Cincau terkenal dijadikan minuman oleh masyarakat tempatan sejak dahulu lagi. Ia dimakan dalam bentuk herba atau agar-agar yang kemudiaannya dicampurkan dalam minuman. Cincau mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Bagi anda yang meminati cincau, ketahui khasiat cincau dalam artikel ini.
Secara umumnya, terdapat 3 jenis tumbuhan cincau yang selalu digunakan oleh manusia untuk kesihatan dan minuman. Ia adalah:
- Cincau hijau (Cyclea barbata)
- Cincau hitam (Mesona palustris)
- Cincau perdu (Premna parasitica Blume.)
Cincau terutamanya cincau hitam banyak digunakan di negara-negara Asia sebagai minuman herba. Di China dan Taiwan, cincau hitam dipanggil hsian-tsao.
Walaupun dipanggil grass jelly dalam bahasa Inggeris, tetapi cincau bukanlah daripada rumput. Ia dihasilkan daripada daun tumbuhan ini yang ditumbuk atau dikisar, dicampurkan air dan dijadikan agar-agar.
Secara tradisionalnya, cincau telah digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti demam, loya, masalah penghadaman, cirit-birit, batuk, hipertensi (tekanan darah tinggi), diabetes dan masalah hati.
Melihat potensinya yang menarik, para penyelidik menjalankan kajian yang berterusan untuk melihat potensi sebenar tumbuhan cincau ini.
Berikut adalah antara khasiat dan manfaat cincau terhadap kesihatan manusia berdasarkan kajian-kajian moden:
1. Cincau Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Cincau juga kaya dengan sebatian antioksidan yang menjadikannya berkhasiat dalam membantu melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Kajian mendapati ekstrak cincau hijau mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi. [1]
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa cincau hitam juga turut mempunyai aktiviti antioksidan yang kuat. [2]
2. Cincau Boleh Membantu Mengawal Tekanan Darah
Khasiat cincau juga turut bermanfaat kepada mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi (hipertensi) kerana ia boleh membantu mengawal tekanan darah.
Khasiat cincau ini dibuktikan dalam kajian. Kajian terhadap haiwan yang menghidap hipertensi tersebut mendapati cincau hitam boleh menyebabkan penurunan tekanan darah yang ketara di samping turut mengurangkan tekanan oksidatif. [3]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati ekstrak cincau hitam boleh merencatkan enzim penukaran-angiotensin (ACE) iaitu tindak balas enzim yang boleh menyebabkan hipertensi (tekanan darah tinggi). [4]
3. Cincau Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Cincau juga terkenal dengan khasiatnya yang boleh membantu menguatkan sistem imun atau sistem pertahanan badan.
Gaya hidup yang banyak tekanan, kualiti alam sekitar yang tidak berkualiti dan perubahan cuaca yang ketara boleh menyebabkan penurunan terhadap kekuatan sistem imun badan. Ini menyebabkan badan terdedah kepada jangkitan.
Kajian mendapati ekstrak cincau hijau boleh meningkatkan kekuatan sistem imun melalui peningkatan sel-sel darah putih (sel-sel imun). [1]
4. Cincau Boleh Membantu Mengurangkan Kolesterol
Cincau juga boleh membantu mengurangkan paras kolesterol. Khasiat ini sangat bermanfaat kepada mereka yang mempunyai masalah paras kolesterol yang tinggi.
Kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok.
Satu kajian terhadap haiwan menggunakan teh segera yang mengandungi serbuk cincau hitam, kayu manis dan daun pandan pada nisbah (6:1:1) mendapati teh ini boleh menurunkan paras kolesterol total, trigliserida dan kolesterol jahat (kolesterol LDL). [5]
Selain itu, teh ini juga dapat meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL).
5. Cincau Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Khasiat cincau juga bermanfaat kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Hal ini demikian kerana terdapat kajian yang mendapati cincau boleh membantu menurunkan paras gula dalam darah.
Kajian terhadap haiwan oleh pengkaji dari Universiti Brawijaya, Indonesia mendapati serbuk cincau hitam yang dicampur serbuk daun pandan dan halia merah boleh menyebabkan penurunan gula darah sebanyak 42-50% bergantung kepada dos. [6]
Satu kajian lain turut mengesahkan bahawa ekstrak cincau hitam mempunyai kesan antidiabetik berdasarkan penilaian terhadap penurunan paras glukosa darah puasa. [7]
6. Cincau Boleh Membantu Merawat Cirit-birit
Seperti amalan perubatan tradisional, kajian moden juga mendapati minuman cincau boleh membantu merawat atau melegakan cirit-birit.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati minuman cincau hitam boleh merawat atau melegakan cirit-birit dengan mengurangkan jangka masa penghasilan najis cair dan meningkatkan kekonsistenan dan berat najis dalam jangka masa yang pendek. [8]
Kesan ini adalah setanding dengan ubat cirit-birit, loperamide.
