Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia galanga adalah sejenis tumbuhan herba yang banyak digunakan dalam masakan dan perubatan tradisional. Mungkin ramai yang tidak mengetahui akan khasiat cekur terhadap kesihatan. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan khasiat cekur dalam perubatan tradisional dan moden.
Cekur turut dipanggil dengan beberapa nama lain seperti kencur, sand ginger, aromatic ginger atau resurrection lily. Tumbuhan ini adalah daripada keluarga Zingiberaceae iaitu keluarga yang sama dengan halia dan lengkuas.
Cekur sebenarnya berasal dari negara India, tetapi kini boleh didapati di banyak negara lain seperti China, Bangladesh, Myanmar, Sri Lanka, Japan, Thailand, Indonesia, Malaysia, Vietnam, Laos, Sudan, Nigeria dan Afrika Selatan.
Khasiat Cekur dalam Perubatan Tradisional
Cekur adalah tumbuhan herba yang penting dalam perubatan tradisional India.
Perubatan tradisional India menggunakan cekur untuk merawat penyakit atau masalah kesihatan seperti batuk, selesema, demam, sakit kepala, penyakit kulit, sakit sendi, vertigo, luka, sakit gastrik, penawar bagi bisa ular, keradangan, muntah darah, kudis dimulut dan lepuh lidah dalam kalangan kanak-kanak.
Masyarakat setempat di negara ini juga turut menggunakan cekur untuk merawat beberapa gangguan kesihatan seperti: [1]
1. Boleh Merawat Selesema
Daun cekur digunakan untuk merawat selesema dengan cara mencampurkan daun cekur bersama-sama dengan lada sulah, kayu manis dan madu.
2. Mengecutkan Rahim dan Menggalakkan Pembuangan Angin
Daun cekur dibuat ulam atau acar bagi tujuan mengecutkan rahim bagi wanita yang baru bersalin dan turut digunakan untuk menggalakkan pembuangan angin.
3. Menghilangkan Kelemumur dan Sakit Perut
Cekur juga turut direbus dan airnya diminum untuk merawat kelemumur dan sakit perut.
4. Merawat Sawan
Cekur juga turut dicampurkan dengan jerangau dan bonglai untuk digunakan merawat sawan. Gabungan herba tersebut dilumatkan dan disapu pada anggota badan kanak-kanak yang menghidap sawan.
5. Merawat Bengkak
Daun cekur juga turut digiling dan dijadikan demahan untuk merawat bengkak di anggota badan.
Khasiat Cekur dalam Perubatan Moden Berdasarkan Kajian Sains
Tertarik dengan penggunaan cekur dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden turut mengkaji akan khasiat cekur yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan manusia.
Kajian fitokimia mendapati rizom cekur mengandungi kira-kira 49 sebatian bioaktif yang turut melibatkan sebatian yang mempunyai ciri-ciri antioksidan seperti kaempferol, luteolin, asid ferulik dan asid vanilik. [2]
1. Boleh Melegakan Keradangan
Daun cekur juga boleh membantu melegakan keradangan kerana mempunyai ciri-ciri antiradang dan antinosiseptif (menghalang rasa sakit).
Khasiat daun cekur ini dibuktikan dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak daun cekur menunjukkan ciri-ciri antinosiseptif dan antikeradangan terhadap haiwan yang diuji. Ciri-ciri ini menyokong penggunaan daun cekur dalam perubatan tradisional Melayu dalam merawat ulser mulut, sakit kepada dan sakit tekak. [3]
2. Berpotensi Mencegah Kanser
Herba cekur ini juga turut menunjukkan potensi dalam membantu mencegah kanser.
Ekstrak dan sebatian aktif dalam cekur didapati berpotensi merencatkan beberapa jenis kanser seperti kanser gaster, usus besar, mulut, serviks dan tulang.
Satu kajian makmal melaporkan bahawa sebatian aktif yang diekstrak daripada rizom cekur menunjukkan aktiviti sitotoksik terhadap sel-sel kanser serviks dan kanser mulut. Sitotoksik ialah sifat agen yang menyekat dan membunuh pertumbuhan sel kanser dalam badan. [4]
Kajian terhadap minyak pati cekur juga turut mendapati minyak pati tersebut mempunyai kesan antikanser walaupun pada tahap sederhana. Kajian yang melibatkan sel-sel kanser gaster ini mendapati pada dos yang tinggi, minyak ini boleh merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser gaster (kanser perut). [5]
3. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Sebatian fenolik dalam cekur juga turut didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat terhadap bakteria Pseudomonas aeruginosa, Escherichia coli, Staphylococcus aureus dan kulat Aspergillus niger, Monilia albicans. [6]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan terhadap manusia. Kulat ini pula adalah kulat yang menyebabkan jangkitan yis dan menghasilkan toksin berbahaya.
