juga boleh bertindak sebagai agen antibakteria terhadap beberapa jenis bakteria seperti Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus dan Proteus mirabilis. [5, 6]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan, jangkitan saluran pernafasan, jangkitan luka dan jangkitan saluran kencing (kencing kotor).
Kajian menunjukkan ciri-ciri antibakteria daun pandan terhadap bakteria Pseudomonas aeruginosa oleh kandungan sebatian aktif di dalamnya iaitu pandamarilactonine-A. [5]
6. Mempunyai Ciri-ciri Antivirus
Selain bersifat antibakteria, daun pandan juga didapati mempunyai ciri-ciri antivirus.
Kajian menunjukkan, sebatian laktin yang diekstrak daripada daun pandan memiliki aktiviti-aktiviti antivirus terhadap virus yang sering menyebabkan jangkitan terhadap manusia seperti virus herpes simpleks jenis 1 (HSV-1) dan virus influenza (H1N1). [7]
7. Boleh Dijadikan Pengawet Makanan
Daun pandan juga berkhasiat untuk dijadikan pengawet makanan semula jadi. Penggunaan daun pandan ini boleh mengurangkan kebergantungan terhadap pengawet makanan sintetik yang mungkin berbahaya.
Kajian oleh pengkaji dari Indonesia mendapati ekstrak daun pandan selamat digunakan sebagai pengawet makanan semula jadi yang boleh mencegah serangan bakteria dan kulapok. [8]
Rumusan
Pandan atau daun pandan banyak digunakan di negara-negara Asia Tenggara untuk tujuan masakan atau perubatan. Bau daun pandan ini juga turut dimanfaatkan dalam industri minyak wangi.
Kajian-kajian sains mendapati daun pandan turut mempunyai nilai perubatan seperti membantu mengawal paras gula darah, mengandungi antioksidan, mencegah kanser, mengurangkan risiko sindrom metabolik dan lain-lain.
Rujukan
- Chiabchalard, A., & Nooron, N. (2015). Antihyperglycemic effects of Pandanus amaryllifolius Roxb. leaf extract. Pharmacognosy magazine.
- Ghasemzadeh, A., & Jaafar, H. Z. (2013). Profiling of phenolic compounds and their antioxidant and anticancer activities in pandan (Pandanus amaryllifolius Roxb.) extracts from different locations of Malaysia. BMC complementary and alternative medicine.
- Chong, H. Z. et al. (2012). In vitro evaluation of Pandanus amaryllifolius ethanol extract for induction of cell death on non-hormone dependent human breast adenocarcinoma MDA-MB-231 cell via apoptosis. BMC complementary and alternative medicine.
- Reshidan, N. H. et al. (2019). The effects of Pandanus amaryllifolius (Roxb.) leaf water extracts on fructose-induced metabolic syndrome rat model. BMC complementary and alternative medicine.
- Laluces, H.M. et al. (2015). Antimicrobial alkaloids from the leaves of Pandanus amaryllifolius. J App Pharm Sci.
- Hishamuddin, Fathin Nur’Ezzah.(2015).Antimicrobial study of methanol crude extract of Pandanus amaryllifolius leaves against pathogenic bacteria. Degree thesis, Universiti Teknologi MARA.
- Ooi, L. S. et al. (2004). Purification and characterization of a new antiviral protein from the leaves of Pandanus amaryllifolius (Pandanaceae). The international journal of biochemistry & cell biology.
- Aini, Resmi & Mardiyaningsih, Ana. (2009). Pandan leaves extract (Pandanus amaryllifolius Roxb) as a food preservative. Jurnal Kedokteran dan Kesehatan Indonesia.