Adalah menjadi satu kewajipan ibu bapa dan penjaga untuk menjaga keselamatan kanak-kanak ketika di rumah. Walaupun rumah dianggap tempat yang selamat, terdapat beberapa perkara atau keadaan yang boleh menjadi bahaya kepada bayi dan kanak-kanak.
Kebanyakan kes-kes kecederaan dan kemalangan yang berlaku membabitkan kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah kerana usia berkenaan mereka masih belum mengenali erti bahaya.
Tambahan daripada itu juga, pada usia ini kanak-kanak ini didorong rasa ingin tahu yang tinggi. Atas dorongan ini, kanak-kanak tersebut boleh meletakkan diri mereka dalam bahaya.
Ibu bapa juga tidak harus mengambil mudah akan keselamatan kanak-kanak di dalam rumah kerana kemalangan luar jangka di dalam rumah adalah antara penyumbang kepada kematian utama kanak-kanak di seluruh dunia.
Sebagai satu panduan keselamatan, ibu bapa dan penjaga boleh mengambil langkah-langkah yang dinyatakan seperti berikut:
Panduan Keselamatan Kanak-kanak Dengan Alat Mainan
Sekiranya anda ingin membeli alat-alat mainan kepada anak anda, beberapa perkara yang harus diketahui dan dituruti adalah:
- Beli alat mainan yang bersesuaian dengan umur, minat dan kebolehan anak anda.
- Elakkan membeli mainan untuk kanak-kanak yang lebih tua daripada usia anak anda bagi mengelakkan bahaya.
- Tanggal dan buangkan pembalut mainan sebelum memberikannya kepada anak anda.
- Jangan biarkan mainan bersepah di atas lantai atau tangga. Latih anak anda untuk menyimpan mainan mereka di dalam bekas yang disediakan setiap kali habis bermain.
- Sediakan tempat simpanan alat mainan yang selamat.
- Semasa membuat pembelian, pilih alat mainan yang bukan toksik dan tidak mudah terbakar.
- Pastikan bahagian mata, bulu, butang, cat dan bahagian-bahagian lain tidak mudah tertanggal atau menggelupas.
- Elakkan mainan yang mempunyai ciri-ciri berikut:
- Bucu tajam
- Kemasan kasar
- Bertali melebihi 30 cm
- Mempunyai bahagian kecil yang boleh ditanggalkan berukuran kurang dari 5 cm
- Mempunyai tangkai atau pemegang yang panjang yang boleh dimasukkan ke dalam mulut atau mencucuk mata
- Diperbuatkan daripada bahan yang mudah pecah atau koyak
- Mempunyai bulu atau rambut panjang yang boleh menyebabkan alahan
- Mempunyai enjin atau kipas yang berputar
- Pastikan bateri alat mainan dipasang dengan betul dan jangan benarkan anak anda tidur bersama-sama mainan berbateri.
- Awasi anak anda ketika mereka bermain dan ajar mereka bagaimana bermain dengan selamat seperti tidak memukul satu sama lain atau tidak mencampakkan barang-barang).
- Periksa alat-alat permainan dengan kerap. Baiki atau buang mainan yang sudah rosak atau pecah.
Panduan Keselamatan Kanak-kanak Ketika Makan
Semasa makan pula, beberapa panduan keselamatan yang perlu dititikberatkan adalah:
- Bagi ibu menyusukan anak dinasihatkan untuk menjauhi minuman alkohol, merokok dan dadah.
- Jangan tinggalkan anak bersendirian dengan botol susu di dalam mulutnya kerana dia mungkin tercekik.
- Jangan benarkan anak tidur dengan botol susu dalam mulutnya.
- Bancuh susu baru setiap kali anak menyusu. Buang lebihan susu sekiranya bayi anda tidak dapat menghabiskan susu tersebut.
- Panaskan botol susu sebelum menggunakannya dengan meletakkannya di dalam bekas berisi air panas.
- Uji suhu susu dengan menitiskannya di bahagian dalam pergelangan tangan.
- Jangan memanaskan botol susu di dalam ketuhar gelombang mikro (microwave).
- Tidak digalakkan untuk anak anda menggunakan puting kerana boleh merosakkan barisan gigi.
- Jika bayi anda menggunakan puting, pastikan pelindung puting cukup besar dan tidak boleh dimasukkan ke dalam mulut bayi.
- Didik anak anda supaya duduk ketika makan. Kunyah dan telan makanan sebelum bercakap atau ketawa.
Panduan Keselamatan Kanak-kanak di Ruang Tamu
Setiap keluarga mempunyai saiz rumah yang berbeza dan begitu jugalah dengan saiz ruang tamu. Dalam aspek keselamatan kepada anak anda, beberapa panduan keselamatan yang boleh diamalkan adalah:
- Tutup dan kunci pintu utama ke luar rumah.
- Tutup dan kunci pintu ke arah tangga dan hadang tangga dengan pagar (pastikan pagar teguh dan tidak mudah roboh)
- Wayar telefon, televisyen, peranti WIFI atau alat-alat elektrik yang lain adalah berbahaya. Oleh itu, gunakan pita pelekat untuk memendekkan wayar tersebut atau menggunakan “wire casing” bagi melindungi wayar-wayar tersebut.
- Letakkan televisyen di atas permukaan yang kuat dan lekatkan televisyen di dinding dengan kukuh.
- Gunakan penghalang bucu di bahagian-bahagian perabot yang tajam seperti bucu meja, kerusi atau rak.
