5 Khasiat Cempedak Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

pokok dan buah cempedak

Pernah atau tidak terlintas difikiran anda, apakah khasiat cempedak? Buah yang seakan-akan buah nangka tetapi lebih kecil dan isinya juga banyak dan enak.

Cempedak atau nama saintifiknya Artocarpus champeden Spreng adalah buah yang turut berada dalam keluarga yang sama dengan buah nangka. Dalam bahasa inggeris, buah cempedak turut dipanggil cempedak.

Buah cempedak adalah berasal atau asli dari Malaysia. Cempedak juga boleh dijumpai di negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Myanmar.

khasiat cempedak

Dalam perubatan tradisional, cempedak digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti diabetes, malaria dan kanser.

Berikut ialah beberapa khasiat cempedak untuk kesihatan kita berdasarkan kajian sains:

1. Kaya dengan Nutrien Penting

Dalam 100 gram buah cempedak masak, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:

  • Air: 73%
  • Tenaga: 447 kcal
  • Protein: 11.2 gram
  • Lemak: 2.4 gram
  • Karbohidrat: 28.3 gram
  • Serat: 7.6 gram
  • Kalsium: 3.4 miligram
  • Magnesium: 46 miligram
  • Zat besi: 0.5 miligram
  • Kalium: 434 miligram
  • Mangan: 4.3 miligram
  • Zink: 2.0 miligram
  • Vitamin C: 17.7 miligram
  • Vitamin B1: 0.16 miligram
  • Vitamin B2: 0.15 miligram

2. Tinggi dengan Antioksidan

Radikal bebas yang berlebihan dalam badan boleh menyebabkan kerosakan sel seterusnya mendatangkan pelbagai masalah kesihatan. Contohnya seperti penyakit jantung, kanser, diabetes dan penyakit mata.

Antioksidan pula bertindak sebagai penghalang atau melambatkan kerosakan sel akibat daripada radikal bebas yang berlebihan ini.

Buah cempedak kaya dengan sebatian antioksidan yang dikenali sebagai flavonoid dan fenolik.

Dalam satu kajian yang dijalankan, didapati buah cempedak menunjukkan nilai sebatian flavonoid dan fenolik yang tinggi. Ini menunjukkan potensi buah cempedak sebagai sumber antioksidan semula jadi. [1]

3. Boleh Mencegah dan Merawat Malaria

Kulit batang pokok cempedak digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat penyakit malaria.

Kajian yang dijalankan terhadap kulit batang atau akar pokok cempedak mendapati bahagian ini mengandungi sebatian flavonoid yang boleh mencegah penyakit malaria. [2]

4. Boleh Membantu Merendahkan Tekanan Darah

Buah cempedak juga kaya dengan mineral magnesium.

100 gram buah ini membekalkan kira-kira 11% daripada RNI (recommended nutrient intake) untuk magnesium bagi rakyat Malaysia.

Kajian menunjukkan pengambilan magnesium yang mencukupi boleh merendahkan tekanan darah. [3]

Walau bagaimanapun, manfaat ini mungkin hanya berlaku kepada mereka yang mempunyai penyakit tekanan darah tinggi sahaja.

Berdasarkan kajian pada tahun 2009 mendapati pengambilan magnesium hanya menurunkan tekanan darah bagi mereka yang menghidap tekanan darah tinggi (hipertensi) sahaja dan tidak bagi mereka yang normal. [4]

5. Baik untuk Sistem Penghadaman

Buah cempedak juga tinggi dengan kandungan air dan serat.

Kedua-dua komponen ini penting untuk sistem penghadaman yang sihat dan mencegah berlakunya sembelit.

Serat diet boleh meningkatkan saiz najis dan melembutkan najis tersebut. Najis yang besar dan lembut memudahkan pergerakan najis keluar dari usus. [5]

Kajian juga turut menunjukkan mereka yang mempunyai masalah sembelit yang kronik berkurangan selepas meningkatkan pengambilan serat. [6]

Rumusan

Khasiat cempedak sebenarnya bukan hanya terletak pada isinya sahaja. Malahan, kulit batang, akar dan juga bijinya turut mempunyai khasiat dan manfaat.

Selain khasiatnya, buah cempedak ini enak dimakan segar dan boleh dipelbagaikan penggunaannya dalam masakan.

Rujukan
  1. Theodore Y. K. Lulan. et al. (2018). Free radical scavenging activity of Artocarpus champeden extracts. AIP Conf. Proc.
  2. Widyawaruyanti, A. et al. (2007). New prenylated flavones from Artocarpus champeden, and their antimalarial activity in vitro. J Nat Med.
  3. Hatzistavri, L. S. et al. (2009). Oral magnesium supplementation reduces ambulatory blood pressure in patients with mild hypertensionAmerican journal of hypertension.
  4. Lee, S. et al. (2009). Effects of oral magnesium supplementation on insulin sensitivity and blood pressure in normo-magnesemic nondiabetic overweight Korean adultsNutrition, metabolism, and cardiovascular diseases.
  5. Anderson, J. W. et al. (2009). Health benefits of dietary fiberNutrition reviews.
  6. Christodoulides, S. et al. (2016). Systematic review with meta-analysis: effect of fibre supplementation on chronic idiopathic constipation in adultsAlimentary pharmacology & therapeutics.
Share this post