Mungkin generasi muda pada masa ini sudah tidak mengenali buah sentul kerana ia semakin sukar untuk dijumpai. Besar kemungkinan juga ramai yang tidak mengetahui akan khasiat buah sentul ini. Justeru itu, artikel ini menyenaraikan beberapa khasiat buah sentul yang bermanfaat untuk kesihatan.
Sentul atau secara saintifiknya dikenali sebagai “Sandoricum koetjape” adalah tumbuhan daripada keluarga Meliaceae iaitu keluarga yang sama dengan buah langsat atau sentang.
Pokok sentul merupakan tumbuhan semula jadi yang boleh di temui di Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja dan Filipina. Buah sentul biasanya dimakan segar atau dibuat jeruk. Kulit buah sentul juga turut boleh dimakan.
Perubatan tradisional menggunakan beberapa bahagian pada pokok sentul untuk perubatan dan perawatan. Akar pokok sentul direbus dan airnya diminum untuk melegakan cirit-birit, jangkitan dalam usus, kekejangan, sakit perut dan kembung.
Akar dan kulit pokok sentul juga digunakan dalam perawatan ibu yang baru lepas bersalin. Daun pokok sentul pula ditampal pada kulit untuk merangsang peluh dan merawat kegatalan. Daun sentul juga direbus dan digunakan untuk mandian bagi melegakan demam.
Kajian-kajian moden juga turut dijalankan untuk mengetahui khasiat buah sentul yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan dan perubatan. Antara khasiat-khasiat tersebut adalah:
1. Mengandungi Zat-zat Penting
Buah sentul seberat 100 gram mengandungi zat-zat penting yang diperlukan oleh badan seperti:[1]
- Protein: 0.6 gram
- Karbohidrat: 21.1 gram
- Serat: 1.6 gram
- Kalsium: 7 miligram
- Zat besi: 0.8 miligram
- Fosforus: 7 miligram
- Kalium: 50 miligram
- Vitamin C: 9.3 miligram
- Vitamin B1: 0.01 miligram
- Vitamin B2: 0.04 miligram
- Vitamin B3: 0.5 miligram
- Vitamin A: 1 mikrogram
Mineral dan vitamin ini mempunyai pelbagai peranan terhadap fungsi dan kesihatan badan. Sebagai contoh, mineral fosforus adalah mineral yang penting untuk gigi dan tulang yang kuat. Mineral ini turut diperlukan oleh badan untuk menghasilkan tenaga.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh mencegah atau memperlahankan kerosakan sel-sel sihat dalam badan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Sebatian antioksidan yang boleh diperolehi daripada sayur-sayuran atau buah-buahan ini mempunyai peranan yang penting bagi mengelakkan berlaku keadaan yang dipanggil tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan penyakit jantung, kanser, strok, artritis, penyakit pernafasan atau penyakit Parkinson.
Buah sentul juga didapati turut mengandungi antioksidan. Kajian melaporkan bahawa buah sentul tinggi dengan kandungan antioksidan seperti fenolik dan flavonoid. [2]
2. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan apabila berlakunya jangkitan atau kecederaan. Keradangan pada awalnya tidak menjadi masalah tetapi sekiranya ia berlaku secara berterusan (kronik), ia boleh mendatangkan masalah.
Keradangan kronik boleh dianggap sebagai salah satu penyakit yang membimbangkan kerana ia turut dikaitkan dengan penyakit seperti kanser, diabetes dan penyakit jantung.
Tanda-tanda keradangan yang biasa berlaku adalah seperti sakit, panas, kemerahan, bengkak atau kehilangan fungsi bagi tisu atau anggota badan yang terjejas.
Kulit buah sentul turut didapati mempunyai aktiviti antiradang. Kandungan bryonolic acid dalam buah ini bermanfaat dalam membantu merawat penyakit yang berkaitan dengan keradangan. [3]
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Angiogenesis ialah keadaan dimana terbentuknya salur darah baru yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tumor dan pemerebakan sel-sel kanser ke bahagian badan yang lain.
