Pernahkan anda tertanya-tanya, apakah yang membuatkan cili berasa pedas? Tetapi tanpa rasa pedas itu, sambal atau sos cili yang menjadi penambah rasa dalam makanan mungkin menjadi tidak sedap. Artikel kali ini merungkai bahan yang menyebabkan cili pedas, senarai cili terpedas, dan khasiat cili serta kesan sampingan yang mungkin wujud.
Cili atau lada telah ditanam sejak 6 000 tahun dahulu. Orang Sepanyol dan Portugis telah menanam cili ini di negara jajahannya seperti Afrika.
Kemudiannya, cili diperkenalkan ke negara yang dijajah oleh Portugal di Goa, India sebelum disebarkan ke Asia Tenggara, China dan Korea.
Pada lewat tahun 1990an, saintis telah mengenalpasti saraf kesakitan yang mengesan kapsaisin (Capsaicin). Kapsaisin ialah sebatian kumpulan kapsaisinoid yang terdapat dalam cili yang bertanggungjawab kepada rasa pedas yang tajam atau rasa sengit.
Kapsaisin dalam buah cili atau lada diukur menggunakan skala Scoville dan dibaca dalam Scoville Heat Units (SHU). SHU ialah kaedah yang menjelaskan berapa titis air gula yang diperlukan untuk mencairkan rasa pedas di dalam buah cili tersebut.
Senarai 10 Cili Terpedas di Dunia
1. Trinidad Scorpion Butch Taylor
Skala Scoville: 1,463,700 SHU
2. Naga Viper and Scorpion cultivars
Skala Scoville: 1,250,000 hingga 1,350,000 SHU
3. Infinity
Skala Scoville: 1,200,000 hingga 1,250,000 SHU
4. 7 Pods
Skala Scoville: 1,100,000 hingga 1,200,000 SHU
5. The Nagas: Bhut Jolokia, Bih Jolokia, Naga Jolokia, Naga Morich , Dorset Naga
Skala Scoville: 900,000 hingga 1,100,000 SHU
6. Nagabon dan Habanaga
Skala Scoville: 800,000 SHU
7. Red Savina Habanero
Skala Scoville: 577,000 SHU
8. Habaneros: Coklat, Caribbean, Oren
Skala Scoville: 250,000 hingga 450,000 SHU
9. Habaneros lain dan Scotch Bonnets
Skala Scoville: 100,000 hingga 250,000 SHU
10. Lada Burung, Tabascos, Tepins
Skala Scoville: <100,000 SHU
Khasiat Cili yang Mungkin Ramai yang Tidak Tahu
Disebalik rasanya yang pedas, cili atau lada turut mempunyai khasiat untuk badan. Antara khasiat cili adalah:
1. Mengandungi Antioksidan
Cili mengandungi antioksidan yang sangat bermanfaat kepada kesihatan badan seperti vitamin C, kapsantin, asid sinapik dan asid ferulik.
Antioksidan-antioksidan ini bagus untuk melawan atau meneutralkan radikal bebas yang boleh menyebabkan penyakit kronik.
Selain itu, vitamin C juga baik untuk kulit dan boleh meningkatkan sistem pertahanan badan.
2. Boleh Membantu Melegakan Kesakitan
Kapsaisin dalam cili ini mempunyai keupayaan yang unik. Bioaktif ini boleh mengikat dengan reseptor kesakitan. Ia menyebabkan sensasi seperti terbakar walaupun bukan kecederaan terbakar yang betul.
Kesan jangka panjang pengambilan cili atau kapsaisin ini akan menyebabkan reseptor kesakitan kurang mengesan sensasi membakar cili itu. Ia turut menyebabkan reseptor kesakitan ini turut kurang sensatif kepada kesakitan lain.
Dalam kajian yang dijalankan terhadap pesakit pedih hulu hati, pengambilan cili merah sebanyak 2.5 gram sehari menyebabkan sakit tersebut semakin teruk pada 5 minggu pertama kemudian bertambah baik selepas itu.
Kajian selama 6 minggu yang lain mendapati pengambilan cili sebanyak 3 gram sehari boleh mengurangkan pedih hulu hati bagi penghidap asid refluks.
Namun begitu, kesan kurang sensitif terhadap kesakitan ini bukanlah kekal kerana ia boleh kembali kepada asal selepas 1-3 hari pengambilan cili ini dihentikan.
