Selain menambah rasa masam dalam masakan, adakah anda tahu bahawa terdapat pelbagai khasiat asam jawa yang lain yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan dan perawatan? Jika belum, ketahui khasiat-khasiat asam jawa untuk kesihatan yang disokong oleh kajian dalam artikel ini.
Asam jawa atau nama saintifiknya Tamarindus indica adalah tumbuhan daripada keluarga Fabaceae iaitu keluarga legum yang sama dengan kacang botor, kacang pea, kacang soya dan kacang tanah.
Pokok asam jawa dipercayai berasal dari negara-negara seperti Afrika, Asia dan Amerika Tengah. India dan Thailand adalah dua negara pengeluar terbesar asam jawa iaitu sekitar 140,000 hingga 300,000 ton setahun. Terdapat dua jenis asam jawa yang utama iaitu jenis masam dan jenis manis (dari Thailand).
Perubatan tradisional telah menggunakan pelbagai bahagian pokok asam jawa seperti biji, buah, daun, akar dan kulit pokok untuk merawat pelbagai penyakit. Asam jawa telah digunakan untuk merawat sembelit, masalah hati, masalah hempedu, keradangan, sakit tekak, jaundis, demam kuning, tonik darah dan pembersih kulit.
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Radikal bebas yang berlebihan dalam badan boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif dikaitkan dengan banyak penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser, diabetes dan lain-lain.
Asam jawa juga turut mengandungi antioksidan. Biji dan buah asam jawa didapati mengandungi sebatian flavonoid seperti proanthcyanidin, katekin, epikatekin, apigenin, procyanidin, luteolin dan naringenin. [1]
2. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Paras gula darah yang tinggi merupakan salah satu indikator penyakit kencing manis atau diabetes.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menghidap diabetes mendapati ekstrak biji asam jawa didapati mujarab dalam membantu menurunkan paras gula darah. [2]
Kajian lain turut mendapati serbuk biji asam jawa boleh membantu merendahkan paras gula darah dalam kalangan haiwan yang diberi makan diet yang mengandungi 4% biji asam jawa. [3]
3. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Selain itu, khasiat asam jawa juga boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Kebaikan ini ditunjukkan dalam kajian terhadap haiwan yang menunjukkan makanan yang mengandungi serbuk biji asam jawa sebanyak 4% dan 8% boleh menurunkan paras kolesterol. [3]
Kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes turut mendapati pengambilan ekstrak biji asam jawa boleh mengurangkan paras kolesterol total, kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan trigliserida (lemak dalam darah). [4]
4. Bersifat Antiradang dan Analgesik (Pelalian)
Keradangan adalah satu proses semula jadi badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan. Biarpun begitu, keradangan yang berpanjangan (kronik) akan mendatangkan masalah kepada badan.
Keradangan kronik dikaitkan dengan penyakit-penyakit seperti diabetes, kanser, asma, sakit sendi (artritis) dan lain-lain.
Analgesik pula adalah bahan yang dapat melalikan rasa sakit.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa beberapa bahagian pokok asam jawa seperti akar, daun, buah dan bijinya mempunyai ciri-ciri antiradang dan analgesik.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati buah asam jawa pada dos 60-600 mg/kg menunjukkan kesan pelalian (analgesik) antara 52% hingga 74%. [5]
Kajian lain pula mendapati ekstrak biji asam jawa mempunyai kesan antiradang terhadap haiwan yang mengalami artritis. Ekstrak biji asam jawa dilaporkan boleh mengurangkan keradangan dan mengurangkan degradasi rawan dan tulang akibat penyakit ini. [6]
5. Boleh Melindungi Hati
Alkohol, bahan kimia, alam sekitar, toksin biologi, ubat-ubatan tertentu dan banyak faktor lain mempunyai perkaitan dengan penyakit hati yang merupakan masalah kesihatan awam yang penting.
Satu kajian melaporkan bahawa ekstrak buah, daun dan biji asam jawa menunjukkan kesan perlindungan hati yang ketara terhadap haiwan yang yang disuntik dengan paracetamol. [7]
Pengambilan paracetamol yang terlebih dos dan dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan kerosakan hati akut.
6. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Buah asam jawa juga didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Khasiat buah asam jawa ini dibuktikan dalam satu kajian klinikal yang mendapati buah asam jawa boleh mengurangkan tekanan darah diastolik iaitu tekanan dalam arteri semasa relaksasi jantung. [8]
Kajian terkini yang melibatkan 20 pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti mendapati pengambilan buah asam jawa sebanyak 20 g sehari boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik. [9]
Walau bagaimanapun, kesan penurunan ini tidaklah ketara jika dibandingkan dengan kumpulan kawalan yang tidak mengambil buah asam jawa ini.
