Bunga lawang adalah rempah yang diperolehi daripada buah tumbuhan yang dikenali sebagai Illicium verum. Bunga lawang ini terkenal sebagai rempah 3 sekawan dan banyak digunakan dalam pelbagai masakan. Selain menjadi penambah rasa, banyak khasiat bunga lawang yang tidak diketahui oleh masyarakat secara umumnya.
Artikel kali ini akan berkongsi akan khasiat bunga lawang yang berguna untuk kesihatan badan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.
Nama saintifik bunga lawang turut dikenali sebagai Illicium verum. Pokok bunga lawang adalah daripada jenis tumbuhan malar hijau yang berasal dari Vietnam hingga ke barat daya China.
Selain digunakan dalam masakan, bunga lawang atau minyak bunga lawang banyak digunakan dalam penghasilan pelbagai produk seperti ubat gigi, sabun, ubat cuci mulut, krim kulit dan lain-lain lagi.
Dari segi perubatan, bunga lawang adalah bahan penting dalam perubatan China dan terkenal dengan sifat antivirusnya. Bunga lawang juga adalah sumber utama kepada asid syikimik yang digunakan dalam menghasilkan ubat antivirus influenza A dan influenza B.
Berikut adalah beberapa khasiat bunga lawang untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.
1. Tinggi dengan Kandungan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh mencegah atau melambatkan kerosakan sel-sel dalam badan yang disebabkan radikal bebas.
Radikal bebas ini adalah molekul yang tidak stabil yang terhasil semasa anda bersenam dan ketika badan menukarkan makanan kepada tenaga. Radikal bebas juga boleh terhasil daripada faktor persekitaran seperti asap rokok, pencemaran udara dan cahaya matahari.
Buah-buahan, sayur-sayuran dan rempah-ratus adalah antara sumber yang baik untuk mendapat antioksidan. Rempah seperti bunga lawang ini juga turut tidak terkecuali.
Bunga lawang mengandungi sebatian-sebatian antioksidan seperti: [1, 2, 3]
- Kuersetin
- Anetol
- Asid syikimik
- Asid galik
- Terpineol
- Terpinolena
- Katekin
2. Boleh Mencegah Serangan Virus
Salah satu khasiat atau kelebihan utama bunga yang telah dimanfaatkan sejak beribu tahun lagi adalah sifat antivirus rempah ini.
Sifat antivirus ini disumbang oleh kandungan asid syikimik dalam rempah ini. Tambahan lagi, asid syikimik ini digunakan dalam penghasilan ubat untuk merawat influenza A dan B iaitu Tamiflu. [4]
Influenza adalah nama lain bagi demam selesema yang disebabkan oleh virus yang menjangkiti hidung, kerongkong dan juga paru-paru.
Terdapat juga laporan kajian mengenai minyak pati bunga lawang dan sebatian yang terkandung dalam rempah ini yang menunjukkan aktiviti antivirus terhadap HPV-1 (herpes simplex virus-1) iaitu virus yang boleh menyebabkan jangkitan di mulut dan kemaluan. [5]
3. Boleh Mencegah Jangkitan Kulat
Selain mempunyai ciri-ciri antivirus, bunga lawang juga turut didapati bersifat antikulat. Jangkitan kulat selalunya lebih sukar untuk dirawat dan berlaku dalam banyak bentuk seperti jangkitan yis, kurap dan kaki atlet.
Satu kajian makmal yang dijalankan oleh pengkaji dari Korea University mendapati ekstrak bunga lawang dan minyak pati rempah ini berkesan untuk melawan kulat jenis Candida albicans. [6]
Candida albicans adalah sejenis kulat yang lazim menjangkiti manusia terutamanya wanita yang menyebabkan jangkitan yis pada faraj.
Terdapat juga kajian lain yang mendapati ekstrak bunga lawang boleh mencegah atau melawan kulat jenis Aspergillus niger, Candida albicans, Microsporum canis, Epidermophyton fluccosum dan Trichophyton mentagrophytes. [7]
Kulat-kulat ini adalah jenis-jenis kulat yang menjangkiti kulit manusia.
4. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Khasiat bunga lawang yang seterusnya adalah boleh merencatkan pembiakan bakteria yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa ekstrak bunga lawang berkesan sebagai antibiotik untuk melawan bakteria-bakteria yang rintang terhadap ubat. Ini menunjukkan rempah ini berpotensi untuk digunakan dalam penghasilan antibiotik. [8]
Kajian tabung uji turut mendapati bunga lawang adalah antara rempah yang berkesan untuk merawat jangkitan saluran kencing yang disebabkan oleh beberapa jenis bakteria. [9]
Kajian makmal yang lain turut melaporkan bahawa ekstrak bunga lawang boleh merencatkan pertumbuhan atau pembiakan bakteria yang rintang terhadap ubat seperti Acinetobacter baumannii dan Staphylococcus aureus. [10]
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan terutamanya kajian klinikal untuk mengetahui kesan rempah ini terhadap manusia.
