Beri hitam (blackberry) adalah salah satu daripada beberapa spesies beri yang kaya dengan pelbagai khasiat. Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih mengenai khasiat beri hitam terhadap kesihatan anda.
Beri hitam atau nama saintifiknya Rubus ulmifolius adalah buah yang berasal dari Eropah dan Amerika Utara. Ia kemudiannya ditanam di banyak tempat di serata dunia.
Rekod arkeologi menunjukkan bahawa buah beri hitam telah dimakan oleh manusia sejak beribu tahun yang lalu. Buah ini boleh dimakan segar atau diproses dijadikan jem, teh, aiskrim, pencuci mulut dan produk bakeri.
Kadang-kadang, orang mudah keliru antara buah beri hitam dengan buah raspberi hitam kerana bentuk luarannya yang seakan-akan sama. Salah satu cara untuk membezakannya adalah apabila buah raspberi dipetik, batangnya akan kekal pada pokok dan menyebabkan buah ini kelihatan berlubang. Manakala, bagi buah beri hitam, apabila dipetik batangnya akan kekal bersama-sama buah tersebut.
Bagi anda yang ingin mengetahui khasiat beri hitam, berikut adalah khasiat dan kebaikan beri hitam untuk kesihatan manusia:
1. Padat dengan Vitamin C
Buah beri hitam padat dengan vitamin C. Secawan beri hitam segar mengandungi 30.2 miligram vitamin C iaitu bersamaan dengan 43% saranan pengambilan nutrien (RNI) bagi orang dewasa di Malaysia. [1]
Vitamin C adalah vitamin yang penting untuk pembentukan kolagen, menyembuhkan luka, menguatkan sistem imun badan, meningkatkan penyerapan zat besi dan bertindak sebagai antioksidan.
2. Tinggi dengan Antioksidan
Beri hitam juga turut tinggi dengan antioksidan. Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Beri hitam tinggi dengan antioksidan seperti antosianin, elagitanin, kuersetin, kaempferol, dan sianidin. Antioksidan-antioksidan ini menyumbang kepada kapasiti antioksidan yang tinggi bagi buah ini. [2]
Kapasiti antioksidan adalah salah satu cara untuk mengukur antioksidan atau sebatian aktif yang bermanfaat di dalam makanan.
3. Berpotensi Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Beri hitam juga didapati berkhasiat dalam membantu mengawal paras gula darah yang seterusnya mungkin bermanfaat kepada mereka yang menghidap diabetes atau penyakit kencing manis.
Khasiat beri hitam ini dilaporkan dalam satu kajian makmal yang mendedahkan bahawa beri hitam mempunyai aktiviti antidiabetes. [3]
Kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
4. Boleh Membantu Meningkatkan Fungsi Otak
Memakan buah beri seperti beri hitam boleh membantu meningkatkan kesihatan otak dan mencegah kehilangan memori (ingatan) yang disebabkan oleh penuaan berdasarkan satu kajian. [4]
Kajian tersebut menyimpulkan bahawa antioksidan dalam buah beri membantu melawan radikal bebas dan mengubah cara neuron otak berkomunikasi.
Ini boleh membantu mengurangkan keradangan otak, yang boleh menyebabkan masalah daya fikir dan motor yang biasa berlaku akibat penuaan.
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan antosianin iaitu antioksidan yang banyak dalam beri hitam boleh meningkatkan aliran darah ke otak dan mengaktifkan kawasan yang mengawal pertuturan, ingatan dan perhatian. [5]
Antosianin juga boleh meningkatkan pertuturan dan ingatan pada orang yang mengalami demensia ringan atau sederhana.
5. Baik untuk Kesihatan Gigi dan Gusi
Memakan beri hitam juga boleh mendatangkan manfaat kepada kesihatan mulut seperti gigi dan gusi.
Hal ini demikian kerana, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak beri hitam mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antiradang terhadap bakteria yang menyebabkan penyakit oral seperti periodontitis. [6]
6. Tinggi dengan Vitamin K
Beri hitam juga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin K. Vitamin K adalah vitamin yang penting untuk pembekuan darah yang perlu semasa penyembuhan luka.
Tambahan itu juga, pengambilan vitamin K yang mencukupi juga boleh membantu menguatkan tulang dan mencegah penyakit osteoporosis.
