Asparagus atau nama saintifiknya Asparagus officinalis adalah sayuran yang popular di banyak tempat di seluruh dunia. Selain rasanya, khasiat asparagus mungkin menjadikannya sebagai sayuran pilihan.
Terdapat kira-kira 300 spesies asparagus yang boleh didapati di seluruh dunia. Asparagus ini juga boleh didapati dalam pelbagai warna iaitu putih, hijau dan ungu. Sayur ini biasanya dimasak secara goreng kilas, dijadikan salad, sup, stew atau pasta.
Merungkai sejarahnya, tumbuhan ini telah ditanam sejak beribu tahun dahulu lagi oleh banyak ketamadunan purba termasuklah tamadun Mesir, Greek dan Romania. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Utara Eropah, Barat Laut Afrika dan Asia.

Kajian-kajian terhadap fitonutrien asparagus mendapati tumbuhan ini kaya dengan kandungan saponin, flavanoid dan fenolik.
Berikut adalah beberapa khasiat asparagus yang baik untuk kesihatan badan.
1. Rendah dengan Nilai Kalori dan Berzat
Asparagus adalah antara sayuran yang rendah dengan nilai kalori. 100 gram asparagus mentah hanya mengandungi 20 kcal sahaja.
Selain itu, asparagus juga mengandungi zat atau nutrien lain yang penting untuk badan seperti: [1]
- Protein: 2.2 gram
- Karbohidrat: 3.88 gram
- Serat: 2.1 gram
- Kalsium: 24 miligram
- Zat besi: 2.14 miligram
- Magnesium: 14 miligram
- Fosforus: 52 miligram
- Kalium: 202 miligram
- Zink: 0.54 miligram
- Selenium: 2.3 mikrogram
- Vitamin C: 5.6 miligram
- Folat: 52 mikrogram
- Vitamin A: 38 mikrogram
- Vitamin E: 1.13 miligram
- Vitamin K: 41.6 mikrogram
Disamping itu, asparagus turut mengandungi sedikit mineral tembaga, mangan dan vitamin B1, B2, B3 B5 dan B6.
Gabungan nilai kalori yang rendah, disertai dengan nilai serat yang tinggi serta mineral dan vitamin yang lain menjadikan asparagus sebagai makanan yang berkhasiat.
2. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh membantu melindungi sel-sel dalam badan daripada rosak akibat kesan berbahaya radikal bebas dan tekanan pengoksidaan.
Sekiranya tidak dikawal, tekanan pengoksidaan boleh menyebabkan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, diabetes, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Asparagus adalah salah satu sayur yang kaya dengan kandungan antioksidan. Selain vitamin C dan E, asparagus turut mengandungi pelbagai kandungan flavanoid dan polifenol.
Antioksidan seperti kuersetin, kaempferol dan isorhamnetin adalah antara sebatian antioksidan yang tinggi dalam asparagus. [2]
3. Membantu Mengawal Gula Darah
Asparagus didapati boleh membantu mengawal gula darah melalui penambahbaikan rembesan insulin dan meningkatkan fungsi sel-sel yang bertanggungjawab merembeskan insulin.
Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab untuk mengekalkan paras gula darah pada paras yang normal dengan memudahkan penggunaan glukosa oleh sel-sel badan.
Kajian terhadap haiwan yang mengalami penyakit kencing manis (diabetes jenis 2) mendapati ekstrak asparagus boleh membantu mengawal gula dalam darah melalui peningkatan rembesan insulin dan fungsi sel-sel yang bertanggungjawab untuk merembeskan insulin. [3]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk melihat kesan yang sama terhadap manusia.
4. Baik untuk Ibu Mengandung
Asparagus juga tinggi dengan kandungan folat (vitamin B9) yang penting untuk ibu mengandung.
Folat adalah nutrien yang penting untuk membentuk sel-sel darah merah dan untuk penghasilan DNA. Nutrien ini penting terutamanya ketika fasa awal kehamilan bagi memastikan bayi yang dikandung itu membesar dengan sihat.
Pengambilan makanan seperti asparagus ini baik untuk mengelakkan bayi yang dikandung mengalami kecacatan seperti kecacatan tiub saraf. [4]
Kecacatab tiub saraf ini adalah kecacatan terhadap otak, tulang belakang dan saraf tunjang.
