Acai (disebut a-sai-i) ialah sejenis pokok palma yang boleh ditemui di Amerika Selatan. Buahnya dipanggil acai beri (acai berry) dan merupakan makanan unggul bagi penduduk setempat. Acai beri dipercayai mempunyai banyak khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan.
Justeru itu, artikel kali ini akan menyenaraikan beberapa khasiat acai beri yang disokong oleh kajian-kajian saintifik.
Buah acai beri mempunyai saiz sekitar 2.5 cm, berbentuk bulat dan berwarna ungu gelap dan mempunyai isi berwarna kuning. Buah ini dikatakan mempunyai rasa antara beri biru dan coklat tawar.
Pokok acai (Euterpe oleracea) berasal dari hutan Amazon dan buahnya selalu dijadi makanan sampingan bagi penduduk setempat.
Bagi membolehkan buah acai beri ini dimakan, ia akan direndam sehingga kulit luarnya lembut dan dihancurkan menjadi pes berwarna ungu gelap.
Buah acai beri yang segar biasanya mempunyai tempoh simpan yang singkat. Oleh itu, ia biasanya dieksport dalam bentuk puri buah yang beku, serbuk kering atau jus.
Buah acai beri juga kadangkala digunakan untuk menyedapkan produk makanan seperti yogurt, gula-gula, jem dan ais krim. Manakala beberapa barangan bukan makanan seperti krim badan turut mengandungi minyak acai.
Buah acai beri ini semakin popular dan mendapat tempat di seluruh dunia dan dikatakan mempunyai pelbagai khasiat kepada kesihatan.
Bagi membantu anda mengetahui dengan lebih lanjut mengenai khasiat acai beri, kami senaraikan beberapa khasiat acai beri berdasarkan sokongan kajian-kajian sains.
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Acai beri mempunyai profil nutrien yang agak unik kerana ia tinggi dengan lemak dan rendah dengan gula.
Bagi 100 gram puri acai beri, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 70 kcal
- Protein: 1.75 gram
- Lemak: 5.26 gram
- Karbohdirat: 5.26 gram
- Serat: 5.3 gram
- Kalsium: 35 miligram
- Zat besi: 0.63 miligram
- Kalium: 105 miligram
- Vitamin C: 84 miligram
- Vitamin A: 300 mikrogram
Menurut kajian daripada pengkaji dari Brazil, acai beri turut mengandungi mineral-mineral lain seperti magnesium, fosforus, mangan, zink dan tembaga. [2]
Buah acai beri dan minyak acai beri juga turut mengandungi vitamin E dalam bentuk α-tocopherol.
Selain itu, buah acai beri boleh dikatakan mengandungi protein yang berkualiti kerana mengandungi kesemua 9 asid amino perlu.
Asid amino perlu adalah asid amino yang perlu diambil melalui makanan kerana tidak dihasilkan oleh badan.
2. Tinggi dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser, sakti sendi atau Alzheimer.
Salah satu cara untuk mengukur antioksidan atau sebatian aktif yang bermanfaat di dalam makanan adalah melalui pengukuran kapasiti antioksidan.
Buah acai beri mempunyai kapasiti antioksidan yang tinggi dan salah satu penyumbang kepada aktiviti antioksidan buah ini adalah sebatian bioaktifnya iaitu antosianin. [3]
3. Boleh Membantu Mengurangkan Paras Kolesterol
Buah acai beri juga turut bermanfaat bagi membantu mengurangkan paras kolesterol. Paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung atau strok.
Kajian terhadap haiwan mendapati bahawa buah acai beri boleh membantu menambah baik paras kolesterol dengan mengurangkan kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [4]
Satu kajian lain yang dijalankan terhadap 10 orang dewasa yang mempunyai berat berlebihan pula mendapati pengambilan smoothies acai beri sebanyak 2 kali sehari selama sebulan berjaya menurunkan paras kolesterol total dan kolesterol jahat. [5]
4. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Buah acai beri juga turut berpotensi digunakan sebagai agen yang boleh mencegah dan merawat kanser.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa isi acai beri boleh mengurangkan kejadian kanser usus besar dan kanser pundi kencing. [6, 7]
Kandungan antioksidan seperti antosianin dalam buah acai beri ini juga turut menyumbang kepada ciri-ciri antikanser buah ini.
Satu analisis melaporkan bahawa antosianin mungkin memainkan peranan penting dalam mencegah kanser usus besar dan pengambilannya boleh mengurangkan risiko terhadap kanser ini. [8]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk mengetahui potensi sebenar buah acai beri ini dalam mencegah kanser.
5. Baik untuk Kesihatan Otak
Pemakanan buah acai beri ini juga dipercayai mempunyai kesan yang baik untuk kesihatan otak terutamanya yang melibatkan kemerosotan otak.
Kesan ini dapat dilihat dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Tikus yang diberikan isi acai beri. Buah acai beri ini didapati boleh membantu meningkatkan ingatan bagi tikus yang tua. [9]
Kajian terhadap manusia juga mendapati buah yang tinggi dengan antosianin seperti acai beri juga boleh menambah baik ingatan dalam kalangan golongan berusia. [10]
6. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Buah acai beri juga turut mempunyai kesan antihipertensi.
