Buah dabai atau nama popularnya “Zaitun Sarawak” atau “Zaitun Sibu” adalah buah bermusim yang semakin mendapat perhatian. Adalah molek jika masyarakat turut mengetahui akan khasiat buah dabai ini.
Buah dabai atau nama saintifiknya Canarium odontophyllum buah yang hanya boleh dijumpai di Kepulauan Borneo seperti Sarawak, Sabah, Brunei, Kalimantan, Palawan dan Sumatra.
Di Malaysia, negeri Sarawak adalah satu-satunya negeri yang menjadi pengeluar buah dabai secara komersial. Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, pada tahun 2019 negeri Sarawak mengeluarkan kira-kira 6,393 tan metrik buah dabai. Sibu dan Kapit adalah antara daerah yang popular dengan buah dabai.
Buah dabai mempunyai rupa seperti buah zaitun. Apabila masak sepenuhnya, kulitnya akan berubah kepada warna ungu gelap dan isinya akan berwarna kuning krim. Buah dabai boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk.
Buah dabai mempunyai banyak potensi sama ada untuk dijadikan makanan fungsian atau dijadikan sumber minyak sayuran yang sihat.
Kajian-kajian telah dilakukan untuk mengetahui khasiat dan nilai nutrisi yang terkandung dalam buah ini. Berikut adalah beberapa khasiat buah dabai untuk kesihatan berdasarkan kajian:
1. Mengandungi Nutrien Penting
Kandungan nutrien dalam buah dabai bergantung kepada saiz dan lokasi pokok dabai ditanam.
Secara umumnya, bagi 100 gram buah dabai terdapat nutrien-nutrien berikut: [1, 2]
- Tenaga/Kalori: 339 kcal
- Protein: 3.0 – 4.8 gram
- Lemak: 6.5 – 27.7 gram
- Karbohidrat: 17 – 30 gram
- Serat: 9.5 – 19 gram
- Kalsium: 200 miligram
- Zat besi: 1.3 miligram
- Fosforus: 65 miligram
- Magnesium: 106 miligram
- Kalium: 810 miligram
- Tembaga: 0.2 – 0.5 miligram
- Zink: 0.7 – 0.9 miligram
Profil nutrisi ini menunjukkan buah dabai tinggi dengan kandungan mineral kalsium, magnesium dan kalium. Mineral-mineral ini baik untuk kesihatan tulang, tekanan darah, fungsi otot dan saraf.
2. Tinggi dengan Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian penting bagi melindungi badan daripada radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Buah dabai turut tinggi dengan sebatian antioksidan ini iaitu antosianin. Antosianin ini berkhasiat dalam melindungi jantung. [3]
Selain itu, kajian juga turut mendapati buah dabai turut mengandungi antioksidan seperti: [4]
- Asid elagik
- Asid vanilik
- Katekin
- Epikatekin
- Apigenin
3. Baik untuk Penghadaman
Buah dabai juga berkhasiat untuk sistem penghadaman. Memakan buah ini boleh melancarkan pembuangan air besar dan mencegah sembelit.
Hal ini kerana buah dabai tinggi dengan kandungan serat diet terutamanya serat tidak larut.
Serat tidak larut adalah serat yang tidak larut dalam air. Serat jenis ini boleh menarik air ke dalam najis menjadikannya lebih lembut dan senang dikumuhkan. Keadaan ini boleh mencegah daripada berlakunya sembelit.
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Khasiat buah dabai turut bermanfaat untuk kesihatan jantung.
Kandungan antosianin dalam buah dabai terutama pada kulitnya boleh menjadi agen yang melindungi jantung. Antosianin boleh mengurangkan risiko kepada penyakit kronik seperti penyakit jantung melalui pelemahan terhadap tekanan oksidatif dan penanda keradangan. [5, 6]
Selain itu, kandungan minyak yang diekstrak daripada isi buah dabai juga turut didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat), trigliserida (lemak dalam darah) dan meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik). [7]
Paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.
