Buah sukun adalah antara buah yang kurang digunakan dan dikomersialkan di negara ini. Mungkin ramai yang tidak tahu akan khasiat buah sukun, maka artikel ini akan menjelaskan kepada anda akan beberapa khasiat buah sukun.
Buah sukun atau nama saintifiknya Artocarpus altilis (Parkinson) fosberg adalah buah dari keluarga Moraceae iaitu keluarga yang sama dengan buah mulberi, nangka, cempedak dan ara.
Buah sukun dipercayai berasal dari Kepulauan Borneo dan kemudiannya dibawa ke Kepulauan Pasifik. Kini, ia menjadi makanan ruji bagi negara-negara di Kepulauan Pasifik. Buah sukun menjadi makanan yang penting di Caribbean dan negara tropika yang lain bagi menjamin keselamatan makanan.

Kajian-kajian sains juga turut mendapati buah sukun mempunyai khasiat-khasiat seperti berikut:
1. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Kajian menunjukkan bahawa buah sukun kaya dengan kandungan antioksidan seperti katekin, epikatekin, kuersetin, asid galik, asid elagik, asid kafeik, asid kumarik dan lain-lain lagi. [1]
Antioksidan-antioksidan ini memainkan banyak peranan dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan manusia. Sebagai contoh, terdapat laporan yang menunjukkan bahawa katekin berpotensi mencegah dan mengurangkan risiko kepada kanser, penyakit kardiovaskular dan penyakit kemerosotan otak. [2]
2. Tinggi dengan Kandungan Vitamin C
Buah sukun juga tinggi dengan kandungan vitamin C. Malah, kandungan vitamin C dalam buah sukun lebih tinggi daripada buah mangga, beri biru dan epal.
Bagi 100 gram buah sukun segar, terdapat kira-kira 29 miligram vitamin C iaitu 41% daripada RNI (recommended nutrient intake) bagi orang dewasa di Malaysia.
Vitamin C mempunyai banyak peranan terhadap fungsi badan. Selain bertindak sebagai antioksidan, vitamin C juga membantu menghasilkan kolagen dan meningkatkan sistem imun bagi melindungi badan daripada penyakit.
3. Boleh Mengurangkan Kesakitan Otot dan Sendi
Buah sukun juga kaya dengan sebatian fenolik. Terdapat kajian yang menunjukkan sebatian tersebut boleh membantu dalam merawat sakit otot dan sendi. [3]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk mengesahkan khasiat ini.
4. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Ekstrak buah sukun yang mengandungi metanol menunjukkan kesan antibakteria yang kuat terhadap bakteria Bacillus megaterium, Clostridium perfringens dan Salmonella enterica. [1]
Bakteria Bacillus megaterium boleh menyebabkan abses otak, bakteria Clostridium perfringens dan Salmonella enterica pula adalah bakteria yang sering menyebabkan keracunan makanan.
5. Sesuai untuk Penghidap Penyakit Seliak
Buah sukun turut dijadikan tepung. Tepung ini adalah tepung bebas gluten yang sesuai untuk penghidap penyakit seliak atau mereka yang tak tolerans gluten.
6. Mengandungi Semua Asid Amino Perlu
Asid amino adalah molekul yang bergabung untuk membentuk protein. Terdapat sesetengah asid amino yang boleh dihasilkan oleh badan dan sesetengah yang lain pula tidak boleh dihasilkan oleh badan.
Asid amino perlu (essential amino acid) adalah asid amino yang tidak dapat dihasilkan oleh badan dan perlu diperolehi melalui pemakanan.
Terdapat 9 asid amino perlu dan buah sukun mengandungi kesemua asid amino tersebut. Ini menjadikan buah sukun sebagai sumber makanan yang mengandungi protein yang berkualiti. [4]
7. Berpotensi Mencegah Serangan Jantung
Khasiat buah sukun juga didapati bermanfaat kepada kesihatan kardiovaskular.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak buah sukun boleh meningkatkan ketersediaan oksigen, mengurangkan kelikatan darah dan meningkatkan aliran darah bagi haiwan yang diuji dengan serangan jantung. [5]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk melihat manfaat buah sukun kepada kesihatan kardiovaskular secara lebih mendalam.
8. Boleh Mengurangkan Risiko Terhadap Diabetes
Buah sukun juga didapati berpotensi dalam membantu mengurangkan risiko kepada diabetes jenis 2 atau penyakit kencing manis.
Dalam satu kajian semula yang melibatkan 41 kajian, walaupun pada hakikatnya kebanyakan kajian ini tidak memberikan banyak maklumat botani tentang buah sukun, terdapat bukti yang mencukupi untuk mencadangkan bahawa ia mungkin mempunyai potensi untuk mencegah penyakit kencing manis. [6]
Tambahan itu juga, ciri-ciri buah sukun yang rendah dengan indeks glisemik berbanding makanan ruji yang lain seperti gandum atau ubi kayu mungkin menjadi salah satu penyumbang kepada potensinya dalam mencegah penyakit kencing manis. [7,8]
Rumusan
Buah sukun adalah makanan ruji bagi sesetengah negara terutamanya di Kepulauan Pasifik. Di Malaysia, buah ini mungkin kurang mendapat sambutan atau dimanfaatkan sepenuhnya.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa buah sukun sebenarnya mempunyai banyak khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan.Contohnya, buah sukun kaya dengan kandungan antioksidan, tinggi dengan vitamin C, boleh mencegah jangkitan bakteria dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Soifoini, T. et al. (2021). Phytochemical Composition, Antibacterial Activity, and Antioxidant Properties of the Artocarpus altilis Fruits to Promote Their Consumption in the Comoros Islands as Potential Health-Promoting Food or a Source of Bioactive Molecules for the Food Industry. Foods.
- Isemura M. (2019). Catechin in Human Health and Disease. Molecules.
- Ramalingum, N., & Mahomoodally, M. F. (2014). The therapeutic potential of medicinal foods. Advances in pharmacological sciences.
- Liu, Y. et al. (2015). Breadfruit (Artocarpus altilis): a source of high-quality protein for food security and novel food products. Amino acids.
- Thomas, J. et al. (2022). Artocarpus Altilis (Breadfruit) could Reverse Myocardial Infarction Through the Normalization of the Oxygen Haemoglobin Dissociation Curve. Cardiovascular & hematological agents in medicinal chemistry.
- Christina E. T. et al. (2015). Breadfruit (Artocarpus altilis and hybrids): A traditional crop with the potential to prevent hunger and mitigate diabetes in Oceania. Trends in Food Science & Technology.
- Widanagamage, R. D. et al. (2009). Carbohydrate-rich foods: glycaemic indices and the effect of constituent macronutrients. International journal of food sciences and nutrition.
- Ramdath, D. D. et al. (2004). Glycaemic index of selected staples commonly eaten in the Caribbean and the effects of boiling v. crushing. The British journal of nutrition.