Keracunan kadmium boleh berlaku apabila seseorang itu terdedah kepada paras kadmium yang toksik. Mereka yang mengalami keracunan kadmium boleh mengalami gangguan terhadap sistem pernafasan atau pencernaan bergantung sama ada anda menyedut atau menelan bahan tersebut.
Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai keracunan kadmium dan apa langkah-langkah rawatan yang boleh dilakukan.
Apa itu Kadmium (Cadmium)?
Kadmium adalah logam yang digunakan di dalam bateri, sel solar, aloi, pigmen, penyalutan dan penstabil plastik.
Keracunan kadmium boleh berlaku sekiranya seseorang memakan makanan dan meminum air atau menghidu udara yang telah tercemar dengan logam ini.
Siapa yang Terdedah Kepada Kadmium?
Pekerja-pekerja di industri pengilangan dan pembinaan berisiko tinggi untuk terdedah kepada keracunan kadmium. Pekerja mungkin terdedah semasa peleburan dan penapisan logam, pembuatan bateri, plastik, salutan dan panel solar.
Selain itu, pekerja dalam industri atau operasi berikut juga mudah terdedah kepada kadmium:
- Industri kitar semula Ni-Cd
- Penyaduran elektro
- Pemesinan logam
- Kimpalan
- Pengecatan
- Industri kitar semula plastik
- Pengutip sampah
- Pembakaran sisa perbandaran
Tambahan daripada itu juga, merokok juga boleh mendedahkan seseorang kepada kadmium pada jangka masa panjang.
Bagi orang awam, keracunan kadmium boleh berlaku melalui makanan atau minuman tercemar. Ini biasanya berlaku disebabkan oleh industri perlombongan dan peleburan yang mencemarkan tanah atau air berdekatan, membolehkan logam memasuki rantaian makanan.
Antara makanan yang mungkin mempunyai paras kadmium yang tinggi akibat pencemaran adalah:
- Kerang-kerangan (shellfish)
- Organ dalaman (haiwan)
- Ubi kentang
- Beras
- Bijirin
- Cendawan
Gejala atau Simptom-simptom Keracunan Kadmium
Gejala atau simptom-simptom berbeza-beza bergantung kepada bagaimana anda terdedah kepada logam ini.
Sekiranya anda memakan makanan atau minuman yang tercemar dengan kadmium, anda mungkin mengalami simptom-simptom berikut:
- Loya dan muntah
- Cirit-birit
- Sakit perut dan kekejangan
- Tenesmus (desakan yang menyakitkan untuk membuang air tanpa mendatangkan hasil yang memuaskan)
Manakala, bagi anda yang menghidu atau menyedut udara yang mengandungi kadmium pula, anda mungkin mengalami simptom-simptom berikut:
- Batuk
- Sakit dada
- Simptom seperti demam selesema
- Sesak nafas
Simptom-simptom ini boleh membawa kepada komplikasi yang lebih parah seperti edema peparu iaitu pengumpulan cecair di dalam tisu dan ruang udara peparu dan pembekuan darah.
Rawatan untuk Keracunan Kadmium
Rawatan untuk keracunan ini lebih kepada menguruskan simptom-simptom yang berlaku. Sekiranya berlaku keracunan akut, rawatan berikut mungkin diberikan:
- Membekalkan bekalan oksigen
- Memberikan cecair intravena (IV) untuk menghidratkan pesakit
- Menggunakan ventilator
- Melakukan pengurasan gaster (pencucian kaviti atau rongga pada perut menggunakan air atau larutan berubat)
- Menggalakkan muntah sekiranya tertelan kadmium
- Penggunaan antidot (MiADMSA) untuk keracunan logam berat termasuklah kadmium
Bagi kes-kes pendedahan yang berpanjangan (kronik), tindakan pencegahan adalah penting. Beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah:
- Memakai peralatan perlindungan diri
- Memastikan pengudaraan yang mencukupi di tempat kerja
- Memastikan tempat kerja bersih daripada debu
- Elakkan makan dan minum di kawasan kerja
- Membersihkan pakaian dan mandi sebelum keluar daripada tempat kerja
- Sentiasa membersihkan tangan dengan bersih diantara waktu kerja dan waktu makan (waktu rehat)
Kesan Jangka Panjang
Terdedah kepada kadmium pada jangka masa yang panjang boleh mendatangkan kesan buruk seperti kerosakan organ dan menyebabkan kanser.
Antara kesan lain yang boleh berlaku adalah:
- Penyakit paru-paru
- Penyakit buah pinggang
- Masalah sistem saraf
- Masalah sistem imun
- Risiko kanser paru-paru
- Berat lahir rendah
- Tulang yang rapuh
Rujukan
- Coelho, S. (2021). What is Cadmium Poisoning? verywellhealth
- OSHA. (n.d). Cadmium. United States Department of Labor
- Genchi, G. et al. (2020). The Effects of Cadmium Toxicity. International journal of environmental research and public health.
- Rafati Rahimzadeh, M. et al. (2017). Cadmium toxicity and treatment: An update. Caspian journal of internal medicine.