Kunyit adalah herba yang popular dan banyak digunakan terutamanya di Asia dan Asia Tenggara. Selain dimakan dalam bentuk rempah atau serbuk, kunyit juga dijadikan air atau teh yang turut mempunyai pelbagai khasiat.
Air kunyit boleh bertindak sebagai ‘detox’ semula jadi yang membantu badan anda menyingkirkan toksin dan melindungi badan daripada pelbagai penyakit.
Banyak kajian berkualiti tinggi menunjukkan bahawa kunyit mempunyai manfaat yang besar terhadap badan dan otak. Khasiat atau manfaat ini datang daripada bahan aktif utamanya iaitu kurkumin.

Kurkumin adalah bahan aktif utama dalam kunyit. Ia mempunyai kesan antiradang yang kuat dan merupakan antioksidan yang sangat kuat.
Kunyit hidup yang dikisar dan dijadikan air kunyit turut dipercayai mempunyai pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan.
Berikut adalah beberapa khasiat air kunyit yang bermanfaat kepada kesihatan sekiranya anda mengamalkannya.
1. Mengurangkan Sakit Sendi
Ciri-ciri antiradang kurkumin menjadikan air kunyit sangat membantu dalam mengurangkan gejala-gejala sakit sendi (artritis) seperti sakit sendi lutut.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 45 orang penghidap artritis reumatoid mendapati kurkumin lebih berkesan berbanding ubat antiradang. [1]
2. Meningkatkan Kapasiti Antioksidan Dalam Badan
Kerosakan oksidatif dipercayai menjadi salah satu mekanisme disebalik penuaan dan banyak penyakit lain. Ia melibatkan radikal bebas.
Sebab utama antioksidan sangat bermanfaat ialah ia melindungi tubuh anda daripada radikal bebas.
Kurkumin adalah antioksidan yang kuat dan boleh meneutralkan radikal bebas. Kesannya, ia boleh melindungi sel-sel badan yang sihat. [2]
3. Membantu Mencegah dan Merawat Kanser
Pengambilan air kunyit juga dipercayai boleh membantu melindungi anda daripada kanser.
Kurkumin yang terkandung dalam air kunyit dilaporkan bermanfaat dalam perawatan kanser dan didapati boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanser. [3]
Terdapat juga bukti yang menunjukkan kurkumin boleh mencegah kanser daripada berlaku terutamanya kanser dalam sistem penghadaman seperti kanser usus besar (kanser kolorektal). [3]
4. Mempunyai Ciri-ciri Antidiabetes
Perubatan tradisional telah lama menggunakan kunyit untuk merawat penyakit kencing manis atau diabetes.
Beberapa kajian yang dijalankan terhadap haiwan dan manusia mendapati pengambilan kurkumin menunjukkan ciri-ciri antidiabetes dengan menurunkan paras gula darah, rintangan insulin dan purata gula darah. [4]
5. Mencegah dan Merawat Penyakit Alzheimer
Penyakit Alzheimer adalah bentuk demensia yang paling biasa dan boleh menyumbang kepada sehingga 70% kes demensia.
Pengambilan minuman seperti air kunyit dipercayai boleh membantu mencegah dan merawat penyakit Alzheimer.
Khasiat atau kebaikan air kunyit ini dipercayai disumbang oleh kandungan kurkumin yang mempunyai ciri-ciri antiradang dan antioksidan.
Faktor-faktor seperti keradangan dan kerosakan oksidatif diketahui memainkan peranan penting dalam pembentukan penyakit Alzheimer dan kurkumin mempunyai kesan yang baik terhadap kedua-duanya. [5]
6. Melindungi Hati Daripada Rosak
Air kunyit juga berkhasiat dalam melindungi hati daripada rosak.
Kajian menunjukkan ekstrak kunyit dan kurkumin boleh melindungi hati daripada rosak akibat daripada toksin. [6]
7. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Meminum air kunyit mungkin boleh anda mengurangkan berat badan.
Ini berdasarkan satu analisis pada tahun 2019 yang mendapati kunyit boleh membantu mereka yang menghidap gangguan metabolik menurunkan indeks jisim badan (BMI), berat dan ukur lilit pinggang dengan ketara. [7]
Kajian ini juga turut mendapati pengambilan kunyit boleh menurunkan paras leptin iaitu hormon yang mengawal selia selera makan dan penyimpanan lemak di dalam badan.
Bahan yang Boleh Meningkatkan Keberkesanan atau Penyerapan Kunyit
Salah satu kekurangan kurkumin adalah mempunyai bioavailabiliti yang rendah. Ini bermakna badan mempunyai kesukaran untuk menyerapnya.
Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh mencampurkan sedikit lada hitam untuk dikisarkan bersama-sama kunyit hidup tersebut.
Lada hitam mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai piperina. Piperina ini boleh meningkatkan penyerapan kurkumin sehingga 2000%. [8]
Berapa Banyak Air Kunyit Boleh Diminum Sehari?
Tiada cadangan khusus mengenai jumlah air kunyit yang boleh diminum dalam sehari.
Tetapi anda boleh mengamalkan meminum suku cawan air kunyit setiap pagi dan malam. Amalkan dua kali seminggu.
Keburukan atau Kesan Sampingan Meminum Air Kunyit
Secara umumnya, air kunyit adalah selamat untuk diminum.
Walau bagaimanapun, dalam kes-kes terpencil, mengambil terlalu banyak air kunyit boleh menyebabkan gejala-gejala seperti cirit-birit, najis berwarna kuning, loya, ruam atau sakit kepala.
Rujukan
- Chandran, B., & Goel, A. (2012). A randomized, pilot study to assess the efficacy and safety of curcumin in patients with active rheumatoid arthritis. Phytotherapy research.
- Menon, V. P., & Sudheer, A. R. (2007). Antioxidant and anti-inflammatory properties of curcumin. Advances in experimental medicine and biology.
- Giordano, A., & Tommonaro, G. (2019). Curcumin and Cancer. Nutrients.
- Pivari, F. et al. (2019). Curcumin and Type 2 Diabetes Mellitus: Prevention and Treatment. Nutrients.
- Chen, M. et al. (2018). Use of curcumin in diagnosis, prevention, and treatment of Alzheimer’s disease. Neural regeneration research.
- Lee, H. Y. et al. (2016). Turmeric extract and its active compound, curcumin, protect against chronic CCl4-induced liver damage by enhancing antioxidation. BMC complementary and alternative medicine.
- Akbari, M. et al. (2019). The Effects of Curcumin on Weight Loss Among Patients With Metabolic Syndrome and Related Disorders: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. Frontiers in pharmacology.
- Shoba, G. et al. (1998). Influence of piperine on the pharmacokinetics of curcumin in animals and human volunteers. Planta medica.