- Sekiranya rumah anda mempunyai pintu gelangsar (sliding door), tampalkan pelekat atau tampalan di bahagian kaca pintu tersebut searas mata anda anda supaya mereka tidak berlari menerusi pintu tersebut dengan sengaja.
- Elakkan daripada menggunakan perabot yang berkaca atau mempunyai permukaan kaca. Jika anda mempunyai meja kaca, salut bahagian kaca dengan plastik bagi mengelakkan kaca tersebut pecah dan melukai anak anda.
- Penuhkan laci dari bawah ke atas apabila anak anda mula memanjat bagi mengelakkan perabot dari terjatuh menimpa dan memerangkap anak anda.
- Gunakan permaidani atau tikar yang melekap ke lantai. Ini bagi mencegah anak anda tergelincir dan terjatuh apabila melalui atas permaidani atau tikar tersebut.
- Jangan tinggalkan dompet dan beg tangan di atas lantai. Isi kandungan dan talinya boleh membahayakan anak kecil anda.
Panduan Keselamatan Kanak-kanak di Bilik Tidur
Beberapa langkah-langkah keselamatan kanak-kanak yang perlu diambil oleh ibu bapa atau penjaga di bilik tidur adalah seperti berikut:
- Gunakan kunci keselamatan bagi menghalang kanak-kanak atau anak anda daripada terperangkap di dalam almari atau tersepit pintu almari.
- Rapatkan perabot yang bergoyang atau goyah ke dinding. Secara umumnya, perabot yang lebih tinggi daripada kelebarannya patut dirapatkan ke dinding.
- Susun katil bayi, katil anak anda atau perabot jauh daripada tingkap. Pasang jeriji tingkap supaya ia tidak boleh dibuka melebihi 10 cm.
- Sekiranya anda menggunakan katil dua tingkat, jangan benarkan kanak-kanak berusia kurang daripada 6 tahun tidur tingkat atas.
- Pastikan kedua-dua katil di tingkat atas dan bawah mempunyai penghadang di bahagian tepi dan hujung katil.
- Pastikan penghadang berukuran sekurang-kurangnya 12 cm dari atas tilam.
- Jangan benarkan kanak-kanak bermain di atas katil dua tingkat.
- Sentiasa tutup bakul sampah di dalam bilik tidur (jika ada). Jangan buang barangan seperti beg plastik, barang tajam dan kecil di dalam bakul sampah tersebut.
- Pasang alat pengesan asap.
- Pastikan ada jalan keluar jika berlaku kecemasan seperti kebakaran.
Panduan Keselamatan Kanak-kanak di Bilik Air
Tandas atau bilik air boleh menjadi satu tempat yang berbahaya kepada kanak-kanak kecil sekiranya tidak dipantau atau diambil langkah-langkah pencegahan.
Antara panduan yang boleh diambil oleh ibu bapa dan penjaga adalah:
- Pastikan pintu bilik air atau tandas sentiasa tertutup.
- Jangan benarkan anak anda pergi ke bilik air atau tandas secara bersendirian. Sentiasa pastikan anak ditemani orang dewasa.
- Jangan tinggalkan anak anda bersendirian di dalam besen mandi atau sebarang bekas berisi air. Kanak-kanak boleh lemas di dalam air yang cetek walaupun sedalam 5 cm.
- Apabila menyediakan mandian bayi, masukkan air sejuk dahulu diikuti air panas. Jangan tambah air semasa bayi berada di dalam besen mandian.
- Uji suhu mandian dengan siku anda. Suhu sepatutnya berasa suam dan selesa. Anda juga boleh menggunakan termometer tab mandian.
- Gunakan alas getah atau tuala sebagai alas di dalam besen mandian supaya bayi tidak tergelincir.
- Jangan letakkan peralatan elektrik berdekatan sinki, besen mandian atau mangkuk tandas.
- Letakkan besen dan baldi di tempat yang tidak boleh dicapai supaya anak tidak mengisikannya dengan air.
- Bekas berisi air seharusnya ditutup setiap waktu.
- Jangan tinggalkan anak anda apabila terdapat takungan air berdekatan termasuklah kolah air atau kolam kembung (inflatable pool).
- Pastikan juga lantai yang digunakan tidak licin.
Panduan Keselamatan Peralatan Elektrik Bagi Kanak-kanak
Perubahan zaman menyebabkan semakin banyak peralatan elektrik dan elektronik dicipta bagi memudahkan kehidupan.
Walau bagaimanapun, peralatan elektrik boleh menjadi punca kepada kemalangan di rumah dalam kalangan bayi atau kanak-kanak.
Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa dan penjaga harus mengambil langkah-langkah berikut:
- Menjauhkan peralatan elektrik daripada capaian kanak-kanak.
- Memendekkan dan mengemaskan wayar-wayar peralatan elektrik daripada capaian kanak-kanak.
- Memasang penutup soket elektrik bagi mengelakkan kanak-kanak memasukkan jari ke dalam soket berkenaan.
- Tidak mengecas telefon pintar atau laptop di lantai atau tempat yang rendah, yang boleh dicapai oleh kanak-kanak.
- Tidak membiarkan seterika panas yang baru digunakan di tempat yang rendah atau papan pengosok.
- Jauhkan kipas angin daripada katil bayi anda bagi mengelakkan bayi anda memasukkan jari ke dalam putaran kipas.
Rujukan
- Persatuan Pediatrik Malaysia. Panduan Pencegahan Kecederaan Kanak-kanka untuk Ibu Bapa di Malaysia.