Minyak pati cekur juga turut menunjukkan aktiviti antimikrob yang kuat terhadap kulat Candida albicans dan bakteria Staphylococcus aureus, S. faecalis, Bacillus subtilis, Salmonella typhi, Shigella flexneri dan Escherichia coli. [7]
4. Boleh Mencegah atau Mengawal Paras Gula dalam Darah
Sebatian kaempferol dalam cekur juga turut didapati boleh membantu mencegah atau mengawal paras gula dalam darah. Ciri-ciri ini bermanfaat bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan kaempferol boleh mengurangkan paras lemak dalam darah dan keradangan. Selain itu, kaempferol juga turut boleh mencegah dan merawat komplikasi diabetes dengan mengurangkan paras gula darah, rintangan insulin serta bersifat antioksidan dan antiradang. [8]
5. Boleh Mencegah atau Merawat Penyakit Tibi
Cekur juga turut berkhasiat dalam membantu mencegah atau merawat penyakit tibi (tuberkulosis).
Sebatian fenolik dalam cekur menunjukkan kesan antituberkulosis yang ketara dengan merencatkan pertumbuhan bakteria Mycobacterium tuberculosis. [9]
Kajian ini menyokong penggunaan cekur dalam perubatan tradisional India dalam merawat penyakit tibi.
6. Boleh Membantu Merawat Hipertensi
Perubatan tradisional ada menggunakan herba cekur ini untuk merawat hipertensi atau tekanan darah tinggi.
Kajian moden mendapati ia mungkin disebabkan oleh aktiviti-aktiviti vasorelaxant sebatian fenolik dalam cekur. Kajian terhadap haiwan mendapati sebatian fenolik dalam cekur tersebut boleh mencetuskan aktiviti vasorelaxant dengan merendahkan tekanan arteri purata. [10]
Tekanan arteri purata yang tinggi menunjukkan bahawa terdapat banyak tekanan dalam arteri. Ini akhirnya boleh menyebabkan pembekuan darah atau kerosakan pada otot jantung.
7. Boleh Mencegah Osteoporosis
Cekur juga didapati boleh membantu mencegah osteoporosis iaitu penyakit yang dicirikan oleh peningkatan liang tulang, yang menyebabkan tulang menjadi rapuh.
Khasiat cekur ini disumbang oleh sebatian kaempferol yang boleh menghalang pembentukan sel-sel osteoklas yang menyebabkan penyerap atau penghapusan tulang. [11]
Dalam satu kajian lain, sebatian kaempferide daripada cekur didapati boleh mencegah kerosakan tisu tulang serta menghalang pembentukan osteoklas dan resorpsi tulang. Ciri-ciri ini menunjukkan sebatian kaempferide ini berpotensi digunakan sebagai agen yang mencegah osteoporosis. [12]
Rumusan
Cekur boleh dikatakan sebagai tumbuhan herba yang menakjubkan. Selain menambah rasa dalam makanan, cekur juga mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan dan perawatan.
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden turut mendapati cekur mempunyai pelbagai manfaat dalam perubatan.
Rujukan
- Musa Yaacob, Azimah Abd. Kadir & Zaharah Hasan. 2009. Tumbuhan Ubatan Popular. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kuala Lumpur, hlm. 36.
- Ajay Kumar. (2020). Phytochemistry, pharmacological activities and uses of traditional medicinal plant Kaempferia galanga L. – An overview. Journal of Ethnopharmacology.
- Sulaiman, M. R. et al. (2008). Antinociceptive and anti-inflammatory activities of the aqueous extract of Kaempferia galanga leaves in animal models. Journal of natural medicines.
- Swapana, N. et al. (2018). Kaemgalangol A: Unusual seco-isopimarane diterpenoid from aromatic ginger Kaempferia galanga. Fitoterapia.
- Xiao, Y. et al. (2006). [Effects of Rhizoma kaempferiae volatile oil on tumor growth and cell cycle of MKN-45 human gastric cancer cells orthotopically transplanted in nude mice]. Journal of Chinese integrative medicine.
- Zhang, X.Y. et al. (2011).Efficient copper(I)-catalyzed C–S cross-coupling of thiols with aryl halides in an aqueous two-phase system. Journal of Sulfur Chemistry.
- Supinya, T. et al. (2005). Chemical components and biological activities of volatile oil of Kaempferia galanga Linn. Songklanakarin Journal of Science and Technology.
- Wu Q. M. et al. (2015). Effect of Kaempferol on Correlation Factors of Chronic Complications of Type 2 Diabetic Rats. Chin. Tradit. Herb. Drugs.
- Lakshmanan, D. et al. (2011). Ethyl p-methoxycinnamate isolated from a traditional anti-tuberculosis medicinal herb inhibits drug resistant strains of Mycobacterium tuberculosis in vitro. Fitoterapia.
- Othman, R. et al. (2002). Vasorelaxant effects of ethyl cinnamate isolated from Kaempferia galanga on smooth muscles of the rat aorta. Planta medica.
- Kim, C. J. et al. (2018). The Effects of Kaempferol-Inhibited Autophagy on Osteoclast Formation. International journal of molecular sciences.
- Jiao, Z. et al. (2017). Kaempferide Prevents Titanium Particle Induced Osteolysis by Suppressing JNK Activation during Osteoclast Formation. Scientific reports.