7. Boleh Membantu Merawat Demam
Kajian awal mendapati buah asam jawa mempunyai potensi dalam membantu merawat demam. Khasiat buah asam jawa ini disumbang oleh kandungan polisakarida iaitu karbohidrat di dalamnya. [10]
Meskipun begitu, kajian lanjutan masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
8. Boleh Dijadikan Sebagai Laksatif
Buah asam jawa juga digunakan secara tradisional sebagai laksatif. Laksatif ialah bahan yang boleh melawaskan pembuangan air besar.
Ciri-ciri laksatif ini dipercayai disumbang oleh kandungan asid malik, asid tartarik dan asid kalium yang tinggi dalam buah asam jawa ini.
9. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Kajian yang dijalankan terhadap ekstrak daun dan kulit pokok asam jawa mendapati ekstrak-ekstrak ini mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria Salmonella paratyphi, Bacillus subtilis dan Salmonella typhi. Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan. [11]
10. Boleh Digunakan Sebagai “Detox”
Buah dan daun asam jawa juga boleh digunakan untuk menyahtoksin atau detoksifikasi kandungan fluorida yang boleh dijumpai dalam air minuman atau makanan.
Fluorida boleh dijumpai dalam air minuman yang boleh menjadi toksik sekiranya kandungannya melebihi 1.0 mg/L.
Kajian mendapati ekstrak daripada daun asam jawa boleh memperbaiki kesan daripada ketoksikan fluorida melalui ciri-ciri antioksidan dan antiperoksidannya. [12]
Tambahan itu juga, ekstrak buah asam jawa juga didapati boleh mengurangkan kepekatan flourida dalam darah dan memperbaiki kerosakan buah pinggang dan hati akibat fluorida. [13]
Rumusan
Asam jawa mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan dan perawatan. Selain buah asam jawa, daun, akar atau kulit pokok asam jawa turut mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
Kajian-kajian turut menyokong khasiat asam jawa dalam menurunkan paras gula darah, kolesterol dan tekanan darah tinggi. Selain itu, asam jawa turut bersifat antiradang, analgesik, antibakteria dan laksatif.
Anda boleh memanfaatkan khasiat asam jawa ini dalam masakan, dibuat jus atau sos.
Rujukan
- Y. Sudjaroen. et al. (2005). Isolation and structure elucidation of phenolic antioxidants from Tamarind (Tamarindus indica L.) seeds and pericarp. Food and Chemical Toxicology.
- Maiti, R. et al. (2004). Antidiabetic effect of aqueous extract of seed of Tamarindus indica in streptozotocin-induced diabetic rats. Journal of ethnopharmacology.
- Uchenna, U. E. et al. (2018). Tamarindus indica seeds improve carbohydrate and lipid metabolism: An in vivo study. Journal of Ayurveda and integrative medicine.
- Maiti, R. et al. (2005). Attenuation of hyperglycemia and hyperlipidemia in streptozotocin-induced diabetic rats by aqueous extract of seed of Tamarindus indica. Biological & pharmaceutical bulletin.
- Khalid, S. et al. (2010). In vivo analgesic effect of aqueous extract of Tamarindus indica L. fruits. Medical principles and practice.
- Sundaram, M. S. et al. (2015). Tamarind Seed (Tamarindus indica) Extract Ameliorates Adjuvant-Induced Arthritis via Regulating the Mediators of Cartilage/Bone Degeneration, Inflammation and Oxidative Stress. Scientific reports.
- Pimple, B. P. et al. (2007). Protective effect of Tamarindus indica linn against paracetamol-induced hepatotoxicity in rats. Indian J Pharm Sci.
- Iftekhar, A. S. et al. (2006). Effect of Tamarindus indica fruits on blood pressure and lipid-profile in human model: an in vivo approach. Pakistan journal of pharmaceutical sciences.
- Asgary, S. et al. (2020). Evaluation on the Effects of Tamarindus Indica L. Fruit on Body Weight and Several Cardiometabolic Risk Factors in Obese and Overweight Adult Patients: A Randomized Controlled Clinical Trial. International journal of preventive medicine.
- Mradu Gupta. (2010). Pharmacological Properties and Traditional Therapeutic Uses of Important Indian Spices: A Review. International Journal of Food Properties.
- Doughari, J. H. (2006). Antimicrobial Activity of Tamarindus indica Linn. Tropical Journal of Pharmaceutical Research.
- Vasant, R.A. et al. (2012). Ameliorative effect of tamarind leaf on fluoride-induced metabolic alterations. Environ Health Prev Med.
- Ranjan, R. et al. (2009). Tamarindus indica L. and Moringa oleifera M. extract administration ameliorates fluoride toxicity in rabbits. Indian journal of experimental biology.