Pernahkah kita terfikir akan khasiat bunga cengkih? Atau kita sekadar beranggapan bunga cengkih hanyalah rempah penyedap masakan? Tahukah anda bahawa bunga cengkih mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan kita.
Nama saintifik bagi bunga cengkih adalah Syzygium aromaticum. Rempah ini berasal dari Kepulauan Maluku, Indonesia. Kini, rempah ini ditanam di merata-rata tempat di seluruh dunia.
Bunga cengkih banyak digunakan dalam masakan orang Asia, Afrika, Timur Tengah dan Mediterranean.

Selain aroma yang menarik, bunga cengkih turut didapati mempunyai banyak potensi dalam perubatan.
Berikut adalah beberapa khasiat bunga cengkih untuk kesihatan berdasarkan kajian sains:
1. Mengandungi Nutrien Penting
Sesudu teh (2.1 gram) serbuk bunga cengkih mengandungi nutrien-nutrien (zat) seperti berikut: [1]
- Kalori: 5.75 kcal
- Protein: 0.13 gram
- Lemak: 0.27 gram
- Karbohidrat: 1.38 gram
- Serat: 0.71 gram
- Kalsium: 13.3 miligram
- Zat besi: 0.25 miligram
- Magnesium: 5.44 miligram
- Fosforus: 2.18 miligram
- Kalium: 21.4 miligram
- Mangan: 1.26 miligram
- Folat: 0.53 mikrogram
- Vitamin A: 0.17 miligram
- Vitamin E: 0.19 miligram
- Vitamin K: 2.98 mikrogram
Selain itu, bunga cengkih mengandungi sedikit nutrien-nutrien lain seperti vitamin B1, B2, B3, B5, B6, vitamin C, mineral zink dan juga mineral tembaga.
Nutrien-nutrien yang terkandungan dalam bunga cengkih ini penting bagi membolehkan badan kita berfungsi dengan baik.
2. Tinggi dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh mencegah atau mengurangkan tekanan pengoksidaan (tekanan oksidatif) yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit kencing manis, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Bunga cengkih mengandungi sebatian yang dikenali sebagai eugenol. Eugenol ini di dapati boleh bertindak sebagai antioksidan.
Kajian makmal mendapati eugenol boleh menghalang pengoksidaan yang disebabkan oleh radikal bebas lima kali lebih baik daripada vitamin E. [2]
Selain itu, kandungan vitamin E dan vitamin C dalam bunga cengkih juga turut boleh bertindak sebagai antioksidan.
Vitamin E adalah salah satu antioksidan larut lemak yang boleh mengurangkan tekanan oksidatif dalam kalangan pesakit hati berlemak (fatty liver) bukan alkohol. [3]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal yang dijalankan melibatkan penggunaan dos vitamin E yang tinggi.
3. Bersifat Antibakteria
Khasiat bunga cengkih juga agak terkenal dengan sifat antibakterianya yang boleh melawan bakteria yang boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada manusia.
Kajian makmal yang dijalankan menunjukkan ekstrak bunga cengkih dalam bentuk air atau serbuk menunjukkan ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria E. coli, S. aureus, Brochothrix thermosphacta (B. thermosphacta), Lactobacillus rhamnosus (L. rhamnosus), dan Pseudomonas fluorescens (P. fluorescens). [4]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan, kerosakan pada makanan, kembung perut dan pelbagai jangkitan lain terutamanya kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Selain itu, eugenol juga turut mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria dan kulat (fungi) yang boleh menjangkiti manusia seperti E.coli, Salmonella, S.aureus, Candida albicans dan banyak lagi. [5]
4. Mungkin Boleh Mencegah Kanser
Terdapat juga kajian yang menunjukkan sebatian yang dijumpai dalam bunga cengkih boleh membantu mencegah kanser.
Satu ujian makmal yang diterbitkan pada 2014 mendapati ekstrak bunga cengkih boleh membantu menghentikan tumbesaran tumor dan mengalakkan kematian sel dalam sel-sel kanser usus. [6]
Selain itu, eugenol dalam bunga cengkih ini juga turut mempunyai ciri-ciri antikanser.
