Beras ungu (Oryza sativa L.) atau popular dengan panggilan beras ungu Korea adalah sejenis beras purba yang berasal dari Asia. Selari dengan warnanya yang istimewa, beras ungu juga turut menyimpan khasiat yang istimewa. Artikel ini akan merungkai khasiat-khasiat beras ungu yang bermanfaat untuk kesihatan pemakannya.
Industri hiburan Korea telah menjadikan beras ungu semakin mendapat perhatian. Menyelusuri sejarahnya, beras ungu atau turut dikenali sebagai beras hitam adalah beras yang pada asalnya dikhususkan kepada maharaja China sahaja kerana ia sukar untuk diperolehi dan warnanya yang menarik.
Walaupun ramai yang memanggilnya sebagai beras ungu Korea, tetapi beras ini sebenarnya berasal dari Jepun. Secara tradisionalnya, beras ungu ditanam di negara-negara Asia seperti China, Japan, Korea, Thailand, Laos, Vietnam, Indonesia, India, Sri Lanka, dan Nepal.
Beras ungu boleh didapati dalam dua jenis atau bentuk iaitu jenis beras panjang (beras jasmin) atau beras pulut (turut dipanggil beras pulut hitam oleh masyarakat tempatan).
Perubatan tradisional China menggunakan beras berpigmen seperti beras ungu untuk mencegah anemia dan meningkatkan kitaran darah, fungsi buah pinggang serta penglihatan. Bubur beras hitam atau ungu juga diberikan untuk membantu pemulihan tulang patah.
Kajian-kajian sains moden juga turut mencari khasiat-khasiat beras ungu berbanding beras yang lain. Antara khasiat atau kebaikan beras ungu adalah:
1. Tinggi dengan Kandungan Protein
Berbanding beras-beras yang lain, beras ungu adalah lebih tinggi dengan kandungan protein.
Bagi 100 gram beras ungu organik, terdapat 11 gram protein berbanding 9 gram bagi beras perang. [1, 2]
Selain itu, beras ungu juga kaya dengan serat dan zat besi iaitu mineral yang diperlukan untuk membawa oksigen ke seluruh bahagian badan.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Beras ungu turut tinggi dengan kandungan antioksidan. Salah satu daripadanya adalah daripada pigmen ungu yang dikenali sebagai antosianin.
Selain antosianin ini, kajian turut melaporkan bahawa beras ungu mengandungi lebih daripada 23 sebatian yang mempunyai ciri-ciri antioksidan seperti karotenoid dan flavanoid. [3]
Kajian lain turut menunjukkan bahawa beras ungu atau beras hitam mempunyai kapasiti dan aktiviti antioksidan tertinggi berbanding jenis-jenis beras yang lain. [4]
3. Baik untuk Kesihatan Mata
Khasiat beras ungu juga turut meliputi kesihatan mata. Hal ini demikian kerana beras ungu mengandungi sebatian lutein dan zeaxantin yang tinggi. [3]
Lutein dan zeaxantin adalah karotenoid yang didapati mempunyai banyak peranan terhadap kesihatan mata.
Kajian-kajian menyokong bahawa lutein dan zeaxantin boleh mencegah dan merawat penyakit mata seperti katarak, degenerasi makular berkaitan usia dan retinitis pigmentosa. [5]
Lutein dan zeaxantin juga didapati boleh membantu melindungi retina mata dengan menapis cahaya biru yang berbahaya dan bertindak sebagai antioksidan. [6]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Kandungan antosianin daripada beras ungu juga turut mempunyai potensi untuk mencegah kanser.
Kajian makmal melaporkan bahawa antosianin boleh merencatkan pertumbuhan dan membunuh sel-sel kanser usus besar. [7]
Terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan makanan yang kaya dengan antosianin boleh mengurangkan risiko kepada kanser usus besar. [8]
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Pemakanan beras ungu juga boleh membantu menurunkan paras kolesterol. Paras kolesterol yang tinggi dalam darah boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Satu kajian yang melibatkan 120 orang dewasa dengan paras kolesterol yang tinggi mendapati pengambilan 160mg antosianin sehari selama 12 minggu boleh menurunkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL) dengan ketara. [9]
Satu kajian terhadap arnab melaporkan bahawa pengambilan beras ungu (beras hitam) dalam diet yang tinggi dengan kolesterol boleh mengurangkan pembentukan plak dalam arteri. Keadaan ini boleh mengurangkan risiko kepada penyakit jantung. [10]
6. Berpotensi Merendahkan Paras Gula Darah
Pemakanan beras ungu juga berpotensi untuk membantu merendahkan paras gula darah.
