Ketumbit atau dalam Bahasa Inggerisnya “stye” adalah bisul kecil yang terbentuk pada kelopak mata. Bisul kecil ini kelihatan seperti jerawat.
Dalam istilah perubatan, ketumbit dikenali sebagai hordeolum atau kalazion (chalazion). Hordeolum biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria pada akar bulu mata. Manakala, kalazion pula disebabkan oleh penakungan minyak akibat penyumbatan saluran kelenjar Meibom.
Kedua-dua keadaan ini menyebabkan bengkak, kesakitan dan kehadiran darah yang berlebihan pada kelopak mata.
Jenis-jenis Ketumbit
Secara umumnya, ketumbit boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:
- Hordeolum: Jangkitan bakteria pada akar (folikel) bulu mata dan kelenjar bersebelahan iaitu kelenjar Zeis atau Moll. Hordeolum boleh terjadi di bahagian luar atau dalam kelopak mata dikenali sebagai hordeolum luaran dan hordeolum dalaman.
- Kalazion: Halangan pada kelenjar Meibom yang menyebabkan penakungan minyak di dalam tisu-tisu lembut kelopak mata. Kalazion biasanya terbentuk disekitar kelenjar minyak ditengah kelopak mata.
Punca Ketumbit
Ketumbit (hordeolum) berlaku apabila folikel bulu mata dijangkiti oleh bakteria jenis Staphylococcus aureus.
Ketumbit (kalazion) pula berlaku akibat daripada kelenjar Meibom yang tersumbat dan tidak disebabkan oleh jangkitan bakteria.
Terdapat beberapa faktor risiko yang mendedahkan seseorang itu kepada ketumbit, antaranya adalah:
- Tidak menjaga kebersihan mata
- Memakai kanta lekap
- Menggunakan alat solek untuk mata yang telah tercemar atau lama
- Masalah kesihatan seperti diabetes, blefaritis, seborrheic dermatitis dan rosasea
Tanda-tanda atau Gejala
Hordeolum luaran boleh menyebabkan tanda-tanda atau gejala seperti:
- Tumbuh bisul kecil di bulu mata
- Bengkak
- Mata berair
- Sensitif terhadap cahaya
- Berasa seperti terdapat sesuatu di mata
Hordeolum dalaman (jarang berlaku) pula boleh menyebabkan tanda-tanda atau gejala berikut:
- Kesakitan
- Kemerahan
- Bengkak
- Keradangan
- Bengkak bernanah di bahagian dalam kelopak mata
- Kadang-kadang menyebabkan demam atau mengigil
Kalazion pula boleh menyebabkan tanda-tanda atau gejala berikut:
- Bengkak di kelopak mata
- Boleh menyebabkan penglihatan kabur
Rawatan Ketumbit
Kebanyakan ketumbit adalah kecil dan jarang menyebabkan gangguan yang teruk. Ia boleh dirawat di rumah dengan menuam dengan tuala suam beberapa kali sehari. Dalam beberapa hari ketumbit akan sembuh dengan sendirinya.
Sekiranya tidak sembuh selepas dituam, rawatan antibiotik dalam bentuk salap mata mungkin diperlukan. Dalam kes yang lebih teruk ketumbit boleh dirawat dengan pembedahan kecil. Bagi ketumbit luaran (hordeolum luaran), bulu mata yang terlibat perlu dicabut.
Ketumbit dalaman (hordeolum dalaman) mungkin memerlukan antibiotik dalam bentuk makan.
Komplikasi
Biasanya ketumbit akan sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan dalam beberapa hari.
Tetapi sesetengah individu mungkin mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian lain kelopak mata. Ia boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil preseptal cellulitis. Keadaan ini menyebabkan kesakitan dan bengkak pada kelopak mata.
Langkah-langkah Pencegahan
Individu yang mengalami jangkitan kecil pada bulu mata mudah untuk terkena ketumbit. Kumpulan ini perlu selalu membersihkan bulu mata mereka bagi mencegah ketumbit.
Cara-cara membersih kelopak mata:
- Letakkan sedikit air bersih ke dalam bekas kecil atau cawan
- Campurkan 5 titis syampu bayi dan kacau
- Celup putik kapas ke dalam campuran tadi
- Kesat bahagian kelopak mata yang mempunyai bulu mata secara lembut dengan putik kapas tersebut.
- Sekiranya kelopak mata terlalu kotor dan berkeruping, basahkan mata sebelum membersihkannya. Ini dapat membantu agar keruping menjadi lembut dan senang untuk dibersihkan.
- Lakukan pembersihan ini sebanyak 2-3 kali sehari
Rujukan
- Garrity, J. (2020). Chalazion and Hordeolum (Stye). MSD Manual.
- Bragg KJ, Le PH, Le JK. [Updated 2021 Aug 9]. Hordeolum. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Mohd Razali, K. et al. (2019). Ketumbit. MyHealth KKM. http://www.myhealth.gov.my/ketumbit/