Buah pala atau nama saintifiknya Myristica fragrans adalah buah yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan. Khasiat buah pala ini telah lama dimanfaatkan oleh masyarakat terdahulu, kali ini kami senaraikan khasiat-khasiat buah pala yang disokong oleh kajian sains.
Buah pala adalah buah daripada tumbuhan malar hijau yang berasal dari kepulauan Indonesia, Sri Lanka dan Kepulauan Grenada. [1]
Kulit buah atau bahagian luar bijinya selalunya dijadikan jeruk. Manakala, biji buah pala ini dijadikan rempah untuk masakan.
Perubatan tradisional telah menggunakan biji pala ini untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti cirit-birit, sakit kepala, demam, psikosis, loya, muntah-muntah, buasir, sakit sendi, kekejangan perut, kembung perut dan sebagai pembuka selera. [2]
Perubatan Ayurveda pula menggunakan buah pala untuk merawat asma, demam dan masalah berkaitan dengan usus.
Buah pala boleh didapati di pasaran dalam bentuk kulit buah atau isi, biji dan juga minyak pati.
Berikut adalah beberapa khasiat buah pala termasuklah bijinya yang disokong oleh kajian-kajian.
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel badan manusia daripada rosak akibat daripada radikal bebas.
Tanpa antioksidan, jumlah radikal bebas akan menjadi tinggi. Kesannya, ia menyebabkan terjadinya tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Buah pala terutamanya termasuk bijinya mengandungi sebatian-sebatian antioksidan seperti asid kafeik, eugenol, terpenes, sianidin dan banyak lagi. [2]
Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa ekstrak buah pala dapat melindungi sel-sel haiwan tersebut daripada kerosakan akibat daripada ubat yang boleh menyebabkan tekanan oksidatif yang teruk. Haiwan yang tidak diberikan ekstrak buah pala ini mengalami kerosakan tisu dan kematian sel yang teruk. [3]
2. Boleh Meningkatkan Nafsu Syahwat
Salah satu keistimewaan buah pala adalah boleh meningkatkan nafsu syahwat atau tenaga batin bagi mereka yang memakannya.
Perubatan tradisional Yunani dan Arab menggunakan rempah buah pala untuk menambah baik fungsi seksual bagi masyarakat terdahulu.[4]
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak buah pala dan bunga cengkih boleh meningkatkan aktiviti seksual bagi haiwan yang diberikan ekstrak ini. [4]
Kajian lain turut mendapati ekstrak buah pala boleh meningkatkan aktiviti seksual dan nafsu berahi bagi haiwan yang diuji tanpa kesan sampingan.[5]
Walau bagaimanapun, kajian terhadap manusia masih terhad.
3. Boleh Membantu Melawan Jangkitan Bakteria
Buah pala juga berkhasiat dalam membantu melawan jangkitan bakteria-bakteria yang berbahaya.
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati ekstrak buah pala menunjukkan aktiviti antibakteria yang ketara terhadap bakteria-bakteria yang menyebabkan kaviti gigi dan penyakit gusi. [6]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati buah pala turut menunjukkan sifat antibakteria terhadap bakteria E. coli, yang boleh menyebabkan pelbagai jangkitan seperti keracunan makanan. [7]
4. Bersifat Antiradang
Keradangan kronik (berlanjutan) boleh membahayakan kesihatan kerana banyak dikaitkan dengan pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, penyakit kencing manis dan artritis. [8]
Buah pala juga turut mengandungi sebatian-sebatian yang bersifat antiradang seperti terpineol, pinene dan sabinene.
Satu kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa minyak buah pala menunjukkan sifat antiradangnya dengan mengurangkan keradangan kronik seperti bengkak pada sendi, kesakitan akibat keradangan dan keradangan bagi subjek yang diuji.[9]
Terdapat juga kajian lain yang mendapati ekstrak kloroform buah pala turut menunjukkan sifat antiradang dengan mengurangkan bengkak pada kaki haiwan yang diuji. [10]
5. Baik untuk Kesihatan Perut
Perubatan tradisional ada menggunakan buah pala untuk merawat masalah kesihatan berkaitan perut seperti sakit perut, kembung perut dan masalah ketidakhadaman.