Satu kajian tabung uji mendapati eugenol secara berkesan menggalakkan kematian sel dalam sel-sel kanser serviks. [7]
Walau bagaimanapun, kajian klinikal masih diperlukan untuk mengetahui dos yang selamat kerana eugenol ini toksik pada kadar yang tinggi dan terlebih dos minyak bunga cengkih boleh menyebabkan kerosakan hati. [8]
5. Baik Untuk Kesihatan Mulut
Minyak pati bunga cengkih boleh dimanfaatkan dalam produk pencuci mulut.
Kajian yang dijalankan terhadap 40 orang pesakit mendapati pencuci mulut yang mengandungi herba seperti bunga cengkih efektif untuk mencegah plak, gingivitis dan bakteria dalam mulut. [9]
Terdapat juga kajian lain yang mendapati minyak bunga cengkih dan sebatian Eugenol mempunyai kesan antibakteria yang kuat terhadap bakteria-bakteria yang boleh menyebabkan penyakit berkaitan gusi seperti penyakit periodontal.[10]
6. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Bunga cengkih juga berpotensi dimanfaatkan untuk membantu mengawal paras gula dalam darah.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak bunga cengkih dan nigericin (komponen dalam ekstrak cengkih) boleh mengurangkan kerintangan insulin dalam sel-sel otot haiwan tersebut. [11]
Di samping itu, kajian lain terhadap tikus yang menghadapi masalah diabetes menunjukkan ekstrak bunga cengkih dapat mengurangkan peningkatan gula dalam darah dalam kalangan tikus ini. [12]
Kajian terbaru yang dijalankan terhadap 13 individu turut mendapati ekstrak bunga cengkih boleh membantu menurunkan purata paras gula darah selepas makan bagi mereka yang sihat dan pradiabetes.[13]
7. Mengurangkan Ulser dalam Perut
Beberapa kajian telah mendapati bunga cengkih turut mempunyai khasiat dalam merawat ulser dalam perut.
Dalam satu kajian terhadap haiwan mendapati minyak pati bunga cengkih meningkatkan penghasilan mukus gastrik. Mukus ini bertindak sebagai penghadang yang boleh mencegah hakisan pada lapisan perut. [14]
Kajian lain terhadap haiwan juga mendapati ekstrak tunas cengkih menunjukkan sifat antiulser terhadap ulser perut. Ekstrak ini juga boleh mengurangkan tekanan oksidatif dalam kalangan haiwan yang mengalami ulser ini yang seterusnya boleh meningkatkan kesihatan perut dan usus. [15]
8. Baik untuk Kesihatan Hati
Hati adalah organ yang bertanggungjawab menapis darah sebelum ia dihantar ke seluruh badan manusia. Hati juga berfungsi untuk menyahtoksin bahan kimia atau memetabolismekan ubat.
Namun begitu, hati juga boleh rosak atau cedera akibat daripada kesan sampingan ubat, alkohol, bahan kimia dan juga suplemen.
Terdapat kajian terhadap haiwan yang mendapati minyak bunga cengkih turut mempunyai kesan perlindungan terhadap hati dengan mengurangkan tekanan pengoksidaan dan menurunkan paras penanda-penanda kerosakan hati. [16]
Kajian terhadap haiwan yang lain turut melaporkan bahawa ekstrak bunga cengkih turut mempunyai kesan perlindungan terhadap hati daripada kerosakan akibat kesan sampingan ubat paracetamol. [17]
Meskipun begitu, kajian-kajian lanjutan terutamanya terhadap manusia masih diperlukan untuk melihat kesan kebaikan bunga cengkih terhadap hati manusia.
9. Boleh Membantu Menaikkan Syahwat
Perubatan tradisional Yunani menggunakan bunga cengkih sebagai agen untuk menaikkan syahwat dan menambah baik fungsi seksual.
Khasiat bunga cengkih ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan haiwan yang mendapati bunga cengkih dan buah pala boleh membantu menaikkan syahwat dan prestasi seks. [18]
Kajian lain turut mendapati ekstrak bunga cengkih turut meningkatkan aktiviti seksual haiwan yang dikaji tanpa kesan sampingan. [19]
10. Mungkin Boleh Merawat Sakit Sendi
Kandungan sebatian Eugenol dalam bunga cengkih juga dilihat berpotensi digunakan dalam merawat sakit sendi. Khasiat ini dipercayai disumbang oleh sifat antiradang Eugenol.
Kesan Eugenol ini dapat dilihat dalam satu kajian melibatkan haiwan yang mengalami sakit sendi yang dicetuskan. [20]
Kajian-kajian lanjut terutamanya kajian yang melibatkan masih diperlukan untuk mengetahui sama ada sebatian ini dapat menghasilkan keputusan yang sama.