5. Bersifat Antiradang
Menariknya lagi, bunga lawang turut mengandungi sebatian yang bersifat antiradang. Anetol yang boleh diperolehi daripada minyak bunga lawang mempunyai ciri-ciri antiradang.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati anetol ini boleh mencegah keradangan paru-paru. Ini menunjukkan potensi anetol ini untuk digunakan dalam merawat keradangan dalam kalangan manusia. [11]
Kajian terhadap haiwan yang lain turut mendapati anetol ini turut berkesan dalam mengawal keradangan akut yang berkaitan penyakit. [12]
Kajian makmal yang lain turut mendapati ekstrak bunga lawang turut menunjukkan sifat antiradangnya terhadap keradangan yang berkaitan dengan penyakit kulit seperti dermatitis atopi. [13]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini masih diperingkat awal dan memerlukan kajian-kajian lanjut untuk mengetahui kesannya terhadap manusia.
6. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Paras gula darah yang tinggi boleh menjadi penyebab kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Sekiranya paras gula darah yang tinggi ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius seperti kegagalan buah pinggang atau kerosakan saraf.
Kandungan anetol dalam bunga lawang sekali lagi memainkan peranan penting dalam mengawal selia paras gula dalam darah.
Kajian terhadap haiwan yang dijalankan oleh Annamalai University, India mendapati anetol ini boleh menambah baik paras gula dalam darah dengan mengawal beberapa enzim yang terlibat dalam metabolisme karbohidrat. [14]
Kajian awal ini menunjukkan potensi bunga lawang dalam merawat penyakit kencing manis.
Rumusan
Bunga lawang adalah rempah yang tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini. Rempah ini banyak digunakan dalam pelbagai masakan.
Bunga lawang mengandungi banyak sebatian-sebatian yang hebat dan mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Secara umumnya, bunga lawang berguna untuk merawat jangkitan virus, kulat (fungi) dan bakteria.
Selain itu, bunga lawang turut tinggi dengan kandungan antioksidan yang bermanfaat untuk mencegah kerosakan sel-sel dalam badan.
Rujukan
- Yang, Cheng-Hong et al. (2012). Investigation of the antioxidant activity of Illicium verum extracts. Journal of Medicinal Plants Research.
- Soher E. Aly. et al. (2016). Assessment of antimycotoxigenic and antioxidant activity of star anise (Illicium verum) in vitro. Journal of the Saudi Society of Agricultural Sciences.
- Chouksey, D. et al. (2010). Biological activities and chemical constituents of Illicium verum hook fruits (Chinese star anise). Der Pharmacia Sinica.
- Bilal, M. et al. (2018). Metabolic engineering strategies for enhanced shikimate biosynthesis: current scenario and future developments. Appl Microbiol Biotechnol.
- Astani, A. et al. (2011). Screening for antiviral activities of isolated compounds from essential oils. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Park, S. H., & Seong, I. (2010). Antifungal Effects of the Extracts and Essential Oils from Foeniculum vulgare and Illicium verum against Candida albicans. Korean Journal of Medical Mycology.
- Yazdani, Darab. et al. (2009). Antifungal activity of dried extracts of anise (Pimpinella anisum L.) and star anise (Illicium verum Hook, f.) against dermatophyte and saprophyte fungi. Journal of Medicinal Plants.
- Yang, J. F. et al. (2010). Chemical composition and antibacterial activities of Illicium verum against antibiotic-resistant pathogens. Journal of medicinal food.
- Rath, S., & Padhy, R. N. (2014). Monitoring in vitro antibacterial efficacy of 26 Indian spices against multidrug resistant urinary tract infecting bacteria. Integrative medicine research.
- Salem, M. A. et al. (2021). In vivo Antibacterial Activity of Star Anise (Illicium verum Hook.) Extract Using Murine MRSA Skin Infection Model in Relation to Its Metabolite Profile. Infection and drug resistance.
- Kang, P. et al. (2013). Anti-inflammatory effects of anethole in lipopolysaccharide-induced acute lung injury in mice. Life sciences.
- Domiciano, T. P. et al. (2013). Inhibitory effect of anethole in nonimmune acute inflammation. Naunyn-Schmiedeberg’s archives of pharmacology.
- Sung, Y. Y. et al. (2012). Illicium verum extract inhibits TNF-α- and IFN-γ-induced expression of chemokines and cytokines in human keratinocytes. Journal of ethnopharmacology.
- Sheikh, B. A. et al. (2015). Trans-anethole, a terpenoid ameliorates hyperglycemia by regulating key enzymes of carbohydrate metabolism in streptozotocin induced diabetic rats. Biochimie.