Ketuat adalah ketumbuhan kecil pada kulit disebabkan oleh jangkitan virus jenis human papilomavirus (HPV). Ketuat ini boleh tumbuh di mana-mana bahagian anggota badan dan boleh merebak melalui sentuhan langsung.
Kanak-kanak lebih terdedah kerana mereka sering mendapat banyak luka. Namun, sesiapa sahaja boleh mendapat ketuat.
Orang yang mempunyai penyakit autoimun atau sistem imun yang lemah, termasuk orang tua, lebih terdedah kepada virus jenis HPV.

AfroBrazilian, CC BY-SA 3.0 melalui Wikimedia Commons
Jenis-jenis Ketuat
Terdapat 6 jenis ketuat yang utama yang berbeza-beza bergantung kepada bahagian badan yang terjejas. Antaranya adalah:
- Ketuat biasa: Biasanya tumbuh di kawasan jari tangan, jari kaki atau di lutut.
- Ketuat plantar: Tumbuh di tapak kaki. Berbeza dengan yang lain, ketuat plantar tumbuh ke dalam kulit bukannya ke luar.
- Ketuat flat: Biasanya tumbuh di muka, peha atau tangan.
- Ketuat filiform: Lazimnya tumbuh di sekitar mulut, hidung, di leher atau di bawah dagu.
- Ketuat genital: Tumbuh di bahagian kemaluan seperti faraj, zakar atau dubur.
- Ketuat periungual: Tumbuh di sekeliling atau dibawah kuku jari tangan atau kuku ibu jari kaki.
Ketuat turut juga dikenali dengan nama veruka.
Punca
Apabila virus HPV memasuki luka atau bukaan pada kulit, ia menyebabkan jangkitan kulit yang membentuk ketuat. Terlebih lebih 100 jenis HPV yang boleh menyebabkan ketuat.
Ketuat sangat mudah berjangkit dan boleh berjangkit melalui:
- Sentuhan langsung dengan ketuat
- Menyentuh obejk yang telah tercemar dengan virus seperti tuala, lantai bilik mandi atau pemegang pintu
- Hubungan kelamin
- Menggigit kuku
- Bercukur
Gejala atau Simptom
Ketuat mempunyai penampilan berbeza-beza bergantung kepada jenisnya. Ia boleh berbentuk:
- Seperti kubah
- Rata
- kasar
- Berwarna seperti kulit, hitam atau kelabu.
Rawatan
Ketuat selalunya akan hilang dengan sendirinya apabila sistem imun badan melawan virus tersebut.
Namun, sekiranya ketuat menyebabkan kesakitan atau menyebabkan rasa tidak selesa, pilihan rawatan yang boleh digunakan untuk menghilangkannya adalah:
- Asid salisilik: Ubat belian kaunter yang mengandungi asid salisilik boleh membantu menyingkirkan ketuat. Asid ini akan melarutkan ketuat satu lapisan pada satu masa. Anda perlu menggunakan ubat ini setiap hari untuk beberapa bulan.
- Pembekuan: Prosedur ini dipanggil krioterapi, doktor akan menggunakan nitrogen cecair untuk membekukan ketuat. Selepas beku, lepuh terbentuk. Akhirnya, lepuh dan ketuat akan mengelupas. Anda mungkin memerlukan beberapa rawatan.
- Rawatan laser: Rawatan ini menggunakan cahaya laser untuk memanaskan dan memusnahkan saluran darah kecil di dalam ketuat. Proses ini memotong bekalan darah, membunuh ketuat.
- Imunoterapi: Untuk ketuat degil yang tidak bertindak balas terhadap rawatan tradisional, imunoterapi membantu sistem imun anda melawan virus.
- Ubat sapuan: Kaedah ini menggunakan campuran cecair yang mengandungi bahan kimia (cantharidin). Lepuh terbentuk di bawah ketuat dan memotong bekalan darahnya.
Komplikasi
Kebanyakan ketuat hilang dengan sendirinya tanpa sebarang masalah. Kadang-kadang, ketuat boleh menyebabkan masalah atau komplikasi seperti:
- Jangkitan: Jangkitan boleh berlaku jika anda mengumpil atau memotong ketuat. Pecahan pada kulit membolehkan bakteria masuk.
- Kanser: HPV dan ketuat genital mempunyai perkaitan dengan beberapa jenis kanser seperti kanser serviks, kanser dubur dan kanser kerongkong.
- Kecacatan: Orang yang mempunyai sistem imun yang lemah mungkin mengalami gugusan ketuat yang tidak menarik pada tangan, muka dan badan.
- Kesakitan: Kebanyakan ketuat tidak menyakitkan. Tetapi ketuat plantar boleh tumbuh ke dalam kaki dan menyakitkan semasa berjalan.
Langkah-langkah Pencegahan
Ketuat mudah berjangkit. Ia boleh dicegah dari merebak melalui beberapa langkah pencegahan berikut:
- Jaga kebersihan diri yang baik
- Tidak berkongsi sarung tangan, tuala atau kasut dengan orang lain
- basuh dan keringkan tangan dengan kadar yang kerap
- Jangan berkaki ayam disekitar kolam renang
- Jangan menyentuh ketuat orang lain
- Elakkan mencukur di atas ketuat
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Warts. Cleveland Clinic