Rumusan
Bunga cengkih mempunyai banyak potensi untuk dimanfaatkan dalam perubatan. Khasiat bunga cengkih merangkumi kesihatan perut, kesihatan mulut, boleh menurunkan paras gula darah, bersifat antibakteria, antikanser dan lain-lain lagi.
Justeru, amalan penggunaan bunga cengkih dalam masakan adalah amalan yang baik untuk mendapatkan manfaat daripada rempah ini walaupun kebanyakan kajian menggunakan bunga cengkih pada dos yang tinggi.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Nagababu, E. et al. (2010). Assessment of antioxidant activity of eugenol in vitro and in vivo. Methods in molecular biology.
- El Hadi, H. et al. (2018). Vitamin E as a Treatment for Nonalcoholic Fatty Liver Disease: Reality or Myth?. Antioxidants.
- Liu, Q. et al. (2017). Antibacterial and Antifungal Activities of Spices. International journal of molecular sciences.
- Marchese, A. et al. (2017). Antimicrobial activity of eugenol and essential oils containing eugenol: A mechanistic viewpoint. Critical reviews in microbiology.
- Liu, H. et al. (2014). Clove extract inhibits tumor growth and promotes cell cycle arrest and apoptosis. Oncology research.
- Hussain, A. et al. (2011). Eugenol enhances the chemotherapeutic potential of gemcitabine and induces anticarcinogenic and anti-inflammatory activity in human cervical cancer cells. Cancer biotherapy & radiopharmaceuticals.
- Hartnoll, G. et al. (1993). Near fatal ingestion of oil of cloves. Archives of disease in childhood.
- Kothiwale, S. V. et al. (2014). A comparative study of antiplaque and antigingivitis effects of herbal mouthrinse containing tea tree oil, clove, and basil with commercially available essential oil mouthrinse. Journal of Indian Society of Periodontology.
- Moon, S. E. et al. (2011). Synergistic effect between clove oil and its major compounds and antibiotics against oral bacteria. Archives of oral biology.
- Ghaffar, S. et al. (2017). Clove and Its Active Compound Attenuate Free Fatty Acid-Mediated Insulin Resistance in Skeletal Muscle Cells and in Mice. Journal of medicinal food.
- Kuroda, M. et al. (2012). Hypoglycemic effects of clove (Syzygium aromaticum flower buds) on genetically diabetic KK-Ay mice and identification of the active ingredients. Journal of natural medicines.
- Mohan, R. et al. (2019). Water-soluble polyphenol-rich clove extract lowers pre- and post-prandial blood glucose levels in healthy and prediabetic volunteers: an open label pilot study. BMC complementary and alternative medicine.
- Santin, J. R. et al. (2011). Gastroprotective activity of essential oil of the Syzygium aromaticum and its major component eugenol in different animal models. Naunyn-Schmiedeberg’s archives of pharmacology.
- Issac, A. et al. (2015). Safety and anti-ulcerogenic activity of a novel polyphenol-rich extract of clove buds (Syzygium aromaticum L). Food & function.
- El-Hadary, A. E., & Ramadan Hassanien, M. F. (2016). Hepatoprotective effect of cold-pressed Syzygium aromaticum oil against carbon tetrachloride (CCl4)-induced hepatotoxicity in rats. Pharmaceutical biology.
- Thuwaini, M.M. et al. (2016). Hepatoprotective Effects of The Aqueous Extract of Clove (Syzygiumaromaticum) Against Paracetamol-Induced Hepatotoxicity and Oxidative Stress in Rats. EJPMR.
- Tajuddin, Ahmad. et al. (2003). Aphrodisiac activity of 50% ethanolic extracts of Myristica fragrans Houtt. (nutmeg) and Syzygium aromaticum (L) Merr. & Perry. (clove) in male mice: a comparative study. BMC complementary and alternative medicine.
- Tajuddin, Ahmad, et al. (2004). Effect of 50% ethanolic extract of Syzygium aromaticum (L.) Merr. & Perry. (clove) on sexual behaviour of normal male rats. BMC complementary and alternative medicine.
- Grespan, R. et al. (2012). Anti-arthritic effect of eugenol on collagen-induced arthritis experimental model. Biological & pharmaceutical bulletin.