Buah markisa (passion fruit) ialah buah tropika yang mempunyai banyak khasiat dan manfaatnya kepada kesihatan. Khasiat buah markisa ini banyak disumbang oleh kandungan antioksidan, vitamin dan lain-lain.
Menyelusuri sejarahnya, buah markisa adalah berasal dari keluarga Passiflora dan ditanam di kawasan beriklim sederhana seperti di Amerika Selatan, Australia, Afrika Selatan dan India.
Terdapat tiga jenis buah markisa iaitu buah markisa berwarna ungu, buah markisa berwarna kuning dan giant granadilla.
Berikut adalah khasiat dan manfaat buah markisa untuk kesihatan kita:
1. Kaya dengan Nutrien
Buah markisa mempunyai profil nutrisi yang baik dengan kandungan mikronutrien yang menarik.
Bagi 100 gram buah markisa, terdapat nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 97 kcal
- Protein: 2.2 gram
- Karbohidrat: 23.38 gram
- Serat: 10.4 gram
- Kalsium: 12 miligram
- Zat besi: 1.6 miligram
- Magnesium: 29 miligram
- Fosforus: 68 miligram
- Kalium: 348 miligram
- Vitamin C: 30 miligram
- Vitamin A: 64 mikrogram
- Folat: 14 mikrogram
Buah markisa juga tinggi dengan beta-karotena, kolina dan beta-kriptoxantin. Kesemua ini ialah antioksidan yang baik untuk menyelamatkan sel-sel dalam badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Malahan satu kajian mendapati buah markisa mempunyai polifenol yang lebih banyak berbanding buah laici, pisang, mangga, betik dan buah nanas. [1]
2. Baik untuk Kesihatan Kulit dan Wajah
Buah markisa mengandungi antioksidan seperti vitamin A, vitamin C dan beta-karotena yang baik untuk kesihatan kulit dan wajah.
Sebagai contoh, vitamin C ialah vitamin yang paling tinggi kepekatannya di dalam kulit yang normal.
Vitamin C ini berperanan untuk menghasilkan kolagen dan bertindak sebagai antioksidan yang melindungi kulit. Seterusnya dapat mengurangkan kedutan kulit di wajah dan kerosakan kulit akibat sinaran UV. [2]
Selain itu, vitamin A dan karotenoid seperti beta-karotena juga baik untuk kesihatan kulit. Mikronutrien ini boleh mengalakkan penghasilan kolagen, mengurangkan kedutan, mencegah kerosakan sel, penuaan kulit dan penyakit kulit. [3, 4]
3. Baik untuk Penghadaman
Buah markisa juga tinggi dengan kandungan air dan serat diet.
Terdapat kira-kira 73 mililiter air bagi 100 gram buah ini. Seratnya pula membekalkan 35% RNI (recommended nutrient intake) bagi penduduk di Malaysia.
Serat diet dan air adalah dua komponen utama yang memainkan peranan penting untuk sistem penghadaman.
Serat diet dan air dapat mencegah daripada sembelit, merawat sembelit dan melancarkan proses penghadaman. [5, 6]
4. Baik untuk Penghidap Penyakit Kencing Manis
Buah ini juga baik untuk penghidap penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2 kerana mempunyai nilai indeks glisemik yang rendah.
Ini bermakna pengambilan buah ini tidak akan meningkatkan kadar gula dalam darah secara mendadak selepas memakannya.
Ini membuatkan buah ini satu pilihan makanan yang baik bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis.
5. Boleh Menyokong Kesihatan Jantung
Buah markisa juga turut tinggi dengan kandungan mineral kalium (potassium) iaitu kira-kira 7.4% RNI bagi 100gram buah ini.
Kalium diperlukan untuk sel berfungsi dengan normal dan juga dapat mengimbangi kesan negatif daripada garam (natrium).
Kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan kalium boleh menyumbang kepada penurunan tekanan darah.
Ini dapat mengurangkan risiko tekanan darah tinggi (hipertensi) yang seterusnya boleh membawa kepada sakit jantung atau strok. [7]
7. Boleh Membantu Mengurangkan Keresahan
Buah markisa juga mengandungi mineral magnesium yang dikaitkan boleh mengurangkan tekanan (stres) dan keresahan (anxiety).
Kajian pada tahun 2016 dan 2017 menunjukkan potensi magnesium untuk digunakan sebagai rawatan kepada masalah kerisauan dan stres. Namun, memerlukan kajian-kajian yang lebih lanjut. [8, 9]
Rumusan
Seperti buah-buahan yang lain, buah markisa juga tidak kurang hebatnya dari segi khasiat dan manfaat untuk kesihatan kita.
Kandungan nutrien di dalam buah markisa ini boleh membantu meningkatkan kesihatan kulit, sistem penghadaman, mengurangkan risiko penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Namun, mungkin segelintir individu mempunyai alahan terhadap getah akan bertindak balas terhadap buah ini.
Hal ini demikian kerana, terdapat struktur protein dalam buah ini yang sama dengan struktur protein getah. [10]
Rujukan
- Septembre-Malaterre, A. et al. (2016). Evaluation of nutritional and antioxidant properties of the tropical fruits banana, litchi, mango, papaya, passion fruit and pineapple cultivated in Réunion French Island. Food chemistry.
- Pullar, J. M. et al. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin Health. Nutrients.
- Kim B. H. (2010). Safety Evaluation and Anti-wrinkle Effects of Retinoids on Skin. Toxicological research.
- Meinke, M. C. et al. (2013). Influence of dietary carotenoids on radical scavenging capacity of the skin and skin lipids. European journal of pharmaceutics and biopharmaceutics.
- Kranz, S. et al. (2012). What do we know about dietary fiber intake in children and health? The effects of fiber intake on constipation, obesity, and diabetes in children. Advances in nutrition.
- Markland, A. D. et al. (2013). Association of low dietary intake of fiber and liquids with constipation: evidence from the National Health and Nutrition Examination Survey. The American journal of gastroenterology.
- Weaver C. M. (2013). Potassium and health. Advances in nutrition.
- Boyle, N. B. et al. (2016). The effects of magnesium supplementation on subjective anxiety. Magnesium research.
- Boyle, N. B. et al. (2017). The Effects of Magnesium Supplementation on Subjective Anxiety and Stress-A Systematic Review. Nutrients.
- Brehler, R. et al. (1997). “Latex-fruit syndrome”: frequency of cross-reacting IgE antibodies. Allergy.