Apakah ubat antiretroviral? Kenapa penting untuk patuh kepada ubat antiretroviral? Ketahui jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut dalam artikel ini.
Apa itu Ubat Antiretroviral?
Ubat antiretroviral adalah ubat yang boleh melawan retrovirus. Ubat antiretroviral lazimnya digunakan untuk merawat penyakit Human Immunodeficiency Virus (HIV).
Ubat antiretroviral berfungsi mengawal pembiakan virus HIV di dalam darah. Rawatan dengan ubat antiretroviral juga berupaya mengelakkan komplikasi jangkitan, membantu meningkatkan jangka hayat pesakit dan menambah baik kualiti hidup mereka.
Terapi rawatan dengan kombinasi ubat antiretroviral dikenali sebagai terapi antiretroviral atau antiretroviral therapy (ART).
Human Immunodeficiency Virus (HIV) merupakan virus yang menyerang sistem pertahanan tubuh dan melemahkan keupayaan pesakit melawan jangkitan.
Tanpa pengesanan awal dan rawatan yang sepatutnya, tahap jangkitan pesakit yang dijangkiti HIV berisiko menjadi lebih teruk hingga pesakit mula menunjukkan gejala Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS).
AIDS yang juga dikenali sebagai sindrom kurang daya tahan penyakit, lazimnya melibatkan jangkitan oportunistik, iaitu jangkitan yang lebih serius dan menyerang tubuh kerana sistem imun menjadi lemah akibat virus HIV.
Secara umumnya, jangkitan HIV tidak dapat dipulihkan sepenuhnya dan virus HIV akan kekal sepanjang hayat di dalam tubuh pesakit yang dijangkiti.
Namun demikian, pengambilan ubat antiretroviral secara berterusan dan janji temu kesihatan secara berkala dapat melambatkan jangkitan HIV daripada memasuki fasa AIDS.
Kepentingan Patuh Kepada Terapi Antiretroviral (ART)
Sebelum memulakan rawatan ART, pesakit akan diberikan kaunseling berkaitan dos, masa dan cara pengambilan ubat antiretroviral.
Selain itu, pesakit akan diterangkan tentang cara tindakan ubat, kesan sampingan dan kepentingan kepatuhan kepada ART.
Kaunseling ini adalah penting bagi memastikan pesakit lebih bersedia untuk memulakan ART dan mematuhi arahan pengambilan serta meneruskannya sepanjang hayat.
Sekiranya pesakit belum bersedia untuk memulakan rawatan ART, pesakit disaran agar berbincang lebih lanjut dengan doktor yang merawat.
Hal ini demikian kerana ART memerlukan kepatuhan dan komitmen yang tinggi daripada pesakit. Tambahan pula, ketidakpatuhan boleh menyebabkan kegagalan rawatan yang seterusnya memerlukan pertukaran regimen ART.
Pertukaran regimen memerlukan kos yang lebih tinggi dan berkemungkinan mengakibatkan kesan sampingan yang lebih serius.
Seterusnya, selepas dimulakan dengan ART, pesakit harus mengambil ubat pada waktu yang sama setiap hari mengikut dos dan kekerapan yang telah diarahkan.
Bantuan seperti fungsi penggera di telefon boleh digunakan untuk membantu pesakit sentiasa lebih peka dan tidak lupa akan masa pengambilan ART.
Selain itu, ubat-ubatan tersebut hendaklah sentiasa dipastikan mencukupi dan dibawa bersama-sama, khususnya apabila pesakit mempunyai urusan yang memerlukan mereka meninggalkan rumah untuk suatu tempoh yang lama.
Pemantauan untuk Keberkesanan Rawatan
Antara ujian darah yang dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan ART termasuklah ujian CD4 dan viral load.
CD4 merupakan salah satu jenis sel darah putih yang menjadi indikator kepada fungsi sistem imuniti badan.
Ujian viral load pula dilakukan bagi mengenal pasti bilangan virus HIV yang masih terdapat di dalam darah.
Bacaan CD4 yang semakin menurun dan bacaan viral load yang semakin meningkat menunjukkan bahawa sistem pertahanan badan semakin lemah dan pesakit akan lebih mudah terdedah kepada jangkitan oportunistik.
Keberkesanan rawatan ART dapat ditunjukkan apabila bacaan viral load di dalam darah berada di bawah paras yang tidak dapat dikesan (undetected) untuk tempoh enam bulan atau lebih.
Salah satu faktor penyumbang kepada keberkesanan rawatan ini ialah kepatuhan pesakit. Sekiranya pesakit tidak patuh dalam pengambilan ubat antiretroviral tersebut, risiko virus HIV untuk bertambah semula akan meningkat.
Virus ini kemudiannya berkemungkinan untuk menjadi rintang kepada ART sedia ada menyebabkan rawatan tidak lagi berkesan.
Kesan Sampingan ART dan Cara Menanganinya
ART berisiko menyebabkan kesan sampingan, terutamanya pada fasa awal selepas dimulakan. Kesan sampingan ini berbeza mengikut jenis ART.
Antara kesan sampingan yang mungkin dialami termasuklah:
- Rasa loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Ketidakselesaan perut
Selain itu, pesakit mungkin mengalami pening, gangguan tidur dan ruam.
Situasi ini kebiasaannya berlaku secara sementara untuk suatu tempoh yang pendek dan akan berkurangan apabila pesakit telah menyesuaikan diri dengan ubat-ubatan yang diambil.
Kesan sampingan boleh menjadi penyebab berlakunya ketidakpatuhan dan seterusnya kegagalan rawatan ART.
Pesakit disaran untuk mendapatkan panduan dan nasihat yang bersesuaian daripada ahli profesional kesihatan seperti doktor atau ahli farmasi supaya kesan sampingan ART dapat diuruskan dengan berkesan.
Dengan meminimumkan kesan sampingan yang mungkin terjadi, kepatuhan pesakit kepada ART dapat ditingkatkan.
Nasihat untuk Pesakit
Sekiranya rutin harian pesakit berubah hingga menimbulkan masalah kepada pengambilan ART, pesakit harus berbincang dengan doktor atau ahli farmasi bagi membantu menyesuaikan waktu pengambilan ART.
Jika mengalami kesan sampingan yang teruk atau berpanjangan, pesakit disaran untuk segera mendapatkan pemeriksaan lanjut dan tidak seharusnya menghentikan pengambilan ART tanpa nasihat doktor.
Kepatuhan atau patuh dalam pengambilan ubat antiretroviral merupakan salah satu faktor yang menentukan keberkesanan rawatan ART. Oleh itu, kepatuhan pesakit kepada rawatan harus sentiasa dititikberatkan.
Panduan yang dapat membantu meningkatkan kepatuhan boleh diamalkan oleh pesakit, di samping mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan tentang langkah terbaik menangani kesan sampingan ART.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).
Nurul Nasrah Mohd Ariffin
Nurul Nasrah Binti Mohd Ariffin merupakan pegawai farmasi di Klinik Kesihatan Padang Rengas, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar.