Kebanyakan mereka yang dijangkiti COVID-19 akan pulih selepas mengalami beberapa minggu yang menyakitkan. Tetapi, ada juga mereka yang mengalami kesan jangka panjang COVID-19 ini.
Kesan jangka panjang COVID-19 ini terdiri daripada pelbagai masalah kesihatan yang dialami lebih daripada 4 minggu selepas dijangkiti oleh virus ini.
Selain itu, mereka yang tidak mengalami sebarang simptom semasa mula-mula dijangkiti oleh virus COVID-19 juga boleh mengalami simptom-simptom pasca COVID-19 ini.
Pakar-pakar masih cuba memahami kesan jangka panjang COVID-19 ini dan mengapa ia terjadi serta siapa yang boleh mengalami kesan ini.
Kesan jangka panjang COVID-19 ini juga turut dikenali dengan istilah “Long COVID” atau sindrom pasca COVID-19.
Simptom-simptom Kesan Jangka Panjang COVID-19
Kesan jangka panjang COVID-19 boleh menyebabkan beberapa simptom yang boleh berterusan berlaku selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan selepas pertama kali dijangkiti.
Kesan jangka panjang COVID-19 ini juga boleh berlaku kepada semua orang yang dijangkti virus ini tidak kira walaupun individu tersebut hanya mengalami gejala yang ringan.
Antara gejala atau simptom-simptom umum kesan jangka panjang COVID-19 (Long COVID) ialah:
Simptom-simptom umum:
- Demam
- Sakit
- Kelesuan
Selain itu, seseorang individu yang mengalami Long COVID boleh juga mengalami simptom-simptom khusus yang melibatkan anggota badan seperti:
Otak & Saraf
- Meracau
- Hilang tumpuan
- Pelupa
- Brain fog
- Gangguan tidur (insomnia)
- Hilang keseimbangan badan
- Kebas
- Lemah kaki
Telinga, Hidung & Tekak
- Sakit tekak
- Sakit telinga
- Hilang deria bau dan rasa
- Telinga berdesing (tinnitus)
Sistem Pernafasan
- Sukar bernafas
- Batuk
Jantung & Pembuluh Darah
- Sukar bernafas atau sesak dada
- Sakit dada
- Berdebar-debar
Perut & Usus
- Sakit perut
- Loya
- Cirit-birit
- Kehilangan atau kurang selera makan
Kulit
- Ruam
Otot & Tulang
- Sakit sendi
- Sakit otot
Psikologi
- Kemurungan
- Rasa gelisah
Kesan COVID-19 Terhadap Organ
Sindrom pasca COVID-19 juga boleh melibatkan kerosakan terhadap kebanyakan sistem badan seperti jantung, buah pinggang, paru-paru, kulit dan juga fungsi otak.
Kerosakan organ-organ ini boleh meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan jangka panjang.
- Jantung. Kerosakan jantung akibat COVID-19 boleh meningkatkan risiko bekas pesakit untuk mengalami kegagalan jantung atau komplikasi jantung.
- Otak. Bekas pesakit COVID-19 berisiko untuk mengalami strok, sawan atau sindrom Guillain-Barre (lumpuh sementara) sekiranya otak mengalami kerosakan. Mereka juga berisiko untuk mengalami penyakit Alzheimer atau Parkinson.
- Paru-paru. Paru-paru yang rosak akibat jangkitan COVID-19 boleh menyebabkan masalah pernafasan jangka panjang.
Bekas pesakit COVID-19 juga berisiko untuk turut mengalami sindrom keradangan multisistem dan penyakit autoimun.
Sindrom keradangan multisistem boleh terjadi terhadap kanak-kanak dan orang dewasa yang menyebabkan beberapa bahagian badan mengalami keradangan atau bengkak.
Autoimun pula ialah penyakit yang berlaku apabila sistem imun badan tersilap menyerang sel-sel badan yang sihat. Akibatnya beberapa bahagian badan akan mengalami bengkak yang menyakitkan.
Rumusan
Simptom-simptom kesan jangka panjang COVID-19 (Long COVID) dan kesan terhadap organ ini boleh menjejaskan kualiti hidup mereka yang dijangkiti virus ini.
Oleh itu, amalkan pemakanan yang sihat untuk menguatkan sistem imun dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi imengelakkan diri dan keluarga anda daripada dijangkiti COVID-19.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Post-COVID Conditions [diakses pada 9 Jun 2021].
- Mayo Clinic Staff. (2021). COVID-19 (coronavirus): Long-term effects. MayoClinic.