Khasiat buah acai beri ini ditunjukkan dalam satu kajian yang melibatkan 20 individu sihat. Pengambilan 500mg acai beri didapati boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dengan ketara. [11]
7. Boleh Membantu Mencegah Penyakit Melibatkan Keradangan
Buah acai beri juga didapati boleh membantu mencegah penyakit yang melibatkan keradangan.
Kesan ini dilaporkan dalam satu kajian makmal yang menunjukkan bahawa ekstrak acai beri mempunyai kesan antiradang terhadap sel-sel usus besar. Ini menjadikan acai beri berpotensi untuk mencegah penyakit keradangan yang melibatkan usus. [12]
8. Berpotensi Mengurangkan Penyakit Hati Berlemak
Terdapat juga kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mendapati buah acai beri boleh mengurangkan kesan kerosakan hati berlemak dan keradangan akibat daripada fruktosa.
Kajian selama 18 minggu tersebut mendapati acai beri boleh mengurangkan parameter-parameter yang menunjukkan kerosakan hati dan meningkatkan nisbah glutation iaitu sebatian yang bertanggungjawab membaiki tisu-tisu badan yang rosak. [13]
9. Boleh Membantu Penyembuhan Luka
Ekstrak air acai beri juga berpotensi menjadi agen penyembuhan luka.
Khasiat ini berdasarkan satu kajian makmal yang mendapati ekstrak air acai beri mempunyai kesan yang mujarab dalam menyembuhkan luka. [14]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
10. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Buah acai beri juga didapati bermanfaat kepada penghidap penyakit kencing manis atau golongan berisiko kerana boleh membantu menurunkan paras gula darah selepas makan.
Kajian yang melibatkan 10 individu dewasa yang mempunyai berat berlebihan mendapati pengambilan isi acai beri sebanyak 100 gram dua kali sehari selama 1 bulan boleh mengurangkan paras gula darah selepas makan. [5]
Rumusan
Acai beri adalah buah yang berasal dari hutan Amazon yang mempunyai khasiat yang menakjubkan.
Kandungan antioksidan yang tinggi menjadikan buah ini sangat berkhasiat. Kajian-kajian saintifik mendapati buah acai beri berkhasiat dalam membantu mengurangkan paras kolesterol, berpotensi mencegah kanser, baik untuk kesihatan otak dan lain-lain lagi.
Buah ini juga turut kaya dengan serat dan lemak sihat yang menjadikannya sebagai makanan yang menyihatkan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Acai Berry Puree.
- Morais, R. A. et al. (2022). Nutritional Composition and Bioactive Compounds of Native Brazilian Fruits of the Arecaceae Family and Its Potential Applications for Health Promotion. Nutrients.
- Lichtenthäler, R. et al. (2005). Total oxidant scavenging capacities of Euterpe oleracea Mart. (Açaí) fruits. International journal of food sciences and nutrition.
- de Souza, M. O. et al. (2010). Diet supplementation with acai (Euterpe oleracea Mart.) pulp improves biomarkers of oxidative stress and the serum lipid profile in rats. Nutrition.
- Udani, J. K. et al. (2011). Effects of Açai (Euterpe oleracea Mart.) berry preparation on metabolic parameters in a healthy overweight population: a pilot study. Nutrition journal.
- Choi, Y. J. et al. (2017). Açaí Berries Inhibit Colon Tumorigenesis in Azoxymethane/Dextran Sulfate Sodium-Treated Mice. Gut and liver.
- Fragoso, M. F. et al. (2012). Inhibition of mouse urinary bladder carcinogenesis by açai fruit (Euterpe oleraceae Martius) intake. Plant foods for human nutrition.
- Wang, X. et al. (2019). Anthocyanin Consumption and Risk of Colorectal Cancer: A Meta-Analysis of Observational Studies. Journal of the American College of Nutrition.
- Carey, A. N. et al. (2017). Dietary supplementation with the polyphenol-rich açaí pulps (Euterpe oleracea Mart. and Euterpe precatoria Mart.) improves cognition in aged rats and attenuates inflammatory signaling in BV-2 microglial cells. Nutritional neuroscience.
- Krikorian, R. et al. (2010). Blueberry supplementation improves memory in older adults. Journal of agricultural and food chemistry.
- Gale, A. M. et al. (2014). Hemodynamic and electrocardiographic effects of açaí berry in healthy volunteers: a randomized controlled trial. International journal of cardiology.
- Kim, K. J. et al. (2021). Acai berry extract as a regulator of intestinal inflammation pathways in a Caco-2 and RAW 264.7 co-culture model. Journal of food biochemistry.
- Carvalho, M. M. F. et al. (2018). Açai improves non-alcoholic fatty liver disease (NAFLD) induced by fructose. Nutricion hospitalaria.
- Kang, M. H. et al. (2017). Skin Wound Healing Effects and Action Mechanism of Acai Berry Water Extracts. Toxicological research.