Buah bidara mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan dan telah lama digunakan dalam perubatan tradisional. Secara ringkasnya, khasiat buah bidara termasuklah mengatasi masalah insomnia (sukar tidur), mengurangkan keresahan, meningkatkan fungsi otak dan lain-lain.
Buah bidara adalah buah tropika dan subtropika yang boleh didapati di banyak negara Asia hingga Kepulauan Pasifik seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Myammar, Nepal, Sri Lanka, Australia, Afghanistan, Bhutan, Vietnam, Afrika, India dan China.
Buah ini mempunyai banyak nama antaranya ialah jujube, indian jujube, chinese date, masau, red date, suan zao ren, ziziphi spinosae, sour date, black jujube, Regi pandu dan indian plum.
Berikut adalah beberapa khasiat buah bidara untuk kesihatan wanita dan lelaki:
1. Kaya dengan Nutrien yang Bermanfaat
Dalam 100 gram (kira-kira 3 biji) buah bidara, terdapat mikronutrien seperti berikut: [1]
- Tenaga: 79 kcal
- Protein: 1.2 gram
- Karbohidrat: 20 gram
- Serat: 10 gram
- Kalsium: 21 miligram
- Zat besi: 0.5 miligram
- Magnesium: 10 miligram
- Fosforus: 23 miligram
- Kalium: 250 miligram
- Vitamin C: 69 miligram
Buah ini turut mengandungi mikronutrien seperti tembaga, mangan dan juga vitamin B.
Kalori yang rendah dan serat yang tinggi menjadikan buah bidara satu sajian snek yang sihat untuk dimakan.
2. Membantu Mengatasi Masalah Insomnia
Buah bidara telah lama digunakan dalam perubatan Cina untuk merawat masalah sukar tidur atau insomnia.
Buah dan biji bidara mengandungi sebatian flavonoid- saponin dan polisakarida. Saponin didapati boleh bertindak sebagai penggalak untuk tidur dengan meningkatkan masa tidur.
Kualiti sedatifnya membantu mendorong tidur dengan memberikan kesan yang menenangkan kepada keseluruhan sistem saraf. [2]
3. Kaya dengan Antioksidan
Buah ini juga kaya dengan beberapa sebatian antioksidan seperti flavonoid, polisakarida dan asid triterpenik. Buah bidara juga turut mengandungi vitamin C yang juga merupakan salah satu antioksidan.
Antioksidan ialah sebatian yang dapat mencegah kerosakan akibat radikal bebas yang berlebihan.
Kerosakan akibat radikal bebas ini menjadi penyumbang kepada pelbagai penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, penyakit jantung, dan juga kanser.
Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan aktiviti antioksidan flavonoid dalam buah bidara dapat mengurangkan tekanan oksidatif dan radang yang mengakibatkan kerosakan hati. [3]
4. Boleh Meningkatkan Fungsi Otak
Buah bidara juga turut digunakan meluas dalam perubatan alternatif untuk meningkatkan fungsi otak.
Dalam perubatan moden, buah ini bermanfaat kepada otak dengan kesan perlindungan dan mengelakkan kematian sel otak.
Penyakit Parkinson dan Alzheimer adalah penyakit yang berkaitan kerosakan otak yang disebabkan oleh tekanan oksidatif (antara faktor penyebab).
Kajian makmal yang dijalankan mendapati ekstrak air bidara menunjukkan perlindungan kepada sel otak daripada kecederaan pengoksidaan dan menghalang pembentukkan ROS (Reactive Oxygen Species) yang boleh menyebabkan kematian sel. [4]
Selain itu, buah bidara juga dapat melindungi neuron daripada kerosakan iskemik (aliran darah yang tidak mencukupi ke otak ) melalui kesan antioksidannya. [5]
5. Boleh Membantu Melegakan Keresahan (Anxiety)
Buah bidara telah terbukti mempunyai kesan yang menenangkan terhadap otak dan sistem saraf.