7. Cincau Berpotensi Mencegah Kanser
Khasiat cincau juga dilihat berpotensi mencegah atau merawat kanser.
Satu kajian makmal mendapati ekstrak air, etanol dan etil asetat cincau hitam mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser serviks.
Apa yang lebih menarik adalah ekstrak air cincau hitam mempunyai kesan antikanser yang lebih tinggi berbanding ekstrak-ekstrak lain. [9]
8. Cincau Boleh Melindungi Hati
Terdapat banyak faktor atau punca yang boleh menyebabkan kerosakan hati. Antaranya adalah:
- Jangkitan virus dan parasit
- Penyakit autoimun
- Keturunan
- Kanser
- Pengambilan alkohol yang berpanjangan
- Pengumpulan lemak di hati
- Ubat preskripsi atau ubat belian kaunter
Cincau juga didapati boleh melindungi hati daripada kerosakan akibat daripada alkohol dan ubat belian kaunter.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati suplemen cincau hitam boleh melindungi hati daripada kerosakan akibat alkohol. Kesan ini didapati bergantung kepada dos yang diberikan. [10]
Satu kajian lain mendapati ekstrak cincau hitam boleh melindungi hati daripada kerosakan akibat daripada pengambilan paracetamol iaitu ubat belian kaunter yang tinggi. [11]
Rumusan
Cincau lebih sinonim dengan agar-agar yang dihasilkan daripada tumbuhan herba Mesona palustris dan Cyclea barbata. Tumbuhan ini juga turut dipanggil cincau iaitu cincau hitam dan cincau hijau.
Cincau telah lama digunakan sebagai makanan dan ubat untuk merawat pelbagai masalah kesihatan. Selari dengan penggunaan tradisionalnya, kajian-kajian moden turut mendapati cincau mempunyai banyak khasiat dan manfaatnya.
Contohnya seperti tinggi dengan antioksidan, boleh membantu mengawal tekanan darah, membantu menurunkan paras gula darah dan lain-lain.
Meskipun begitu, kajian-kajian lanjutan terutamanya kajian klinikal masih perlu diteruskan.
Rujukan
- Mahadi, R. et al. (2018). Immunomodulatory and Antioxidant Activity of Green Grass Jelly Leaf Extract (Cyclea barbata Miers.) In Vitro. Journal of Tropical Biodiversity and Biotechnology.
- Vanoria, Ivo. et al. (2008). Uji Aktivitas Antioksidan Dalam Ekstrak Daun Cincau Hijau (Cyclea barbata Miers.), Cincau Hitam (Mesona palustris B.) Dan Cincau Perdu (Premna parasitica Blume.) Dengan Metode Peredaman Radikal Bebas.
- Widyaningsih, T. et al. (2017). Antihypertensive Effects of Black Cincau (Mesona palustris BL) Effervescent Powder and Malondialdehyde Concentration on Wistar Rats as a Hypertensive Model. Research Journal of Life Science.
- Paiva, L. et al. (2017). Angiotensin I-Converting Enzyme (ACE) Inhibitory Activity, Antioxidant Properties, Phenolic Content and Amino Acid Profiles of Fucus spiralis L. Protein Hydrolysate Fractions. Marine drugs.
- Amelia, R., & Widyaningsih, T.D. (2013). Hypocholesterolemic Effect of Black Grass Jelly (Mesona Palustris BL) Based on Instant Tea Using In Vivo Tested.
- Widyaningsih, T.D. et al. (2014). Effect Of Mixed Grass Jelly (Mesona Palustris Bl) And Other Ingredients Effervescent Powder in Diabetic Rats. International Journal of Technical Research and Applications.
- Zahra, F. et al. (2017). Pemberian Ekstrak Daun Cincau (Mesona Palustris Bl) Oral Meningkatkan Jumlah Sel Β Pankreas Dan Menurunkan Gula Darah Puasa Pada Tikus Putih (Rattus Norvegicus) Jantan Galur Wistar Diabetes. Ebiomedik.
- Widyaningsih, T., & Safitri, R. (2014). Efek Antidiare Minuman Fungsional Jelly Drink Cincau Hitam (Mesona Palutris Bl). Jurnal Agroteknologi.
- Widyaningsih, T.D. (2012). Cytotoxic Effect of Water, Ethanol and Ethyl Acetate Extract of Black Cincau (Mesona Palustris BL) Against HeLa Cell Culture. APCBEE Procedia.
- Dewanti, T. et al. (2017). Antioxidant and Hepatoprotective Effect of Black Cincau (Mesona palustris BL) Supplement Againts Oxidative Stress in Rats. International Journal of ChemTech Research.
- Widyaningsih, T. (2013). Hepatoprotective Effect of Extract of Black Cincau (Mesona palustris BL) on Paracetamol- Induced Liver Toxicity in Rats. Advance Journal of Food Science and Technology.