3. Membantu Menurunkan Berat Badan
Selain itu, kapsaisin juga boleh membantu dalam proses menurunkan berat badan kerana boleh mengurangkan selera makan dan meningkatkan pembakaran lemak.
Terdapat kajian yang mendapati 10 gram cili merah boleh meningkatkan pembakaran lemak secara signifikan terhadap lelaki mahupun wanita.
Namun begitu, terdapat juga kajian lain yang menyatakan cili dan kapsaisin tidak mempunyai kesan signifikan terhadap pengambilan makanan atau pembakaran lemak.
Dapatan yang bercampur-campur ini mungkin memerlukan kajian lanjut untuk mendapatkan satu kesimpulan yang lebih kukuh.
Cara Mengurangkan Rasa Pedas di Mulut
Kebiasannya, apabila seseorang itu makan makanan yang pedas, perkara yang pertama dilakukannya ialah meminum air sejuk.
Ada juga petua orang-orang tua dahulu mengurangkan pedas dengan cara membasuh kaki dari paras lutut ke bawah.
Dalam konteks sains pula, kapsaisin ini bersifat hidrofobik iaitu tidak dapat menjerap atau menyerap air tetapi larut dalam lemak dan minyak.
Oleh itu, secara saintifiknya susu penuh krim atau yogurt antara pilihan yang baik untuk meredakan kepedasan dari cili.
Kesan Sampingan Makan Cili Pedas
Sesetengah orang mungkin akan mengalami kesan sampingan atau kesan negatif akibat makan terlalu banyak makanan pedas atau cili.
Terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin boleh membawa masalah kesihatan yang lain. Antaranya ialah:
- Rasa pedas atau terbakar: Rasa pedas dan terbakar ini adalah disebabkan kapsaisin yang mengikat pada reseptor kesakitan. Jumlah yang banyak boleh menyebabkan masalah seperti sakit yang teruk, keradangan, bengkak dan kemerahan.
- Sakit perut dan cirit-birit: Sesetengah orang terutamanya yang jarang-jarang makan pedas mungkin akan mengalami sakit perut, rasa pedih dalam perut ataupun cirit-birit. Malah, mereka yang mengalami masalah sindrom usus rengsa lebih mudah untuk mendapat komplikasi ini.
- Risiko kanser: Terdapat kajian cerapan yang mengaitkan pemakanan cili meningkatkan risiko kanser perut dan kanser pundi hempedu. Manakala di India, serbuk cili merah dikatakan penyumbang kepada peningkatan risiko kanser mulut dan kerongkong.
Rumusan
Pedas pada cili adalah disebabkan kandungan bioaktif yang dikenali sebagai kapsaisin. Manakala cili Trinidad Scorpion Butch Taylor pula adalah cili paling pedas di dunia.
Walaupun, cili mempunyai khasiat, harus diingat juga bahawa pemakanan cili pada kadar yang banyak dan kerap boleh mendatangkan masalah kesihatan bagi pemakannya.
Oleh itu, pengambilan secara bersederhana adalah pilihan yang lebih baik.
Rujukan
- Beau Gamble. 2011. The world’s 10 hottest chillies.
- Lee, R. J., et al. (1996). Personal defense sprays: effects and management of exposure. Journal of the American Optometric Association.
- Schmulson, M. J., et al.(2003). Chili pepper and rectal hyperalgesia in irritable bowel syndrome. The American journal of gastroenterology.
- Gonlachanvit, S., et al. (2009). Effects of chili on postprandial gastrointestinal symptoms in diarrhoea predominant irritable bowel syndrome: evidence for capsaicin-sensitive visceral nociception hypersensitivity. Neurogastroenterology and motility.
- Serra, I., et al.(2002). Association of chili pepper consumption, low socioeconomic status and longstanding gallstones with gallbladder cancer in a Chilean population. International journal of cancer.
- López-Carrillo, L., et al. (1994). Chili pepper consumption and gastric cancer in Mexico: a case-control study. American journal of epidemiology.
- Notani, P. N., & Jayant, K. (1987). Role of diet in upper aerodigestive tract cancers. Nutrition and cancer.
- National Center for Complementary and Integrative Health. 2013. Antioxidants: In Depth.
- Bortolotti, M., et al. (2002). Red pepper and functional dyspepsia. The New England journal of medicine.
- Karrer, T., & Bartoshuk, L. (1995). Effects of capsaicin desensitization on taste in humans. Physiology & behavior.
- Atli Arnarson. 2019. Chili Peppers 101: Nutrition Facts and Health Effects. Healthline.