7. Baik untuk Penghadaman
Beri hitam juga turut tinggi dengan kandungan serat. Secawan beri hitam boleh membekalkan kira-kira 7.6 gram serat.
Pemakanan yang tinggi dengan serat boleh membantu anda:
- Mencegah sembelit
- Mengawal berat badan
- Mengurangkan kolesterol
- Mengawal paras gula darah
8. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Pemakanan beri hitam juga boleh membantu anda mengawal atau mengurangkan berat badan.
Khasiat beri hitam ini dilaporkan dalam satu kajian yang melibatkan 27 orang lelaki obes dan berat badan berlebihan yang diberikan diet tinggi lemak.
Kajian ini mendapati individu obes yang menerima 600 gram beri hitam sehari mengalami peningkatan pembakaran lemak dan kepekaan insulin berbanding mereka yang tidak memakan buah beri tersebut. [7]
9. Berpotensi Mencegah Kanser
Beri hitam juga dilihat berpotensi digunakan sebagai agen yang boleh mencegah kanser.
Kajian makmal mendapati ekstrak beri hitam boleh mencegah atau merencatkan pembiakan sel-sel kanser paru-paru dan mengurangkan pembentukan sel-sel normal kepada sel-sel kanser. [8]
Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan bahawa ekstrak beri hitam mempunyai ciri-ciri perencatan kanser yang bergantung kepada dos dalam kajian terhadap sel-sel kanser mulut, payudara, prostat dan usus besar manusia. [9]
10. Baik untuk Kesihatan Kardiovaskular
Buah beri hitam juga merupakan buah yang baik untuk kesihatan sistem kardiovaskular iaitu sistem yang melibatkan jantung dan salur darah.
Kandungan antosianin yang tinggi dalam beri hitam boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit kardiovaskular seperti aterosklerosis iaitu penyakit arteri apabila plak-plak terbentuk di dalamnya. [10]
Aterosklerosis boleh menyebabkan:
- Serangan jantung
- Strok
- Sakit dada
- Penyakit arteri periferal
- Penyakit buah pinggang
Rumusan
Beri hitam adalah salah satu buah beri yang kaya dengan pelbagai khasiat. Buah beri ini seharusnya menjadi sebahagian daripada diet harian anda.
Umumnya, pakar mencadangkan dua hidangan buah sehari. Setiap hidangan adalah secawan (144 gram) buah.
Buah beri hitam kaya dengan kandungan pelbagai nutrien seperti vitamin C, kalsium dan vitamin K. Selain itu, buah ini juga tinggi dengan antioksidan yang menyumbang kepada pelbagai khasiatnya.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Blackberries, raw.
- Kaume, L. et al. (2012). The blackberry fruit: a review on its composition and chemistry, metabolism and bioavailability, and health benefits. Journal of agricultural and food chemistry.
- Gowd, V. et al. (2018). Antioxidant and antidiabetic activity of blackberry after gastrointestinal digestion and human gut microbiota fermentation. Food chemistry.
- Miller, M. G., & Shukitt-Hale, B. (2012). Berry fruit enhances beneficial signaling in the brain. Journal of agricultural and food chemistry.
- Mattioli, R. et al. (2020). Anthocyanins: A Comprehensive Review of Their Chemical Properties and Health Effects on Cardiovascular and Neurodegenerative Diseases. Molecules.
- González, O. A. et al. (2013). Antibacterial effects of blackberry extract target periodontopathogens. Journal of periodontal research.
- Solverson, P. M. et al. (2018). Blackberry Feeding Increases Fat Oxidation and Improves Insulin Sensitivity in Overweight and Obese Males. Nutrients.
- Duthie S. J. (2007). Berry phytochemicals, genomic stability and cancer: evidence for chemoprotection at several stages in the carcinogenic process. Molecular nutrition & food research.
- Seeram, N. P. et al. (2006). Blackberry, black raspberry, blueberry, cranberry, red raspberry, and strawberry extracts inhibit growth and stimulate apoptosis of human cancer cells in vitro. Journal of agricultural and food chemistry.
- Mozos, I. et al. (2021). Effects of Anthocyanins on Vascular Health. Biomolecules.