Keracunan karbon monoksida berlaku apabila karbon monoksida terkumpul di dalam saluran darah anda. Apabila anda menyedut terlalu banyak karbon monoksida di udara, badan anda akan menggantikan oksigen di dalam sel-sel darah merah dengan karbon monoksida.
Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan yang serius terhadap tisu-tisu badan, malah boleh menyebabkan kematian.
Karbon monoksida adalah gas yang tidak berwarna, tidak berbau dan tiada rasa yang dihasilkan oleh pembakaran gas, kayu, arang, propana atau minyak yang lain.
Keracunan karbon monoksida adalah penyumbang terbesar kepada kematian akibat kebakaran. Kira-kira 30% hingga 40% mangsa keracunan karbon monoksida meninggal dunia sebelum sampai ke hospital. Manakala, bagi yang dimasukkan ke hospital pula, kira-kira 2% daripadanya meninggal dunia, 10% pulih sebahagiannya dan 23% hingga 47% menderita komplikasi terhadap saraf.
Sumber Karbon Monoksida
Gas karbon monoksida terhasil di dalam pelbagai peralatan dan enjin yang membakar minyak seperti:
- Enjin kereta
- Enjin trak
- Enjin kecil
- Dapur
- Tanglung atau lantera,
- Relau
Jumlah gas karbon monoksida yang dihasilkan oleh sumber-sumber ini biasanya tidak perlu dibimbangkan. Tetapi, jika sumber-sumber ini digunakan di tempat yang tertutup dan tertutup sebahagiannya, gas karbon monoksida ini boleh terkumpul ke paras yang berbahaya.
Simptom-simptom
Simptom-simptom dan gejala bagi keracunan karbon monoksida adalah:
- Sakit kepala
- Pening
- Kelemahan
- Loya atau muntah
- Sakit perut
- Sukar bernafas
- Sakit dada
- Kekeliruan
- Penglihatan kabur
- Tidak sedarkan diri
Mereka yang tidur atau mabuk boleh meninggal dunia akibat keracunan gas ini sebelum mereka mengalami simptom-simptom.
Punca
Keracunan karbon monoksida berpunca daripada menyedut asap pembakaran. Apabila terlalu banyak gas karbon monoksida di udara yang anda bernafas, badan akan menggantikan oksigen di dalam sel-sel darah merah dengan karbon monoksida.
Keadaan ini mencegah oksigen daripada sampai ke tisu-tisu dan organ di dalam badan.
Golongan berisiko
Umumnya, semua orang berisiko terhadap keracunan karbon monoksida. Tetapi, terdapat beberapa golongan yang lebih berisiko untuk sakit akibat gas ini.
Antaranya adalah:
- Bayi dalam kandungan
- Kanak-kanak
- Orang tua
- Pesakit jantung yang kronik
- Mereka yang mempunyai masalah pernafasan
- Penghidap anemia (kekurangan darah)
Rawatan
Langkah yang paling awal yang harus dilakukan ialah mendapatkan udara bersih secepat mungkin. Sekiranya, anda atau sesiapa yang bersama anda menunjukkan simptom-simptom keracunan gas ini, buat panggilan kecemasan 999 dengan segera.
Apabila berada di hospital, rawatan yang mungkin diberikan adalah:
- Bernafas menggunakan oksigen tulen. Anda mungkin dirawat dengan oksigen tulen melalui topeng oksigen yang diletakkan di atas hidung dan mulut. Ini membantu oksigen untuk sampai ke organ-organ dan tisu-tisu badan. Ventilator mungkin digunakan jika anda tidak mampu bernafas dengan sendiri.
- Dirawat di dalam kebuk oksigen bertekanan. Lazimnya, terapi oksigen hiperbarik disarankan. Terapi ini melibatkan pesakit bernafas oksigen tulen di dalam kebuk yang mempunyai tekanan udara 2 atau 3 kali lebih tinggi daripada normal. Kaedah ini boleh mempercepat penggantian karbon monoksida dengan oksigen di dalam darah.
Komplikasi
Bergantung kepada tahap dan durasi terdedah kepada gas tersebut, keracunan karbon monoksida boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Kerosakan otak yang kekal
- Kerosakan jantung
- Kematian bayi dalam kandungan atau keguguran
- Kematian
Langkah Pencegahan
Beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mencegah keracunan karbon monoksida adalah:
- Memasang pengesan gas karbon monoksida di rumah. Pasang alat pengesan gas yang mempunyai penggera di tempat yang boleh membangunkan anda.
- Membuka garaj kereta sebelum menghidupkan enjin kereta. Bagi rumah yang mempunyai garaj kereta.
- Gunakan peralatan yang menggunakan gas seperti yang disarankan. Elakkan menggunakan dapur gas untuk memanaskan rumah.
- Pastikan peralatan yang membakar minyak dan enjin di letakkan di tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik.
- Jangan membakar arang ditempat yang tertutup.
- Jangan gunakan generator yang menggunakan petrol di dalam rumah atau tempat tertutup.
- Gunakan pelarut ditempat yang tertutup secara berhati-hati. Pelarut metilena klorida yang biasanya dijumpai di dalam cat atau penghilang varnis boleh mengurai kepada karbon monoksida jika dihidu atau disedut.
Rujukan
- Hanley ME, Patel PH. [Updated 2021 Jul 25]. Carbon Monoxide Toxicity. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Mayo Clinic Staff. (2019). Carbon monoxide poisoning. MayoClinic
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Carbon monoxide poisoning.