Buah abiu adalah buah tropika dari hutan Amazon yang meliputi negara Peru, Venezuela, Brazil dan Colombia. Khasiat buah abiu atau buah abiu ini sendiri mungkin tidak diketahui ramai kerana buah abiu ini tidak dikomersialkan secara besar-besaran.
Buah abiu atau nama saintifiknya Pouteria caimito adalah daripada keluarga Sapotaceae iaitu satu keluarga dengan buah ciku. Buah abiu turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti abio, abieiro, caimito amarillo, caimo, madura verde dan luma (Bahasa Sepanyol).
Buah abiu lazimnya di makan secara segar atau dibuat jus, ais krim dan jeli.
Dari segi perubatannya, buah abiu digunakan dalam perubatan tradisional untuk melegakan kesakitan pada badan dan membantu penyembuhan luka. Isi buah abiu ini turut dimakan untuk melegakan batuk, bronkitis atau masalah lain berkaitan sistem pernafasan. Getahnya pula digunakan untuk membuang cacing parasit dalam usus dan julap.
Berikut adalah beberapa khasiat buah abiu yang bermanfaat untuk kesihatan anda.
1. Mengandungi Nutrien Penting
Seperti buah-buahan yang lain, buah abiu turut boleh membekalkan pelbagai nutrien penting kepada pemakannya.
Bagi 100 gram buah abiu, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 95 kcal
- Protein: 1.8-2.1 gram
- Lemak: 0.4 gram
- Karbohidrat: 36.3 gram
- Serat: 0.9-3.0 gram
- Kalsium: 22-96 miligram
- Fosforus: 41-45 miligram
- Zat besi: 1.0-1.8 miligram
- Vitamin C: 49 miligram
- Vitamin A: 130 miligram
- Vitamin B1: 0.2 miligram
- Vitamin B2: 0.2 miligram
- Vitamin B3: 3.4 miligram
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh diperolehi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. Antioksidan ini berperanan melindungi badan manusia daripada radikal bebas.
Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan manusia yang sihat. Selain itu, ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas dalam badan boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik dan keradangan seperti penyakit jantung, diabetes, artritis, kanser dan lain-lain lagi.
Buah abiu boleh membekalkan antioksidan kepada pemakannya. Terdapat kajian yang melaporkan bahawa buah abiu mempunyai kandungan vitamin C, fenol dan kapasiti antioksidan yang lebih tinggi daripada buah jambu mawar. [2]
3. Boleh Menguatkan Sistem Imun
Selain itu, buah abiu juga berkhasiat dalam membantu menguatkan sistem imun badan.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan vitamin C dan vitamin A yang tinggi dalam buah ini.
Kekurangan vitamin C boleh menyebabkan imuniti yang lemah dan mendedahkan kepada jangkitan bakteria, virus atau kulat. Selain itu, pengambilan vitamin C juga boleh mencegah dan merawat jangkitan pada saluran pernafasan. [3]
Vitamin A juga turut terlibat dalam pembangunan sistem imun dan memainkan peranan dalam pengawalseliaan tindak balas sel-sel imun. Selain itu,vitamin A juga turut boleh merawat penyakit seperti malaria, campak dan cirit-birit dalam kalangan bayi. [4]
4. Boleh Mengawal Paras Gula Darah
Penyakit kencing manis atau diabetes adalah penyakit kronik yang paling kerap berlaku di seluruh dunia. Salah satu kaedah untuk merawat penyakit ini adalah melalui perencatan aktiviti-aktiviti α-amilase dan α-glukosidase bagi mengurangkan paras gula darah selepas makan.
Ekstrak daun abiu didapati mempunyai aktiviti pencegahan α-amilase dan α-glukosidase yang tinggi. Ini menunjukkan ekstrak daun abiu ini mempunyai potensi untuk digunakan dalam merawat diabetes. [5]
5. Boleh Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas normal badan manusia apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Walau bagaimanapun, sekiranya keradangan ini berlaku secara berpanjangan ia boleh menyebabkan penyakit-penyakit lain seperti artritis reumatoid, kanser, diabetes atau penyakit jantung.
Buah abiu juga dilihat mempunyai khasiat dalam membantu mengurangkan keradangan.
Kajian-kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan buah dan daun abiu boleh membantu mengurangkan keradangan melalui pengurangan sel-sel yang terlibat dalam proses keradangan. [6, 7]
6. Baik untuk Sistem Penghadaman
Selain itu, buah abiu juga baik untuk sistem penghadaman. Khasiat ini disumbang oleh kandungan serat larut dan serat tidak larutnya.
Bagi 100 gram buah abiu yang mengandungi 1.69 gram serat diet. Terdapat kira-kira 1.25 gram serat tidak larut dan 0.44 gram serat larut di dalamnya.
Serat tidak larut adalah serat yang tidak dapat dicernakan di dalam usus. Maka, ia akan disingkirkan semasa pembuangan air besar. Serat tidak larut akan menarik air ke dalam najis, menjadikannya lebih lembut dan mudah untuk disingkirkan.
Manakala, serat larut akan larut didalam air dan membentuk gel yang boleh membantu penghadaman dalam pelbagai cara. Serat larut juga boleh mengurangkan kolesterol dan gula dalam darah.
7. Baik untuk Kesihatan Tulang
Kandungan kalsium yang tinggi dalam buah abiu juga turut menunjukkan bahawa buah abiu baik untuk kesihatan tulang.
Kalsium adalah mineral yang diperlukan untuk tulang yang sihat dan kuat. Selain itu, kalsium turut membantu otot-otot untuk bergerak.
Pengambilan kalsium yang mencukupi boleh mencegah atau mengurangkan risiko daripada berlakunya osteoporosis (tulang rapuh) atau patah tulang.
Rumusan
Buah abiu adalah buah eksotik yang mempunyai pelbagai khasiat.
Kajian-kajian mengenai khasiat dan potensi sebenar buah ini masih terhad. Beberapa kajian dan maklumat nutrisi yang ada menunjukkan buah abiu mengandungi antioksidan, boleh menguatkan sistem imun, mengurangkan keradangan, menguatkan tulang dan berpotensi mengawal paras gula darah.
Di Malaysia, benih atau pokok abiu ini boleh didapati secara atas talian.
Rujukan
- Wu Leung, W.T. & Flores,M. (2013). Food composition table for use in Latin America. G.P.O dan Morton, J.F. & Dowling, C.F. (1987). Fruits of Warm Climates. Miami FL: J.F. Morton.
- de Assis, S. A. et al. (2009). Antioxidant activity, ascorbic acid and total phenol of exotic fruits occurring in Brazil. International journal of food sciences and nutrition.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Huang, Z. et al. (2018). Role of Vitamin A in the Immune System. Journal of clinical medicine.
- Souza, P. M. et al. (2012). Inhibitory activity of α-amylase and α-glucosidase by plant extracts from the Brazilian cerrado. Planta medica.
- Rosan Fortunato Seixas, F. et al. (2021). Physicochemical Properties and Effects of Fruit Pulps from the Amazon Biome on Physiological Parameters in Rats. Nutrients.
- Meira, N. A. et al. (2014). Anti-inflammatory and anti-hypersensitive effects of the crude extract, fractions and triterpenes obtained from Chrysophyllum cainito leaves in mice. Journal of ethnopharmacology.