Bagi masyarakat di Malaysia, asam keping atau asam gelugur lebih sinonim digunakan untuk memasak. Sebenarnya, kegunaan dan khasiat asam gelugur tidak terhad di situ sahaja. Terdapat banyak lagi khasiat asam gelugur yang bermanfaat untuk kesihatan.
Bagi membantu anda mengenali dengan lebih lanjut akan khasiat asam gelugur, kami senaraikan khasiat-khasiatnya berserta sokongan kajian yang telah dijalankan.
Asam gelugur adalah panggilan tempatan kepada buah Garcinia atroviridis iaitu buah dalam keluarga yang sama dengan buah manggis. Asam keping pula merujuk kepada buah asam gelugur yang telah masak, dipotong nipis dan dijemur kering.
Pokok asam gelugur dikatakan berasal dari Semenanjung Malaysia, Singapura, Thailand, Myanmar dan India.
Di Malaysia, pucuk dan daun hijau muda yang lembut dimakan mentah sebagai ulam atau dimasak sebagai makanan masam. Pelbagai bahagian pokok asam gelugur mempunyai khasiat perubatan selain digunakan dalam produk makanan.
Dalam perubatan tradisional Asia Tenggara, asam gelugur digunakan sebagai ubat selepas bersalin untuk merawat batuk, iritasi pada tekak, sakit telinga, kelemumur dan sakit perut yang berkaitan dengan kehamilan.
Di Thailand, asam gelugur digunakan untuk melancarkan aliran darah, merawat batuk, melegakan sembelit dan bertindak sebagai ekspektoran (bahan yang memudahkan pengeluaran kahak atau mukus).
Selain itu, buah asam gelugur ini juga turut digunakan dalam losyen dengan cuka untuk disapu pada perut wanita selepas berpantang.
Para penyelidik juga turut mendapati asam gelugur mempunyai pelbagai khasiat lain yang dapat dibuktikan melalui kajian saintifik. Antaranya adalah:
1. Mengandungi Nutrien-nutrien Penting
Buah asam gelugur turut mengandungi nutrien-nutrien yang penting untuk kesihatan dan fungsi badan.
Bagi 100 gram asam gelugur terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 230 kcal
- Protein: 2.7 gram
- Karbohidrat: 51.9 gram
- Serat: 12.2 gram
- Kalsium: 85 miligram
- Zat besi: 6.9 miligram
- Fosforus: 38 miligram
- Kalium: 351 miligram
- Vitamin C: 3.6 miligram
- Vitamin B3: 0.4 miligram
- Vitamin A: 155 mikrogram
Profil nutrien ini menunjukkan bahawa buah asam gelugur tinggi dengan kandungan serat, zat besi dan vitamin A.
Sebagai contoh, vitamin A adalah vitamin yang penting untuk penglihatan yang normal, sistem imun, sistem reproduktif, pertumbuhan dan perkembangan.
Vitamin A juga diperlukan untuk membantu hati, jantung dan organ-organ lain untuk berfungsi dengan baik.
2. Tinggi dengan Kandungan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Diet yang tinggi dengan antioksidan telah didakwa memberi manfaat kepada kesihatan manusia.
Satu kajian menyeluruh yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia melaporkan bahawa bahagian-bahagian tumbuhan asam gelugur seperti buah, daun, kulit pokok dan tangkai mempunyai potensi antioksidan.
Kajian ini mendedahkan bahawa buah asam gelugur mempunyai antioksidan yang tinggi berbanding bahagian tumbuhan yang lain. [2]
3. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Spesies Garcinia banyak digunakan untuk mengurangkan berat badan kerana kesannya yang boleh meningkatkan pembakaran lemak dan meningkatkan rasa kenyang.
Di Eropah dan Amerika Syarikat, asam gelugur biasanya dijumpai dalam produk suplemen untuk mengurangkan berat badan.
Khasiat asam gelugur atau asam keping ini ditunjukkan dalam beberapa kajian.
Satu kajian selama 9 minggu yang dijalankan terhadap haiwan mendapati haiwan yang obes yang dirawat dengan asam gelugur hanya mengalami peningkatan berat badan yang sedikit dan profil lipid (lemak dan kolesterol) yang lebih baik. [3]
Satu kajian semula yang melibatkan 8 kajian melaporkan bahawa ekstrak asam gelugur yang mengandungi asid hidrosisitrik dan flavanoid mempunyai kesan antiobesiti dan boleh membantu mengurangkan berat badan. [4]
4. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Akar pokok asam gelugur juga turut mengandungi sebatian yang boleh membantu mencegah dan merawat kanser.
Sebatian fitokimia yang diekstrak dari akar pokok asam gelugur menunjukkan ciri-ciri antikanser. Sebatian atrovirisidone yang diekstrak dari akar pokok asam gelugur tersebut menunjukkan sifat sitotoksik terhadap sel-sel kanser serviks. [5]
Kajian lain turut mendapati sebatian-sebatian lain seperti atrovirisidone B, naringenin dan binaringenin mempunyai sifat sitotoksik terhadap sel-sel kanser payudara, paru-paru dan prostat. [6]
Sitotoksik adalah sifat agen yang menyekat dan membunuh pertumbuhan sel kanser dalam tubuh.
5. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah mekanisme pertahanan badan apabila berlakunya jangkitan atau kecederaan.
Walau bagaimanapun, keradangan jangka panjang boleh membawa kepada perkembangan penyakit yang berkaitan dengan keradangan kronik seperti kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes, artritis, kolitis dan sepsis.
Akar pokok asam gelugur juga turut mempunyai potensi antiradang. Ini bermakna asam gelugur ini boleh membantu mencegah dan mengurangkan tanda keradangan.
Kajian mendapati sebatian atrovirinone dalam akar pokok asam ini mempunyai ciri-ciri antiradang dengan merencatkan penghasilan perantara keradangan. [7]
6. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Selain itu, khasiat asam gelugur juga turut bermanfaat bagi membantu menurunkan paras kolesterol. Paras kolesterol yang tinggi dalam badan boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami sakit jantung atau strok.
Kajian terhadap haiwan oleh pengkaji dari Thailand mendapati ekstrak asam gelugur boleh menyebabkan penurunan yang ketara terhadap trigliserida, kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan kolesterol total.
Selain itu, paras kolesterol baik (kolesterol HDL) juga meningkat dengan ketara. [8]
7. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Asam gelugur juga turut bermanfaat untuk mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Ekstrak asam gelugur boleh membantu menurunkan paras gula darah. Ini berdasarkan kajian yang mendapati ekstrak asam gelugur boleh membantu menurunkan paras gula darah melalui perencatan enzim α-amilase dan α-glukosidase. [8]
Enzim α-amilase dan α-glukosidase adalah enzim yang bertanggungjawab mencernakan karbohidrat seterusnya meningkatkan paras gula darah selepas makan.
8. Bersifat Antibakteria dan Antikulat
Kajian juga mendapati buah asam gelugur turut bersifat antibakteria dan antikulat.
Satu kajian pada tahun 2021 ini mendapati ekstrak buah asam gelugur menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria E. coli, Streptococcus agalactiae, B. subtilis, S. intermedius, S. epidermidis dan S. aureus. [9]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan dan jangkitan dalam darah.
Selain itu, ekstrak buah asam gelugur juga didapati bersifat antikulat.
Kajian menunjukkan bahawa ekstrak buah asam gelugur mempunyai aktiviti antikulat terhadap kulat jenis Candida albicans dan Malassezia pachydermatis. [9]
Kulat-kulat ini boleh menyebabkan jangkitan yis pada faraj dan jangkitan pada kulit.
Rumusan
Asam gelugur atau asam keping adalah buah yang mempunyai banyak khasiat terutamanya dalam membantu mengurangkan berat badan. Ini menjadikan ia sesuai untuk mereka yang ingin kurus.
Khasiatnya yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol dan paras gula darah juga turut bermanfaat kepada anda yang ingin mengurangkan berat badan.
Selain itu, akar asam gelugur juga turut bersifat antiradang dan berpotensi untuk mencegah dan merawat kanser.
Meskipun begitu, kajian-kajian berterusan masih perlu dijalankan untuk merungkai lebih banyak khasiat atau kebaikan asam gelugur ini.
Rujukan
- MyFCD. Asam Gelugor, Pieces (Asam Gelugor Keping).
- Mackeen, M. M. et al. (2000). Antimicrobial, antioxidant, antitumour-promoting and cytotoxic activities of different plant part extracts of Garcinia atroviridis griff. ex T. anders. Journal of ethnopharmacology.
- Lim, W. F. et al. (2020). The methanolic extract of Garcinia atroviridis (MeGa) reduces body weight and food intake, and improves lipid profiles by altering the lipid metabolism: a rat model. Turkish journal of biology.
- MISRI, A. H. & MOHD SHUKRI, N. A. (2020). THE EFFECTS OF Garcinia atroviridis (ASAM GELUGUR) EXTRACTS ON BODY COMPOSITION IN RELATION TO WEIGHT MANAGEMENT: A SCOPING REVIEW. INTERNATIONAL JOURNAL OF ALLIED HEALTH SCIENCES.
- Permana, D. et al. (2001). Isolation and bioactivities of constitutents of the roots of Garcinia atroviridis. Journal of natural products.
- Permanaa, D. et al. (2005). Atrovirisidone B, a new prenylated depsidone with cytotoxic property from the roots of Garcinia atroviridis. Journal of biosciences.
- Israf, D. A. et al. (2010). Atrovirinone inhibits proinflammatory mediator synthesis through disruption of NF-kappaB nuclear translocation and MAPK phosphorylation in the murine monocytic macrophage RAW 264.7. Phytomedicine.
- KONGCHIAN, A. et al. (2020). Anti-Hyperlipidemia and Anti-obesity Properties of Garcinia atroviridis and Camellia sinensis Extracts in High-Fat Diet Mice. Walailak Journal of Science and Technology (WJST).
- Thongkram, E. et al. (2021). Antioxidant and Antimicrobial Properties of Ethanolic Extract of Asam Gelugor Fruit (Garcinia atroviridis). Burapha Secience Journal.