Kajian di China menunjukkan sup dari buah bidara masam berkesan untuk digunakan sebagai ubat untuk kecelaruan keresahan (anxiety disorder) sama seperti ubat Doxepin.[7]
Kajian terhadap haiwan juga menunjukkan kesan pengurangan keresahan melalui pengambilan ekstrak buah bidara.[8]
6. Boleh Membantu Mengawal Tekanan Darah
Buah bidara juga kaya dengan kandungan kalium (potassium) dan rendah garam (sodium).
3 biji buah ini membekalkan kira-kira 5.3% RNI (recommended nutrient intake) kalium kepada badan.
Selain membolehkan badan berfungsi dengan baik, kalium juga dapat merendahkan tekanan darah tinggi dengan mengurangkan kesan negatif garam (sodium).
Kalium juga berfungsi mengendurkan dinding pembuluh darah, merendahkan tekanan darah dan melindungi daripada kekejangan otot. [9]
7. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Buah ini juga berkhasiat dalam membantu menguatkan sistem imun badan.
Satu kajian tabung uji menunjukkan serat dalam buah bidara ini mengalakkan penghasilan sel imun dan meningkatkan kadar peneutralan sebatian yang berbahaya. [10]
Kajian lain turut mendapati sebatian yang dikenali konjugat polisakarida dalam buah ini boleh meningkatkan sistem imun dan aktiviti antioksidan terhadap haiwan yang diuji. [11]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian terhadap manusia harus dijalankan untuk mengenalpasti manfaat buah ini terhadap sistem imun manusia.
8. Boleh Mencegah Sembelit
Kira-kira 50% daripada karbohidrat buah bidara adalah serat diet.
Serat sangat bermanfaat untuk sistem penghadaman kita. Serat membantu melembut dan membesarkan najis.
Kandungan saponin dan triterpenoid dalam buah ini juga turut memainkan peranan dengan meningkatkan penyerapan nutrien dan mengalakkan pergerakan makanan yang sihat melalui usus.
Peringatan!
Buah bidara adalah selamat dimakan oleh kebanyakan orang.
Namun, bagi mereka yang mengambil ubat antidepresan seperti venlafaxine atau sebarang serotonin-nerepinephrine reuptake inhibitor (SSNRI), anda harus mengelak daripada makan buah ini kerana buah ini boleh bertindak balas dengan ubat jenis ini. [12]
Rujukan
- Miklavčič Višnjevec, A. et al. (2019). An Integrated Characterization of Jujube (Ziziphus jujuba Mill.) Grown in the North Adriatic Region. Food technology and biotechnology.
- Jiang, J. G. et al. (2007). Separation and purification of saponins from Semen Ziziphus jujuba and their sedative and hypnotic effects. The Journal of pharmacy and pharmacology.
- Huang, W. et al. (2017). Protective Effect of Flavonoids from Ziziphus jujuba cv. Jinsixiaozao against Acetaminophen-Induced Liver Injury by Inhibiting Oxidative Stress and Inflammation in Mice. Molecules.
- Chen, J. et al. (2013). Chemical and biological assessment of Ziziphus jujuba fruits from China: different geographical sources and developmental stages. Journal of agricultural and food chemistry.
- Yoo, K. Y. et al. (2010). Zizyphus attenuates ischemic damage in the gerbil hippocampus via its antioxidant effect. Journal of medicinal food.
- Jin, Z. (2006). The control research about Sour Jujube soup in the treatment of generalized anxiety disorder(GAD). Medical Journal of Chinese People’s Health.
- Peng, W. H. et al. (2000). Anxiolytic effect of seed of Ziziphus jujuba in mouse models of anxiety. Journal of ethnopharmacology.
- Harvard Health Publishing. Potassium lowers blood pressure.
- Cai, Y. et al. (2017). In vitro immunological and anti-complementary activities of two water-soluble lignins from Zizyphus jujube cv. Jinchangzao. International journal of biological macromolecules.
- Chi, A. et al. (2015). Immunomodulating and antioxidant effects of polysaccharide conjugates from the fruits of Ziziphus Jujube on Chronic Fatigue Syndrome rats. Carbohydrate polymers.
- Stewart D. E. (2004). Venlafaxine and sour date nut. The American journal of psychiatry.