Pokok lemuni atau daun lemuni popular dalam kalangan penduduk di Utara Semenanjung Malaysia. Daun lemuni lazimnya digunakan untuk memasak nasi lemak. Walaupun banyak digunakan dalam masakan, namun khasiat daun lemuni mungkin kurang diketengahkan.
Oleh itu, artikel ini menyenaraikan beberapa khasiat daun lemuni berdasarkan sokongan kajian-kajian sains perubatan.
Lemuni atau nama saintifiknya Vitex trifolia turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti lagundi, lemuning, legundi, muning atau demundi. Umumnya, terdapat dua jenis pokok lemuni iaitu pokok lemuni putih dan pokok lemuni hitam (ungu).
Pokok lemuni boleh dijumpai dikawasan berpantai di sekitar Asia Pasifik seperti di China, India, Australia, Malaysia dan Singapura.
Pokok lemuni dan daun lemuni mempunyai sejarah yang agak baik dalam perubatan tradisional. Perubatan tradisional Cina menggunakan buah lemuni untuk merawat keradangan pada mata, sakit kepala, penglihatan kabur, rinitis dan demam selesema.
Manakala, daun lemuni pula direbus untuk merawat keradangan atau dijadikan seperti pes untuk merawat sakit sengal-sengal tulang dan terseliuh.
Selari dengan khasiatnya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden turut dijalankan untuk mengetahui khasiat daun lemuni dari sudut sains.
Berikut adalah khasiat-khasiat daun lemuni berdasarkan kajian:
1. Daun Lemuni Mengandungi Antioksidan
Daun lemuni didapati mengandungi antioksidan. Ini bermakna daun ini mengandungi sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Antara sebatian antioksidan yang dilaporkan terkandung dalam ekstrak daun lemuni adalah:
- casticin
- vitexin
- luteolin
- eucalyptol
- caryophyllene
2. Daun Lemuni Bersifat Antiradang
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, daun lemuni juga bersifat antiradang. Keradangan adalah proses semula jadi badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan.
Meskipun begitu, keradangan yang berlaku secara perlahan dan berpanjangan akan memberikan kesan yang buruk terhadap badan.
Beberapa kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mengalami keradangan seperti sembab atau edema mendapati ekstrak daun lemuni mempunyai aktiviti-aktiviti antiradang dengan mengurangkan sembab yang dialami. [1, 2]
3. Daun Lemuni Berpotensi Antikanser
Daun lemuni juga didapati berpotensi mencegah dan merawat kanser.
Kajian makmal terhadap beberapa sel-sel kanser seperti kanser payudara, serviks, usus besar, leukimia, dan rahim menunjukkan bahawa ekstrak daun lemuni boleh merencatkan pengembangbiakan sel-sel kanser tersebut. [3]
Kajian lain turut melaporkan bahawa ekstrak daun lemuni mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser serviks dan payudara. [4]
4. Daun Lemuni Bersifat Antibakteria
Selain itu, kajian juga turut mendapati bahawa ekstrak daun lemuni menunjukkan aktiviti antibakteria pada tahap sederhana terhadap bakteria-bakteria seperti: [5]
- Bacillus cereus
- Bacillus subtilis
- Staphylococcus aureus
- Escherichia coli
- Salmonella typhi
Bakteria-bakteria ini lazimnya menyebabkan keracunan makanan dan beberapa jangkitan lain.
5. Daun Lemuni Boleh Melindungi Hati
Daun lemuni juga didapati bermanfaat kepada kesihatan hati. Hati manusia berperanan sebagai kilang yang menyingkirkan toksin daripada badan.
Walau bagaimanapun, hati terdedah kepada kerosakan akibat daripada bahan kimia, alkohol dan ubat-ubatan tertentu.
Satu kajian terhadap haiwan mendedahkan bahawa ekstrak etanol dan akueus (berair) daun lemuni boleh melindungi hati daripada kecederaan akibat daripada bahan kimia. [6]
6. Daun Lemuni Berpotensi Mencegah Demam Denggi
Daun lemuni juga dilihat berpotensi untuk mencegah penyakit demam denggi kerana ciri-cirinya yang boleh membunuh jentik-jentik (larva).
Kajian menunjukkan bahawa minyak pati yang diekstrak daripada daun lemuni boleh membunuh jentik-jentik nyamuk Aedes. [7]
7. Daun Lemuni Boleh Membantu Menyembuhkan Luka
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian moden juga mendapati daun lemuni boleh digunakan untuk membantu menyembuhkan luka.
Berdasarkan kajian, ekstrak daun lemuni didapati menunjukkan aktiviti penyembuhan luka yang sangat bagus. Tambahan itu juga, ekstrak daun lemuni turut membantu menyembuhkan keradangan kerana sifat antiradangnya. [8]
Rumusan
Daun lemuni adalah daun tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaannya. Amalan penggunaannya dalam masakan atau dijadikan ulam adalah amalan yang baik.
Selain digunakan dalam perubatan tradisional, kajian-kajian turut menunjukkan daun lemuni mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan manusia.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan terutamanya kajian klinikal perlu lebih giat dijalankan untuk melihat potensi sebenar tumbuhan ini.
Rujukan
- Ankalikar,A. & Iswanathswamy, A.H. (2017). Effect of Leaves of Vitex. trifolia Linn on Different Stages of Inflammation. Indian Journal of Pharmaceutical Education and Research.
- Mustarichie,R. et al. (2018). ED50 from anti-inflammatory properties of Vitex trifolia L. ethanol extract. Natl J Physiol Pharm Pharmacol.
- Siew, Y. Y. et al. (2019). Evaluation of anti-proliferative activity of medicinal plants used in Asian Traditional Medicine to treat cancer. Journal of ethnopharmacology.
- Vasanthi, VJ. et al. (2014). Evaluation of anticancer activity using hexanic extract of Vitex trifolia on two different cancer cell lines. International Journal of Pharmacognosy and Phytochemical Research.
- Hossain, M. M. et al. (2001). Antibacterial activity of Vitex trifolia. Fitoterapia.
- Manjunatha, B. K., & Vidya, S. M. (2008). Hepatoprotective Activity of Vitex trifolia against Carbon Tetrachloride-induced Hepatic Damage. Indian journal of pharmaceutical sciences.
- Chandrasekaran, T. et al. (2019). Larvicidal activity of essential oil from Vitex negundo and Vitex trifolia on dengue vector mosquito Aedes aegypti. Revista da Sociedade Brasileira de Medicina Tropical.
- Tiwari, Dr & Talreja, Shreya. (2020). Medicinal and Pharmacological importance of Vitex trifolia: A Review. Research Journal of Pharmaceutical, Biological and Chemical Sciences.