Mungkin ramai yang rasa sayang untuk membuang roti yang hanya tumbuh sedikit kulat padanya. Dilema ini membuatkan sesetengah orang memakan bahagian bersih roti tersebut dengan hanya membuang bahagian berkulat sahaja. Namun, ramai tidak sedar bahawa tindakan tersebut membahayakan kesihatan mereka.
Artikel ini akan menjelaskan kepada anda kenapa anda perlu membuang roti yang berkulat, kenapa perlu turut membuang bahagian yang bersih dan risiko kesihatan yang boleh berlaku sekiranya memakan kulat-kulat tersebut.
Jenis Kulat yang Tumbuh Pada Roti
Kulat adalah kumpulan organisma parasit yang tidak mempunyai klorofil. Kulat ini boleh hidup dengan menyerap dan menguraikan nutrien daripada bahan yang ditumbuhi oleh kulat-kulat tersebut. Contohnya seperti roti.
Biasanya, anda boleh memerhatikan beberapa warna kulat yang tumbuh pada permukaan roti tersebut. Contohnya seperti hitam, kuning, putih, kelabu atau hijau. Warna-warna ini dihasilkan oleh koloni spora kulat tersebut dan turut bergantung kepada jenisnya.
Walau bagaimanapun, anda tidak boleh mengenal pasti jenis kulat hanya bergantung kepada warnanya sahaja kerana warna tersebut boleh berubah-ubah bergantung kepada keadaan persekitaran dan kitaran hidupnya.
Antara jenis-jenis kulat atau kulapok yang selalu tumbuh pada roti adalah Aspergillus, Penicillium, Fusarium, Mucor dan Rhizopus. Setiap jenis kulat ini mempunyai pecahan spesies yang lebih banyak. [1]
Kenapa Perlu Membuang Bahagian Bersih Roti Berkulat?
Ramai yang mungkin berasa sayang untuk membuang bahagian bersih roti yang tidak ditumbuhi kulat. Maka, mereka hanya membuang bahagian yang berkulat dan memakan bahagian yang bersih.
Namun, sebenarnya tindakan tersebut adalah SALAH.
Anda mungkin hanya melihat beberapa tompok kulat sahaja pada roti tersebut. Hakikatnya, akar kulat yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sebenarnya telah merebak ke bahagian-bahagian roti yang lain.
Risiko Kesihatan Akibat Memakan Roti Berkulat
Mungkin sesetengah orang menganggap kulat pada roti tidak berbahaya.
Sebenarnya, kulat-kulat yang tumbuh pada roti ini boleh menghasilkan racun atau toksin yang berbahaya yang dipanggil mikotoksin. [2]
Pengambilan mikotoksin yang banyak boleh menyebabkan masalah penghadaman serta penyakit yang lain.
Contohnya, kulat Aspergillus boleh menghasilkan mikotoksin yang dikenali sebagai aflatoksin. Sekiranya manusia terdedah kepada aflatoksin ini, ia boleh meningkatkan risiko kepada kanser hati. [2, 3]
Tambahan daripada itu juga, mikotoksin ini juga boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan usus anda dengan menyerang lapisan usus.[4]
Selain itu juga, elakkan daripada menghidu roti yang berkulat kerana anda mungkin akan menyedut spora daripada kulat tersebut.
Sekiranya anda mempunyai alahan terhadap kulapuk atau kulat, tindakan tersebut boleh menyebabkan masalah pernafasan termasuklah asma.
Bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah pula, menghidu roti yang ditumbuhi kulat Rhizopus boleh menyebabkan jangkitan yang boleh membahayakan nyawa (walaupun ia jarang-jarang berlaku). [5]
Roti Berkulat Turut Berbahaya untuk Haiwan Peliharaan
Elakkan juga memberi roti yang sudah berkulat kepada haiwan peliharaan anda.
Hal ini demikian kerana mikotoksin yang dihasilkan oleh kulat-kulat tersebut boleh menyebabkan keracunan makanan terhadap haiwan peliharaan anda. [6]
Panduan Menghalang Pertumbuhan Kulat Pada Roti
Umumnya, roti yang tidak mengandungi pengawet mempunyai tempoh simpan sekitar 3 hingga 4 hari jika di simpan pada suhu bilik.
Bagi roti yang dihasilkan secara pukal oleh kilang-kilang pengeluar, roti tersebut lazimnya mengandungi pengawet seperti kalsium propionat dan asid sorbik yang boleh menghalang pertumbuhan kulat.
Bagi anda sebagai pengguna pula, beberapa kaedah berikut boleh membantu menghalang atau melambatkan pertumbuhan kulat pada roti:
- Simpan ditempat yang kering: Pastikan anda menyimpan roti anda dalam bungkusan atau bekas yang kering.
- Hidang dalam bekas tertutup: Sekiranya anda ingin menghidangkan roti, sila gunakan bekas yang tertutup untuk menghidangkan roti tersebut bagi melindunginya daripada spora yang berada di udara.
- Simpan dalam peti sejuk: Menyimpan dalam peti sejuk boleh melambatkan pertumbuhan kulat pada roti. Pastikan juga peti sejuk anda sentiasa bersih.
Rujukan
- Axel, C. et al. (2017). Mold spoilage of bread and its biopreservation: A review of current strategies for bread shelf life extension. Critical reviews in food science and nutrition.
- Wu, F. et al. (2014). Public health impacts of foodborne mycotoxins. Annual review of food science and technology.
- National Cancer Institute. (2018). Aflatoxins.
- Du, K. et al. (2017). Effects of Dietary Mycotoxins on Gut Microbiome. Protein and peptide letters.
- Bhaskar, N. et al. (2017). Rare Opportunistic Bread Mold Fungal Infection of Maxillary Sinus in a Diabetic Patient. International journal of applied & basic medical research.
- Leung, M. C. et al. (2006). Mycotoxins in pet food: a review on worldwide prevalence and preventative strategies. Journal of agricultural and food chemistry.