Buah berangan atau nama Inggerisnya chestnut adalah sejenis kacang yang banyak dimakan di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Adalah menjadi satu kelebihan sekiranya kita mengetahui khasiat buah berangan ini. Oleh itu, artikel ini akan menyenaraikan beberapa khasiat buah berangan berdasarkan sokongan kajian-kajian.
Sedikit pengenalan mengenai buah berangan, terdapat beberapa jenis buah berangan yang dikenali dengan nama Chinese chesnut, Japanese chestnut, Korean chestnut, American chestnut dan European chestnut.
Secara saintifiknya buah berangan dikenali dengan nama Castanea sp. Kebanyakan spesies buah berangan ini berasal dari benua Hemisfera Utara. Pada tahun 2005, negara China menjadi pengeluar terbesar buah berangan dengan jumlah penghasilan sebanyak 825 000 juta tan iaitu 73% daripada penghasilan dunia.
Di Malaysia, buah berangan turut ditanam secara perladangan iaitu di negeri Terengganu yang meliputi tanah seluas 3.5 hektar. Pada tahun 2019, jumlah pengeluaran yang dicatatkan adalah sebanyak 34 juta tan. [1]
Buah berangan telah berabad lamanya menjadi sumber makanan terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman Eropah. Buah berangan biasanya dimakan mentah, dimasak, dipanggang (disangai) atau digoreng.
Dalam aspek kesihatan pula, terdapat beberapa khasiat yang boleh diperolehi daripada buah berangan ini. Antaranya adalah:
1. Padat dengan Nutrien Berkhasiat
Bagi 100 gram buah berangan China mentah, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [2, 3]
- Kalori/Tenaga: 224 kcal
- Protein: 4.2 gram
- Lemak: 1.1 gram
- Karbohidrat: 49.1gram
- Serat: 0.8 gram
- Kalsium: 18 miligram
- Zat besi: 1.4 miligram
- Magnesium: 84 miligram
- Fosforus: 96 miligram
- Kalium: 447 miligram
- Zink: 0.9 miligram
- Tembaga: 0.4 miligram
- Mangan: 1.6 miligram
- Vitamin C: 36 miligram
- Vitamin B3: 0.8 miligram
- Folat: 68 mikrogram
Selain itu, buah berangan turut mengandungi sedikit vitamin B1, B2, B5 dan B6.
Profil nutrien ini menunjukkan buah berangan agak tinggi dengan kandungan:
- Zat besi (membekalkan 10% daripada saranan pengambilan harian)
- Kalium (membekalkan 10% daripada saranan pengambilan harian)
- Mangan (membekalkan 70% daripada saranan pengambilan harian)
- Zink (membekalkan 14% daripada saranan pengambilan harian)
- Tembaga (membekalkan 44% daripada saranan pengambilan harian)
- Vitamin C (membekalkan 51% daripada saranan pengambilan harian)
- Folat (membekalkan 17% daripada saranan pengambilan harian)
2. Kaya dengan Antioksidan
Buah berangan juga kaya dengan pelbagai antioksidan yang penting untuk kesihatan badan.
Antara antioksidan yang terkandung dalam buah berangan adalah:
- Vitamin C
- Asid galik
- Asid elagik
- Tanin
- Polifenol
- Lutein (terdapat dalam European chestnut)
- Zeaxantin (terdapat dalam European chestnut)
Antioksidan adalah sebatian penting yang membantu meneutralkan atau melawan radikal bebas daripada merosakkan sel-sel badan.
Sekiranya jumlah radikal bebas ini melebihi antioksidan, maka ia akan menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini akan meningkatkan risiko kepada penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser, diabetes atau hipertensi.
3. Baik untuk Kesihatan Jantung
Buah berangan berkhasiat kepada kesihatan jantung.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan antioksidannya yang boleh melindungi jantung daripada tekanan oksidatif. Asid elagik dan tanin didapati mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan jantung. [4]
Selain itu, kandungan kalium dalam buah berangan turut bermanfaat kepada kesihatan jantung kerana mineral ini boleh membantu mengawal tekanan darah dan denyutan jantung.
4. Berpotensi Mengawal Gula Darah
Buah berangan juga dilihat berpotensi dalam membantu mengawal paras gula dalam darah.
Ini berdasarkan kajian-kajian yang menunjukkan bahawa antioksidan seperti asid galik dan asid elagik boleh membantu mengawal paras gula darah dan boleh menambah baik kepekaan insulin. [5, 6]
Walau bagaimanapun, kandungan karbohidrat yang tinggi bagi buah berangan ini perlu diambil perhatian. Elakkan pengambilan yang banyak dan kerap.
5. Baik untuk Penghadaman
Buah berangan juga baik untuk penghadaman. Khasiat ini disumbang oleh kandungan seratnya yang boleh menyokong bakteria baik dalam usus.
Perubahan terhadap bilangan bakteria baik dalam usus boleh mendatangkan gangguan terhadap fungsi usus yang seterusnya menyebabkan gangguan kesihatan seperti sembelit, sakit perut, kembung perut dan lain-lain lagi.
Kajian makmal mendapati ekstrak buah berangan mempunyai kesan prebiotik terhadap bakteria jenis lactobacilli. Prebiotik adalah makanan yang terdiri daripada serat dan kanji yang menjadi makanan kepada komuniti bakteria baik dalam usus. [7]
6. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Kandungan serat diet dalam buah berangan juga boleh membuatkan anda kenyang lebih lama. Serat diet boleh memperlahankan masa untuk makanan dikosongkan dari perut ke usus.
Kajian juga turut menunjukkan bahawa pengambilan serat diet yang tinggi boleh meningkatkan hormon yang membantu mengekang selera makan dan mengurangkan hormon yang menyebabkan rasa lapar. [8, 9]
Menariknya, kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan buah berangan boleh mengurangkan paras kolesterol dan lemak diperut. [10]
Namun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk melihat potensi buah berangan ini.
