Mungkin ramai yang tidak tahu akan khasiat buah salak. Ia mungkin disebabkan buah ini tidak popular atau lebih sinonim dibuat jeruk.
Buah salak sebenarnya mempunyai banyak khasiat dan manfaat yang baik untuk kesihatan. Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai khasiat-khasiat buah salak berdasarkan sokongan kajian.
Buah salak atau nama saintifiknya Salacca zalacca ialah buah daripada keluarga pokok palma yang sama dengan kelapa sawit, kelapa, pinang dan kurma.
Pokok salak dipercayai berasal dari Sumatra Selatan dan Tenggara Jawa, Indonesia. Ia kemudiaannya tersebar ke Malaysia, Thailand dan Myammar.
Salak kemudiaanya turut dibawa dan disebarkan di Filipina, China, Australia, Fiji, Surinam dan Sepanyol.
Masyarakat barat mengenai buah salak dengan nama “snake fruit” kerana kulitnya yang seakan-akan sisik ular.
Buah salak adalah sumber yang baik untuk mendapatkan karbohdirat dan serat diet. Ia biasanya dimakan segar, dijadikan jeruk atau ditinkan di dalam air gula.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelebihan atau khasiat buah salak, berikut adalah senarai khasiat buah salak berdasarkan sokongan kajian-kajian:
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Buah salak mengandungi pelbagai nutrien yang bermanfaat kepada fungsi badan.
Bagi 100 gram buah salak terdapat nutrien-nutrien berikut: [1, 2]
- Kalori/Tenaga: 77 kcal
- Protein: 0.7 gram
- Karbohidrat: 18.4 gram
- Serat: 1.1 gram
- Kalsium: 6 miligram
- Zat besi: 0.3 miligram
- Magnesium: 7.16 miligram
- Fosforus: 9 miligram
- Kalium: 168 miligram
- Mangan: 0.25 miligram
- Zink: 0.035 miligram
- Vitamin C: 3.7 miligram
- Vitamin B1: 0.01 miligram
- Vitamin B2: 0.15 miligram
- Vitamin B3: 2.4 miligram
- Vitamin A: 8 mikrogram
2. Tinggi dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Buah salak dilaporkan mengandungi pelbagai antioksidan yang kuat seperti likopena, epikatekin, proantosianidin, antosianin dan banyak lagi.
Kajian oleh pengkaji dari Universiti Malaysia Sabah menunjukkan bahawa aktiviti antioksidan pada buah salak lebih tinggi daripada buah-buahan tropika yang lain seperti manggis, avokado, oren, betik, pisang, rambutan, tembikai susu dan tembikai. [3]
3. Berpotensi Membantu Merendahkan Paras Kolesterol
Buah salak juga didapati berpotensi dalam membantu menurunkan paras kolesterol bagi sesiapa yang memakannya.
Khasiat buah salak ini dilaporkan dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati pengambilan buah salak boleh menghalang peningkatan lipid (lemak termasuklah kolesterol) di dalam darah dengan ketara bagi haiwan yang diberikan diet tinggi kolesterol. [4]
4. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Buah salak juga boleh membantu mengawal paras gula darah bagi pemakannya. Khasiat ini menjadikan buah ini sesuai untuk dimakan oleh pesakit diabetes jenis 2 (penyakit kencing manis).
Khasiat buah salak ini ditunjukkan dalam satu kajian yang mendapati ekstrak buah salak boleh mencegah enzim α-glucosidase. Enzim α-glucosidase adalah enzim yang memecahkan kanji atau karbohdirat kepada gula ringkas iaitu glukosa. [5]
Perencatan enzim ini boleh membantu memperlahankan pelepasan glukosa ke dalam darah, seterusnya merendahkan paras gula darah selepas makan dalam kalangan pesakit diabetes.
5. Berpotensi Mencegah dan Merawat Gout
Gout adalah penyakit sendi atau artritis yang berpunca daripada pengumpulan asid urik di bahagian sendi-sendi yang menyebabkan keradangan dan kesakitan.
Buah salak didapati berpotensi untuk mencegah dan merawat gout kerana keupayaannya untuk menstabilkan peningkatan paras asid urik.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak etanol buah salak mengurangkan paras asid urik dengan ketara. Selain itu, esktrak buah salak ini juga turut meningkatkan pengkumuhan asid urik. [6]
6. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Buah salak juga didapati berpotensi dalam mencegah dan merawat kanser.
Kajian tabung uji mendapati buah salak mempunyai ciri-ciri antikanser yang kuat terhadap sel-sel kanser usus besar, kanser payudara, kanser paru-paru dan kanser hati. MyFCD
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan untuk melihat potensi sebenar buah salak dalam mencegah dan merawat kanser.
7. Melegakan Pedih Hulu Hati
Secara tradisionalnya, buah salak juga digunakan masyarakat terdahulu untuk melegakan pedih hulu hati.
8. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Buah salak juga tinggi dengan serat diet yang boleh membantu mengurangkan berat badan. Seratnya yang tinggi membuatkan anda berasa kenyang dan menghalang daripada terlebih makan.
Buah salak juga tinggi dengan kandungan serat tak larut yang boleh membantu melancarkan penghadaman dan mencegah sembelit.
9. Boleh Membantu Meningkatkan Memori
Kandungan beta-karotena, pektin dan kalium dalam buah salak boleh membantu meningkatkan aliran darah ke otak.
Keadaan ini boleh membantu kognisi dan ingatan (memori). Selain itu, ciri-ciri antioksidan buah salak juga menghilangkan beberapa tahap tekanan oksidatif yang membantu mengurangkan risiko penyakit degeneratif otak seperti penyakit Alzheimer.
Rumusan
Buah salak adalah bukan sahaja enak dimakan tetapi turut mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan.
Kajian-kajian yang terhad menunjukkan buah salak kaya dengan pelbagai nutrien, antioksidan dan berpotensi dalam membantu merendahkan paras kolesterol, paras gula darah, bersifat antikanser dan lain-lain lagi.
Selain itu, buah salak juga sesuai untuk dimakan oleh mereka yang menghidap gout kerana keupayaannya untuk menstabilkan peningkatan paras asid urik.
Rujukan
- MyFCD. Salak (Salak); Zalacca Edulis.
- Purabi Mazumdar, P. et al. (2019). Biology, phytochemical profile and prospects for snake fruit: An antioxidant-rich fruit of South East Asia. Trends in Food Science & Technology.
- Aralas, Sitti. et al. (2009). Antioxidant properties of selected salak (Salacca zalacca) varieties in Sabah, Malaysia. Nutrition & Food Science.
- Leontowicz, H., et al. (2006). Bioactive properties of Snake fruit (Salacca edulis Reinw) and Mangosteen (Garcinia mangostana) and their influence on plasma lipid profile and antioxidant activity in rats fed cholesterol. Eur Food Res Technol.
- Saleh, M. S. M. et al. (2018). Correlation of FT-IR Fingerprint and α-Glucosidase Inhibitory Activity of Salak (Salacca zalacca) Fruit Extracts Utilizing Orthogonal Partial Least Square. Molecules.
- Afrianti, Leni. et al. (2012). Antihyperuricemic Effect of Ethanol Extract of Snake Fruit (Salacca edulis Reinw.) var. Bongkok on Wistar Male Rat. Journal of Food Science and Engineering.
- Fang Li. et al. (2013). Antiproliferative activity of peels, pulps and seeds of 61 fruits. Journal of Functional Foods.