Ramai mengetahui akan ketagihan dadah, tetapi bagaimana pula dengan ketagihan gula? Walaupun ketagihan gula tidak menyalahi undang-undang tetapi ketagihan ini boleh membahayakan kesihatan termasuklah membunuh anda.
Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran gula tambahan dalam makanan atau minuman akan menyebabkan makanan tersebut bertambah sedap. Meskipun begitu, sekiranya diambil secara berlebihan, gula tambahan ini hanyalah membawa kesan buruk kepada kesihatan. Lebih buruk lagi ia menyebabkan ketagihan.
Justeru itu, artikel ini menerangkan kepada anda akan tanda-tanda dan cara menghilangkan atau mengatasi ketagihan gula.
Apa itu Ketagihan Gula?
Istilah “ketagihan” dalam perubatan untuk menerangkan situasi tragis di mana kimia otak seseorang telah diubah untuk memaksa mereka mengulangi sesuatu bahan atau aktiviti walaupun terdapat akibat yang berbahaya.
Memakan gula akan mengaktifkan sistem saraf yang sama seperti mana penyalahgunaan dadah. Pengambilan gula akan merembeskan hormon dopamin dan mengaktifkan reseptor opioid di dalam otak.
Dopamin ialah hormon yang dihasilkan di dalam otak. Ia bertindak sebagai “pusat ganjaran” yang membuatkan anda berasa seronok.
Pengaktifan reseptor opioid di dalam otak akan memberi kesan terhadap pusat ganjaran yang membawa kepada tingkah laku kompulsif (melakukan sesuatu tindakan secara berterusan dan berulang-ulang).
Otak anda juga melihat gula sebagai ganjaran, yang membuatkan anda terus menginginkannya. Jika anda sering makan gula pada kadar yang banyak, anda mengukuhkan ganjaran itu, keadaan ini boleh menyukarkan untuk menghentikan tabiat tersebut.
Tanda-tanda Ketagihan Gula
Beberapa tanda berikut menunjukkan bahawa anda ketagihan gula. Antaranya adalah:
1. Anda makan gula atau manisan walaupun tidak lapar
Walaupun anda telah kenyang atau baru selesai memakan satu hidangan yang besar. Anda tetap menginginkan makanan atau minuman manis.
Ini adalah salah satu tanda anda ketagihan gula.
2. Anda sentiasa mengidam makanan manis
Memakan banyak makanan bergula dan manis juga boleh menyebabkan anda sentiasa mengidam makanan atau minuman manis.
Hal ini disebabkan oleh peningkatan dan penurunan mendadak gula darah yang berlaku selepas anda makan makanan tersebut.
3. Anda menggunakan gula untuk melegakan diri anda
Setiap kali anda mempunyai masalah, tekanan (stres) atau putus cinta, anda akan mencari makanan yang manis bagi melegakan diri anda.
Keadaan ini juga menjadi tanda kepada ketagihan.
4. Anda cuba berhenti tetapi mengalami gejala sarak
Bagi anda yang mempunyai ketagihan gula, apabila anda cuba berhenti tabiat memakan makanan manis secara tiba-tiba, anda mungkin mengalami gejala sarak (withdrawal symptom).
Antara gejala-gejala tersebut termasuklah sakit kepala, berasa letih, mengidam, sakit otot, loya, kembung perut atau insomnia.
5. Anda mengetahui kesan buruk gula
Tanda-tanda ketagihan gula yang seterusnya adalah anda mengetahui bahawa memakan gula atau makanan ringan mempunyai kesan buruk, tetapi anda tetap memakannya.
6. Anda berusaha mendapatkan makanan manis
Tanda-tanda berikutnya adalah anda berusaha mendapatkan makanan manis walaupun pada lewat malam atau memerlukan anda memandu ke kedai.
7. Anda sentiasa memerlukan gula yang lebih untuk memuaskan hati
Seperti kebanyakan ketagihan, toleransi anda terhadap gula mungkin meningkat dari semasa ke semasa. Tanda ketagihan gula adalah anda memerlukan lebih banyak gula untuk memuaskan keinginan anda terhadap makanan manis atau gula.
8. Anda menyembunyikan tabiat anda
Sesetengah orang yang mengalami ketagihan gula mungkin menyedari bahawa mereka makan terlalu banyak gula. Sepatutnya mereka mencari cara untuk mengurangkannya, sebaliknya mereka menyembunyikannya.
Cara Menghilangkan Ketagihan Gula
Ketagihan gula boleh dihilangkan atau diatasi walaupun ia bukannya mudah. Komitmen dan disiplin boleh membantu anda bebas daripada ketagihan ini.
Beberapa strategi atau cara berikut boleh membantu anda menghilangkan ketagihan terhadap gula:
- Lakukan “detox” selama 10 hari: Berikan komitmen selama 10 hari untuk berhenti mengambil gula.
- Berhenti mengambil semua jenis gula: Berhenti memakan semua bentuk gula seperti gula putih, pemanis tiruan, tepung putih, MSG, makanan diproses atau makanan dibungkus.
- Berhenti minum minuman bergula atau manis: Berhenti meminum minuman manis atau bergula seperti teh,kopi, jus buah-buahan, atau minuman berkarbonat.
- Tambah protein dalam setiap hidangan anda: Telur, ayam, ikan, daging pejal atau kekacang adalah sumber protein yang baik yang boleh ditambahkan dalam hidangan harian anda.
- Makan sayur-sayuran tidak berkanji: Pilih sayur-sayuran tidak berkanji seperti brokoli, kubis, kubis bunga, kailan, sawi, kangkung atau cendawan.
- Makan lemak yang sihat: Anda boleh mendapatkan lemak yang sihat seperti Omega-3 daripada ikan berlemak, minyak zaitun atau avokado.
- Berhenti memakan makanan bergluten dan tenusu: Berhenti memakan makanan ini boleh membuatkan anda kembali bertenaga.
- Kawal tekanan (stres): Stres menyebabkan badan anda menghasilkan hormon kortisol. Hormon ini menyebabkan anda mengidam makanan manis atau bergula.
- Dapatkan tidur secukupnya: Tidur lewat pada waktu malam boleh menyebabkan anda cenderung untuk makan lebih banyak termasuklah makanan bergula.
Rujukan
- Holland,K. (2019). 10 Signs You Might Have a Sugar Addiction. TasteofHome
- Cleveland Clinic. (2020). Break Your Sugar Addiction in 10 Days.
- Avena, N. M. et al. (2008). Evidence for sugar addiction: behavioral and neurochemical effects of intermittent, excessive sugar intake. Neuroscience and biobehavioral reviews.
- Mysels, D. J., & Sullivan, M. A. (2010). The relationship between opioid and sugar intake: review of evidence and clinical applications. Journal of opioid management.