5. Baik untuk Kesihatan Hati
Menariknya juga, buah dabai turut didapati mempunyai ciri-ciri yang boleh melindungi hati daripada rosak akibat daripada kolesterol yang tinggi.
Satu kajian terkini mendapati ekstrak minyak dari isi buah dabai mengandungi “syringic acid” yang memainkan peranan penting terhadap ciri-ciri perlindungan ini. [8]
6. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Tetapi, sekiranya keradangan ini berlaku secara berpanjangan, ia akan membawa kepada masalah yang lebih serius seperti penyakit kronik.
Buah dabai yang mempunyai sifat antiradang boleh membantu mengurangkan keradangan yang berlaku.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati pengambilan minyak isi buah dabai bagi haiwan yang mengalami kolesterol tinggi selama 30 hari menunjukkan penurunan paras kolesterol diikuti dengan penurunan penanda-penanda keradangan seperti interleukin-6 (IL-6). [9]
7. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Selain buahnya, daun dabai juga didapati berpotensi untuk digunakan dalam merawat penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menghidap diabetes mendapati pengambilan ekstrak daun dabai menunjukkan paras gula darah yang lebih rendah berbanding kumpulan yang tidak menerima ekstrak ini. [10]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih perlu dijalankan.
Cara Makan Buah Dabai
Buah dabai yang masak biasanya dimakan secara segar.
Buah dabai ini dimakan dengan cara merendamkannya terlebih dahulu ke dalam air suam selama 5-10 minit untuk melembutkan isinya.
Kemudian, ia dimakan secara segar atau ditambah dengan perasa seperti gula, garam atau sos.
Rumusan
Buah dabai adalah salah satu khazanah alam yang bernilai buat bumi borneo seperti Sarawak. Buah ini mempunyai banyak khasiat dan juga turut berpotensi dijadikan minyak yang sihat.
Kajian-kajian awal mendapati buah dabai berkhasiat dalam membantu penghadaman, baik untuk kesihatan jantung, boleh melindungi hati, dan bersifat antiradang.
Kajian-kajian lanjut masih banyak diperlukan bagi merungkai lebih banyak khasiat buah dabai.
Rujukan
- Chua, H.P. et al. (2015). Physical properties and nutritional values of dabai fruit (Canarium odontophyllum) of different genotypes. J. Trop. Agric. and Fd. Sc.
- Ding, P. (2011). Dabai ( Canarium odontophyllum Miq.). Woodhead Publishing Limited.
- Khoo, H. E. et al. (2014). Inhibition of oxidative stress and lipid peroxidation by anthocyanins from defatted Canarium odontophyllum pericarp and peel using in vitro bioassays. PloS one.
- Chew, L.Y. et al. (2012). Analysis of Phenolic Compounds of Dabai (Canarium odontophyllum Miq.) Fruits by High-Performance Liquid Chromatography. Food Anal. Methods.
- Lyall, K. A. et al. (2009). Short-term blackcurrant extract consumption modulates exercise-induced oxidative stress and lipopolysaccharide-stimulated inflammatory responses. American journal of physiology. Regulatory, integrative and comparative physiology.
- Khoo, H. E. et al. (2013). Antioxidative and cardioprotective properties of anthocyanins from defatted dabai extracts. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Shakirin, F. H. et al. (2012). Protective effect of pulp oil extracted from Canarium odontophyllum Miq. Fruit on blood lipids, lipid peroxidation, and antioxidant status in healthy rabbits. Oxidative medicine and cellular longevity.
- Kadir, N. et al. (2021). Hepatoprotective Effect of Supercritical Carbon Dioxide Extracted Dabai Pulp Oil and Its Defatted Pulp. Molecules.
- Kadir, N. et al. (2021). Quality of Dabai Pulp Oil Extracted by Supercritical Carbon Dioxide and Supplementation in Hypercholesterolemic Rat-A New Alternative Fat. Foods.
- Saari, S. M. et al. (2017). Effects of Canarium odontophyllum leaves on plasma glucose and T lymphocyte population in streptozotocin-induced diabetic rats. Saudi journal of biological sciences.