Siapa sangka bendi mempunyai banyak khasiat. Khasiat bendi merangkumi keseluruhan sayur ini termasuklah lendir dan bijinya. Ya, lendir bendi mempunyai nilai perubatan dan manfaatnya. Jadi, jangan geli dengan lendir bendi ini.
Sayur bendi ini banyak ditanam di Asia Tenggara dan Afrika. Dalam bahasa Inggeris, bendi dipanggil sebagai Okra atau “Lady’s Finger“. Nama saintifiknya ialah Abelmoschus Esculentus.
Bendi boleh didapati dalam dua warna iaitu merah dan hijau. Tetapi kebiasaannya, di Malaysia hanya bendi hijau boleh didapati di pasaran. Di samping itu, sayur ini juga mudah untuk ditanam.
Berikut ialah 6 nutrisi dan khasiat bendi untuk kesihatan berdasarkan kajian:
1. Kaya dengan nutrien-nutrien penting
Bendi adalah antara sayur yang tinggi serat dan rendah karbohirat dan kalori.
Bagi 100 gram bendi, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:
- Air: 90%
- Kalori: 33 kcal
- Protein: 1.93 gram
- Lemak: 0.19 gram
- Karbohidrat: 7.45 gram
- Serat: 3.2 gram
- Kalsium: 82 miligram
- Kalium: 299 miligram
- Folat: 60 mikrogram
- Kolina: 12.3 miligram
- Vitamin C: 23 miligram
- Vitamin A: 36 mikrogram
- Vitamin K: 31.3 mikrogram
- Vitamin B6: 0.22 miligram
Selain itu, bendi juga merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan zat besi, magnesium, fosforus, zink, tembaga, mangan, dan selenium.
2. Boleh Membantu Mengawal Gula Darah
Kandungan gula dalam darah yang tinggi menjerumus kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Mengekalkan kadar gula dalam darah yang sihat penting untuk kesihatan kita.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan pengambilan bendi dapat membantu menurunkan paras gula dalam darah. [1]
Kajian lain pula mendapati bendi juga boleh mengurangkan penyerapan gula dalam saluran pencernaan seterusnya dapat mengawal paras gula dalam darah. Maka, sayur ini sesuai untuk pesakit diabetes. [2]
Namun, bendi tidak harus dimakan bersama-sama ubat diabetes jenis metformin. [2]
3. Baik untuk Sistem Penghadaman
Bendi juga merupakan sayur yang tinggi dengan serat.
Serat diet amat penting bagi memastikan kesihatan sistem penghadaman dan mencegah berlakunya sembelit.
Pemakanan yang tinggi serat juga boleh mengurangkan risiko terkena kanser kolon. [3]
Sayur bendi ini juga mengandungi karbohidrat yang dikenali sebagai polisakarida yang boleh mencegah bakteria, Helicobacter pylori yang boleh menyebabkan gastrik dan ulser gastrik. [4, 5]
4. Bagus untuk Ibu Hamil
Folat (vitamin B9) ialah nutrien penting untuk ibu hamil.
Vitamin ini boleh membantu mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf terhadap bayi dalam kandungan.
100 gram bendi membekalkan 60 mikrogram folat kepada pemakannya iaitu kira-kira 10% RNI bagi ibu hamil.
Selain itu, kandungan kolina dalam bendi boleh membantu perkembangan otak bayi dalam kandungan.
Satu kajian semula melaporkan bahawa pengambilan kolina semasa kehamilan boleh membantu menambah baik perkembangan otak bayi (janin) dan memperbaiki tanda dan gejala awal yang mungkin terdedah kepada penyakit mental. [6]
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Bendi juga boleh dimanfaatkan untuk merendahkan paras kolesterol dalam badan.
Kolesterol yang tinggi juga dikaitkan dengan risiko penyakit jantung.
Bendi mempunyai lendir yang terdiri daripada polisakarida. Lendir ini boleh mengikat kolesterol semasa pencernaan seterusnya dikumuhkan bersama-sama dengan najis berbanding diserap ke dalam badan.
Kajian terhadap haiwan mendapati diet mengandungi bendi menyingkirkan lebih kolesterol dalam najis mereka dan mempunyai kadar kolesterol dalam darah yang lebih rendah berbanding kumpulan kawalan. [7]
6. Berpotensi Mencegah Kanser
Bendi juga mengandungi protein yang dipanggil lektin. Lektin dipercayai boleh mencegah tumbesaran sel-sel kanser.
Satu kajian tabung uji mendapati lektin dalam bendi boleh mencegah tumbesaran sel kanser payudara sehingga 63%. [8]
Selain itu, kajian terhadap sel-sel melanoma metastatik tikus mendapati ekstrak bendi boleh menyebabkan kematian sel-sel kanser tersebut. [9]
Rumusan
Selain mudah untuk dimasak dan dimakan, sayur bendi juga banyak khasiat untuk kesihatan kita.
Khasiat bendi merangkumi kesihatan ibu hamil, baik untuk penghidap diabetes, baik untuk sistem penghadaman dan lain-lain lagi.
Bendi boleh digoreng, direbus atau dicampurkan dalam masakan seperti kari dan asam pedas.
Rujukan
- Fan, S. et al. (2013). Okra polysaccharide improves metabolic disorders in high-fat diet-induced obese C57BL/6 mice. Molecular nutrition & food research.
- Khatun, H. et al. (2011). Water-soluble Fraction of Abelmoschus esculentus L Interacts with Glucose and Metformin Hydrochloride and Alters Their Absorption Kinetics after Coadministration in Rats. ISRN pharmaceutics.
- Dahm, C. C. et al. (2010). Dietary fiber and colorectal cancer risk: a nested case-control study using food diaries. Journal of the National Cancer Institute.
- Messing, J. et al. (2014). Antiadhesive properties of Abelmoschus esculentus (Okra) immature fruit extract against Helicobacter pylori adhesion. PloS one.
- Lengsfeld, C. et al. (2004). Glycosylated compounds from okra inhibit adhesion of Helicobacter pylori to human gastric mucosa. Journal of agricultural and food chemistry.
- Spoelstra, S. K. et al. (2023). Maternal choline supplementation during pregnancy to promote mental health in offspring. Early intervention in psychiatry.
- Wang, H. et al. (2014). Hypolipidemic activity of okra is mediated through inhibition of lipogenesis and upregulation of cholesterol degradation. Phytotherapy research.
- Monte, L. G. et al. (2014). Lectin of Abelmoschus esculentus (okra) promotes selective antitumor effects in human breast cancer cells. Biotechnology letters.
- Vayssade, M. et al. (2010). Antiproliferative and proapoptotic actions of okra pectin on B16F10 melanoma cells. Phytotherapy research.