Satu kajian baru yang dijalankan terhadap haiwan dengan ulser perut mendapati ekstrak buah pala boleh mengurangkan luka pada lapisan perut sebanyak 42%. [11]
6. Bersifat Antikanser
Buah pala juga turut mempunyai potensi digunakan untuk melawan kanser.
Kajian-kajian peringkat awal yang dijalankan mendapati ekstrak buah pala atau sebatian aktif yang terkandung dalam buah pala boleh merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser seperti kanser leukimia, kanser paru-paru dan kanser usus. [2]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian-kajian ini.
7. Boleh Melindungi Hati
Khasiat buah pala juga dilihat turut bermanfaat kepada kesihatan hati. Buah pala didapati berpotensi untuk melindungi hati.
Kajian terhadap haiwan yang dijalankan oleh pengkaji dari Jepun mendapati sebatian myristicin dalam buah pala menunjukkan aktiviti perlindungan hati yang sangat kuat dengan merencatkan tindakan agen-agen yang merosakkan hati. [12]
Rumusan
Buah pala adalah buah yang berkhasiat dan mempunyai banyak kegunaan. Bahagian isinya dijadikan jeruk manakala bijinya dijadikan rempah yang digunakan dalam masakan.
Selain kegunaannya dalam masakan, buah pala juga turut mempunyai khasiat dalam melawan keradangan, meningkatkan nafsu syahwat, melawan jangkitan bakteria, merawat ulser perut, dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Abourashed, E. A., & El-Alfy, A. T. (2016). Chemical diversity and pharmacological significance of the secondary metabolites of nutmeg (Myristica fragrans Houtt.). Phytochemistry reviews.
- Ha, M. T. (2020). Phytochemical and pharmacological properties of Myristica fragrans Houtt.: an updated review. Archives of pharmacal research.
- Kareem, M. A. et al. (2013). Protective effect of nutmeg aqueous extract against experimentally-induced hepatotoxicity and oxidative stress in rats. Journal of Ayurveda and integrative medicine.
- Tajuddin, Ahmad. et al. (2003). Aphrodisiac activity of 50% ethanolic extracts of Myristica fragrans Houtt. (nutmeg) and Syzygium aromaticum (L) Merr. & Perry. (clove) in male mice: a comparative study. BMC complementary and alternative medicine.
- Tajuddin, Ahmad. et al. (2005). An experimental study of sexual function improving effect of Myristica fragrans Houtt. (nutmeg). BMC complementary and alternative medicine.
- Shafiei, Z. et al(2012). Antibacterial Activity of Myristica fragrans against Oral Pathogens. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Takikawa, A. et al. (2002). Antimicrobial activity of nutmeg against Escherichia coli O157. Journal of bioscience and bioengineering.
- Pahwa R, Goyal A, Bansal P, et al. Chronic Inflammation. [Updated 2020 Nov 20]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK493173/
- Zhang, W. K. et al. (2016). Nutmeg oil alleviates chronic inflammatory pain through inhibition of COX-2 expression and substance P release in vivo. Food & nutrition research.
- Olajide, O. A. et al. (1999). Biological effects of Myristica fragrans (nutmeg) extract. Phytotherapy research.
- Sattar, A. et al. (2019). Evaluation of Gastro-protective Activity of Myristica fragrans on Ethanol-induced Ulcer in Albino Rats. Anais da Academia Brasileira de Ciencias.
- Morita, T. et al. (2003). Hepatoprotective Effect of Myristicin from Nutmeg (Myristica fragrans) on Lipopolysaccharide/d-Galactosamine-Induced Liver Injury. Journal of Agricultural and Food Chemistry.