Mencegah atau merencatkan angiogenesis ini adalah salah satu cara dalam perawatan kanser.
Kajian makmal mendapati sebatian koetjapic acid daripada batang pokok sentul boleh mencegah atau merencatkan pertumbuhan saluran darah yang baru. Secara tidak langsung, ia boleh merencatkan pertumbuhan tumor. [4]
Biji buah sentul juga turut menunjukkan aktiviti sitotoksik (menyekat dan membunuh sel kanser) terhadap sel-sel kanser leukemia. [5]
4. Baik untuk Penghadaman
Sekiranya buah sentul ini dibuat jeruk dan dimakan bersama-sama kulitnya, ia boleh mendatangkan kebaikan kepada sistem penghadaman kerana kandungan serat diet yang tinggi.
Kulit buah sentul kaya dengan serat tidak larut. Serat tidak larut ini boleh membantu badan memproses sisa dengan baik, mencegah dan merawat sembelit, mengurangkan risiko kanser usus besar dan meningkatkan kesihatan usus. [6]
5. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Selain itu juga, kulit buah sentul juga turut mengandungi sebatian yang boleh melawan jangkitan bakteria.
Bryononic acid yang terkandung dalam kulit buah sentul didapati mempunyai aktiviti antibakteria yang kuat terhadap bakteria Salmonella enterica iaitu bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. [7]
6. Boleh Menguatkan Sistem Imun
Buah sentul juga agak tinggi dengan kandungan vitamin C. 100 gram buah ini boleh membekalkan kira-kira 13% keperluan vitamin C harian bagi orang dewasa di Malaysia.
Vitamin C mempunyai banyak peranan terhadap badan dan salah satu daripadanya adalah menguatkan sistem imun. Vitamin C boleh membantu sistem imun untuk berfungsi dengan baik bagi melindungi badan daripada jangkitan atau penyakit. [8]
Rumusan
Buah sentul mungkin tidak popular seperti buah-buahan yang lain. Mungkin ramai daripada generasi baru yang tidak mengenali buah ini.
Meskipun begitu, buah sentul mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan khasiat buah sentul boleh dimanfaatkan untuk menguatkan sistem imun, melawan jangkitan bakteria, baik untuk penghadaman dan lain-lain lagi.
Kajian-kajian juga turut menunjukkan bahawa bahagian kulit buah ini mempunyai banyak khasiatnya. Oleh itu, pemakanan buah sentul bersama-sama kulitnya boleh mendatangkan banyak manfaat kepada kita.
Rujukan
- Malaysian Food Composition Database. MyFCD. Sentul, Pickled.
- Anantachoke, N., et al. (2016). Thai Fruits Exhibit Antioxidant Activity and Induction of Antioxidant Enzymes in HEK-293 Cells. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Tomohiro Itoh. et al.(2018). Sentulic acid isolated from Sandoricum koetjape Merr attenuates lipopolysaccharide and interferon gamma co-stimulated nitric oxide production in murine macrophage RAW264 cells. Bioorganic & Medicinal Chemistry Letters.
- Nassar, Z. D. et al. (2011). Antiangiogenic properties of Koetjapic acid, a natural triterpene isolated from Sandoricum koetjaoe Merr. Cancer cell international.
- Bumi, M. B. et al. (2019). Four limonoids from the seeds extract of Sandoricum koetjape. Journal of natural medicines.
- Sorada Wanlapa. et al.(2015). Potential of Selected Tropical Fruit Peels as Dietary Fiber in Functional Foods. International Journal of Food Properties.
- Heliawati,L. et al. (2019). Bryononic Acid: Antibacterial Compound from Fruit Hulls of S. koetjape Merr Extract. Journal of Chemical and Pharmaceutical Sciences.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.