Setiap pengemar kopi sudah semestinya ingin menikmati kopi yang terbaik. Tetapi, terdapat kesilapan-kesilapan yang mungkin dilakukan semasa membru kopi yang boleh menjejaskan rasa kopi tersebut.
Mungkin anda tertanya-tanya kenapa kopi yang dijual di kafe atau kedai kopi lebih sedap daripada kopi yang anda bru. Sudah tentu ada sebab-sebabnya.
Lazimnya, kopi yang dijual di kafe atau kedai kopi dibru segar, biji kopinya juga baru dikisar, susunya baru dikukus dan mesin yang digunakan juga mahal dan berkualiti tinggi.
Anda mungkin tidak mampu menghasilkan kopi yang sempurna tanpa bantuan mesin yang mahal, tetapi anda boleh belajar beberapa perkara yang harus dielakkan untuk menghasilkan minuman kopi yang berkualiti.

Berikut adalah 10 kesilapan yang harus dielakkan semasa membru kopi.
1. Menggunakan Biji Kopi Lama
Kesilapan semasa membru kopi yang pertama adalah menggunakan biji kopi yang lama. Biji kopi yang terlalu lama boleh menjejaskan rasa kopi yang dibru.
Oleh itu, jika anda membeli biji kopi, pastikan hanya membeli untuk kegunaan kira-kira satu (1) hingga dua (2) minggu sahaja.
2. Peralatan Digunakan Kotor
Sila pasti semua bahagian mesin pembancuh kopi yang digunakan dibersihkan dengan baik. Pastikan tiada kesan tinggalan kopi atau sabun.
3. Menggunakan Kopi yang Telah Dihancurkan
Kopi yang telah dikisar atau telah dihancurkan lebih mudah untuk terdedah kepada pengoksidaan. Justeru itu, kisar biji kopi yang ingin digunakan paling hampir dengan waktu anda membru kopi tersebut untuk memastikan kesegarannya.
4. Menyejukkan Biji Kopi
Biji kopi tidak sesuai diletak dalam peti sejuk. Tidak kira sama ada ia dalam bentuk biji atau telah dikisar. Kopi boleh menyerap lembapan, bau dan rasa.
Sekiranya anda ingin menikmati kopi yang berkualiti, menyejukkan biji atau serbuk kopi bukanlah satu tindakan yang betul.
5. Tidak Menyimpan Biji Kopi dengan Betul
Kopi sangat sensitif terhadap udara, lembapan, haba dan cahaya.
Oleh itu, untuk mengekalkan kualiti dan mutu biji kopi tersebut, pastikan anda menyimpan biji kopi ini di dalam bekas yang kedap udara. Kemudian, simpan bekas tersebut di tempat yang tertutup pada suhu bilik.
6. Meninggalkan Serbuk Kopi Semalaman di dalam Mesin
Kesilapan semasa membru kopi yang seterusnya adalah meninggalkan serbuk kopi yang dibru semalaman di dalam mesin pembancuh kopi.
Apabila serbuk kopi ini dibiarkan semalam, serbuk ini terdedah kepada oksigen dan besar kemungkinan akan berasa seperti basi pada keesokkan paginya.
7. Menggunakan Saiz Pengisar yang Salah
Setiap kaedah bru memerlukan saiz kisaran yang berbeza-beza. Contohnya, French press memerlukan kisaran kasar dan bru titisan memerlukan kisaran yang sederhana.
Biji kopi yang dikisar terlalu halus selalunya berasa pahit, manakala jika dikisar terlalu kasar pula rasanya akan kurang kuat.
Kisar biji kopi anda mengikut manual mesin yang digunakan.
8. Nisbah Air kepada Kopi Tidak Tepat
Bagi setiap 177 mililiter kopi, anda memerlukan 2 sudu besar serbuk kopi.
Jika anda menggunakan lebih daripada 2 sudu besar, kopi anda akan terlebih pekat dan pahit, jika anda menggunakan kurang daripada 2 sudu besar, kopi anda akan lebih cair .
9. Suhu Air Tidak Tepat
Suhu air yang sesuai untuk bancuhan kopi anda adalah sekitar 93°C atau sebelum air tersebut mencapai takat didih iaitu sekitar 90°C hingga 95°C .
Jika air terlalu panas, kopi anda mungkin akan berasa pahit, hangus dan hilang rasanya. Manakala, jika suhu air terlalu rendah, kopi anda akan berasa nipis.
10. Air Tidak Bertapis
Air paip atau air tidak bertapis mengandungi mineral-mineral yang mungkin boleh mengubah rasa kopi anda. Gunakan air minuman bertapis untuk membancuh kopi anda.
Rujukan
- Killeen, B.L & Milan, J. (n.d.). 10 Mistakes You’re (Probably) Making While Brewing Coffee. EatingWell.
- National Coffee Association. How to Store Coffee