7. Bersifat Antiradang
Buah berangan juga bersifat antiradang. Ini bermakna buah berangan boleh mencegah atau mengurangkan keradangan.
Keradangan yang berpanjangan (kronik) boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan lain-lain lagi.
Kandungan antioksidan dalam buah berangan turut menyumbang kepada khasiat ini. Vitamin C, asid elagik, asid galik dan polifenol turut boleh membantu mengurangkan keradangan.
Terdapat kajian yang mendapati ekstrak buah berangan menunjukkan aktiviti-aktiviti antiradang dengan melemahkan tindak balas kimia keradangan. [11]
8. Berpotensi Melawan Kanser
Buah berangan juga dilihat berpotensi dalam melawan kanser.
Kajian-kajian tabung uji mendapati ekstrak buah berangan boleh menrencatkan pertumbuhan dan pemerebakan sel-sel kanser seperti kanser usus, kanser payudara, dan kanser prostat. [12, 13, 14]
Tambahan daripada itu juga, asid elagik yang terkandung dalam buah berangan juga turut mempunyai ciri-ciri antikanser. [15]
9. Makanan Alternatif Kepada Pesakit Seliak
Penyakit seliak adalah penyakit autoimun yang menyebabkan penghidapnya tidak boleh makan makanan yang mengandungi gluten kerana ia akan menyebabkan kerosakan terhadap usus kecil.
Penyakit seliak boleh membawa kepada masalah malserapan akibat kekurangan vitamin dan mineral tertentu.
Buah berangan dilihat sebagai salah satu makanan alternatif kepada pesakit seliak. Hal ini kerana buah berangan tidak mengandungi gluten. Maka, pelbagai produk baru boleh dihasilkan daripada buah berangan ini.
Selain itu, kandungan vitamin dan mineral yang terkandung dalam buah ini boleh membantu mengatasi masalah malserapan yang berlaku dalam kalangan pesakit seliak.
10. Baik untuk Kesihatan Mata
Buah berangan juga berkhasiat untuk kesihatan mata.
Khasiat buah berangan ini disumbang oleh kandungan sebatian antioksidannya iaitu lutein dan zeaxantin.
Sebatian lutein dan zeaxantin dilaporkan boleh melindungi mata daripada pelbagai penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia, katarak berkaitan usia, penyakit kognitif, retinopati, kerosakan retina akibat cahaya, retinitis pigmentosa dan lain-lain lagi. [16]
Walau bagaimanapun, kandungan lutein dan zeaxantin tidak didapati dalam buah berangan China dan Jepun.
Rumusan
Buah berangan adalah salah satu daripada beberapa jenis kekacang yang banyak di makan oleh manusia di seluruh dunia.
Buah berangan adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin dan mineral penting seperti vitamin C, vitamin B, mangan, zat besi dan lain-lain.
Selain itu,buah berangan juga boleh membantu melawan keradangan, mengawal paras gula darah, meningkatkan kesihatan jantung, membantu penghadaman, membantu mengurangkan berat badan dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Statistik Tanaman Buah-buahan Malaysia 2019. Jabatan Pertanian Malaysia.
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Malaysian Food Composition Database. 1997 FCD. https://myfcd.moh.gov.my/
- Larrosa, M. et al. (2010). Ellagitannins, ellagic acid and vascular health. Molecular aspects of medicine.
- Amin, M. M., & Arbid, M. S. (2017). Estimation of ellagic acid and/or repaglinide effects on insulin signaling, oxidative stress, and inflammatory mediators of liver, pancreas, adipose tissue, and brain in insulin resistant/type 2 diabetic rats. Applied physiology, nutrition, and metabolism.
- Doan, K. V. et al. (2015). Gallic acid regulates body weight and glucose homeostasis through AMPK activation. Endocrinology.
- Blaiotta, G. et al. (2013). Effect of chestnut extract and chestnut fiber on viability of potential probiotic Lactobacillus strains under gastrointestinal tract conditions. Food microbiology.
- Reimer, R. A. et al. (2010). Increased plasma PYY levels following supplementation with the functional fiber PolyGlycopleX in healthy adults. European journal of clinical nutrition.
- St-Pierre, D. H. et al. (2009). Fiber intake predicts ghrelin levels in overweight and obese postmenopausal women. European journal of endocrinology.
- Rodrigues, P. et al. (2020). Dietary Supplementation with Chestnut (Castanea sativa) Reduces Abdominal Adiposity in FVB/n Mice: A Preliminary Study. Biomedicines.
- Lim, Y. et al. (2018). Anti-inflammatory effects of a methanolic extract of Castanea seguinii Dode in LPS-induced RAW264.7 macrophage cells. International journal of molecular medicine.
- Zhang, L. et al. (2014). Extracts and compounds with anti-diabetic complications and anti-cancer activity from Castanea mollissina Blume (Chinese chestnut). BMC complementary and alternative medicine.
- Pérez, A. J. et al. (2017). Cytotoxic triterpenoids isolated from sweet chestnut heartwood (Castanea sativa) and their health benefits implication. Food and chemical toxicology.
- Nascimento-Gonçalves, E. et al. (2021). The influence of Castanea sativa Mill. flower extract on hormonally and chemically induced prostate cancer in a rat model. Food & function.
- Ceci, C. et al. (2018). Experimental Evidence of the Antitumor, Antimetastatic and Antiangiogenic Activity of Ellagic Acid. Nutrients.
- Jia, Y. P. et al. (2017). The Pharmacological Effects of Lutein and Zeaxanthin on Visual Disorders and Cognition Diseases. Molecules.