5. Baik untuk Sistem Penghadaman
Asparagus juga turut berkhasiat untuk kesihatan sistem penghadaman.
100 gram asparagus boleh membekalkan kira-kira 2.1 gram serat iaitu 10% daripada cadangan pengambilan nutrien (RNI) Malaysia.
Asparagus secara khususnya tinggi dengan kandungan serat tidak larut (prebiotik) yang boleh menjadi makanan kepada koloni bakteria baik dalam usus. [5]
Selain itu, serat tidak larut ini juga boleh membantu memudahkan pembuangan air besar dan menambah saiz pada najis supaya mudah untuk dikumuhkan.
Serat juga boleh mencegah sembelit dan mengurangkan risiko seseorang itu terkena kanser usus. [6]
6. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah antara penyakit kronik yang paling banyak dihadapi oleh rakyat Malaysia. Hipertensi adalah faktor risiko utama yang menyumbang kepada strok dan penyakit jantung.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa meningkatkan pengambilan kalium dan mengurangkan pengambilan garam boleh menurunkan paras gula darah. [7]
Asparagus boleh membekalkan kira-kira 4.3% keperluan kalium bagi 100 gram sayur ini menurut cadangan pengambilan nutrien (RNI) bagi rakyat Malaysia.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan menunjukkan bahawa asparagus hijau boleh membantu mencegah tekanan darah tinggi (hipertensi) dengan merencatkan aktiviti enzim yang menyebabkan hipertensi. [8]
Kajian terhadap haiwan ini menunjukkan potensi asparagus untuk membantu menurunkan tekanan darah. Namun, kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan ini.
7. Membantu Menurunkan Berat Badan
Khasiat asparagus yang seterusnya adalah membantu menurunkan berat badan.
Ciri-ciri asparagus yang rendah dengan kalori dan tinggi dengan kandungan air menjadikan sayur ini sebagai pilihan makanan yang baik untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Terdapat kajian yang mengaitkan makanan yang rendah kalori dan tinggi kandungan air dengan penurunan berat badan. [9]
Satu kajian pengamatan yang melibatkan 80 orang peserta mendapati diet yang turut disertakan ekstrak asparagus boleh mengurangkan berat badan peserta yang mengambil ekstrak ini. [10]
Rumusan
Asparagus adalah antara sayur yang bernutrisi dan boleh menjadi sumber kepada antioksidan dalam pemakanan harian kita.
Asparagus ini rendah dengan nilai kalori dan kaya dengan pelbagai nutrien seperti folat, vitamin A, vitamin E dan vitamin K.
Tambahan lagi, khasiat asparagus turut boleh membantu mengawal paras gula darah, berkhasiat untuk ibu mengandung, baik untuk sistem penghadaman, membantu menurunkan tekanan darah dan membantu menurunkan berat badan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Fuentes-Alventosa, J. M. et al. (2008). Flavonoid profile of green asparagus genotypes. Journal of agricultural and food chemistry.
- Hafizur, R. M. et al. (2012). Asparagus officinalis extract controls blood glucose by improving insulin secretion and β-cell function in streptozotocin-induced type 2 diabetic rats. The British journal of nutrition.
- Czeizel, A. E. et al. (2013). Folate deficiency and folic acid supplementation: the prevention of neural-tube defects and congenital heart defects. Nutrients.
- Gibson G. R. (1998). Dietary modulation of the human gut microflora using prebiotics. The British journal of nutrition.
- Masrul, M., & Nindrea, R. D. (2019). Dietary Fibre Protective against Colorectal Cancer Patients in Asia: A Meta-Analysis. Open access Macedonian journal of medical sciences.
- McDonough, A. A. et al. (2017). Cardiovascular benefits associated with higher dietary K+ vs. lower dietary Na+: evidence from population and mechanistic studies. American journal of physiology. Endocrinology and metabolism.
- Sanae, M., & Yasuo, A. (2013). Green asparagus (Asparagus officinalis) prevented hypertension by an inhibitory effect on angiotensin-converting enzyme activity in the kidney of spontaneously hypertensive rats. Journal of agricultural and food chemistry.
- Stelmach-Mardas, M. et al. (2016). Link between Food Energy Density and Body Weight Changes in Obese Adults. Nutrients.
- Chrubasik, C. et al. (2008). An observational study and quantification of the actives in a supplement with Sambucus nigra and Asparagus officinalis used for weight reduction. Phytotherapy research.