Khasiat beras ungu ini dilaporkan dalam satu kajian terhadap haiwan yang menunjukkan pemakanan beras ungu (beras hitam) boleh membantu menurunkan paras gula darah bagi haiwan yang menghidap diabetes jenis 2. [11]
Kandungan likopena dalam beras ungu juga boleh menambah baik kawalan gula darah bagi pesakit diabetes jenis 2. Kajian menunjukkan pengambilan likopena yang tinggi oleh pesakit diabetes jenis 2 boleh menurunkan purata gula darah (HbA1c) dengan ketara. [12]
7. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Beras ungu juga boleh membantu anda yang ingin mengurangkan berat badan.
Kesan pengambilan beras ungu ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan 40 orang wanita yang mempunyai berat badan berlebihan.
Kajian selama 6 minggu ini mendapati wanita yang mengambil campuran beras ungu dan beras perang sebanyak 3 kali sehari bersama-sama dengan diet terhad kalori mengalami pengurangan berat badan dan lemak badan yang lebih banyak berbanding mereka yang memakan nasi putih. [13]
Rumusan
Beras ungu boleh dikatakan beras yang istimewa. Walaupun, ia lebih popular dengan nama panggilan beras ungu Korea, beras ini sebenarnya turut boleh didapati di negara-negara Asia yang lain.
Kajian-kajian sains moden turut mendapati beras ungu kaya dengan antioksidan, baik untuk kesihatan mata, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Sekiranya anda ingin mencuba beras ungu ini dan tidak dapat membelinya di kedai-kedai berhampiran. Anda boleh mendapatkannya secara atas talian seperti di shopee.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Organic Black Rice.
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Organic Brown Rice.
- Pereira-Caro, G. et al. (2013). Phytochemical profile of a Japanese black-purple rice. Food chemistry.
- Ghasemzadeh, A. et al. (2018). Phytochemical constituents, antioxidant activity, and antiproliferative properties of black, red, and brown rice bran. Chemistry Central journal.
- Ma, L., & Lin, X. M. (2010). Effects of lutein and zeaxanthin on aspects of eye health. Journal of the science of food and agriculture.
- Roberts, R. L. et al. (2009). Lutein and zeaxanthin in eye and skin health. Clinics in dermatology.
- Zhao, X. et al. (2019). The Prevention and Inhibition Effect of Anthocyanins on Colorectal Cancer. Current pharmaceutical design.
- Chang, H. et al. (2018). Dietary Flavonoids and the Risk of Colorectal Cancer: An Updated Meta-Analysis of Epidemiological Studies. Nutrients.
- Qin, Y. et al. (2009). Anthocyanin supplementation improves serum LDL- and HDL-cholesterol concentrations associated with the inhibition of cholesteryl ester transfer protein in dyslipidemic subjects. The American journal of clinical nutrition.
- Ling, W. H. et al. (2001). Red and black rice decrease atherosclerotic plaque formation and increase antioxidant status in rabbits. The Journal of nutrition.
- Kang, H. W. et al. (2017). Germinated Waxy Black Rice Ameliorates Hyperglycemia and Dyslipidemia in Streptozotocin-Induced Diabetic Rats. Biological & pharmaceutical bulletin.
- Leh, H. E. et al. (2021). The role of lycopene for the amelioration of glycaemic status and peripheral antioxidant capacity among the Type II diabetes mellitus patients: a case-control study. Annals of medicine.
- Kim, J. Y. et al. (2008). Meal replacement with mixed rice is more effective than white rice in weight control, while improving antioxidant enzyme activity in obese women. Nutrition research.