Apa itu Kencing Tak Lawas?
Kencing tak lawas adalah keadaan dimana pundi kencing anda tidak kosong sepenuhnya atau tidak kosong langsung semasa anda membuang air kecil atau kencing.
Pundi kencing bertindak sebagai tangki yang menyimpan air kencing. Air kencing adalah bahan buangan atau sisa yang telah ditapis daripada darah oleh buah pinggang anda.
Apabila telah ditapis, air kencing akan bergerak menuju ke dalam pundi kencing. Di sini, air kencing akan menunggu sehingga masanya untuk bergerak melalui saluran kencing dan keluar daripada badan.
Apabila anda mengalami kencing tak lawas, ia boleh terjadi secara akut atau kronik. Kencing tak lawas akut bermakna ia berlaku dengan cepat dan boleh menjadi teruk. Manakala, kencing tak lawas kronik pula bermakna ia berlaku dalam satu jangka masa yang lama.
Kencing tak lawas lebih banyak dialami oleh golongan warga emas lelaki berbanding wanita. Dianggarkan sebanyak 30-40% warga emas lelaki mengalami masalah ini. Risiko mendapat gejala ini bertambah dengan peningkatan umur seseorang.
Punca yang Menyebabkan Kencing Tak Lawas
Kencing tak lawas boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah:
1. Penyumbatan
Apabila sesuatu menghalang aliran bebas air kencing melalui pundi kencing dan saluran kencing, anda akan mengalami kencing tidak lawas.
Bagi lelaki, penyumbatan boleh disebabkan oleh pembesaran pundi prostat (hiperplasia prostat benigna) yang menghimpit saluran kencing. Ia adalah penyebab utama kepada masalah kencing tak lawas bagi lelaki.
Bagi wanita pula, beberapa penyebab kepada kencing tak lawas adalah seperti pundi kencing yang menggeleber atau rektum yang menggeleber.
2. Masalah Saraf
Membuang air kecil berlaku apabila otak anda memberitahu otot pundi kencing untuk mengetat. Otak juga akan memberitahu otot sfinkter di sekeliling saluran kencing untuk mengendur. Ini membolehkan aliran air kencing untuk melalui saluran air kencing dan keluar daripada badan.
Apa-apa sahaja yang menghalang laluan dari otak ke saraf yang pergi ke pundi kencing dan saluran kencing boleh menyebabkan masalah ini. Antara penyebab-penyebab isu saraf ini termasuklah:
- Strok
- Diabetes
- Sklerosis berbilang
- Kecederaan pada tulang belakang atau pelvis
- Tekanan pada saraf tunjang
3. Jangkitan atau Bengkak
Bagi orang lelaki, jangkitan pada prostat boleh menyebab bengkak. Bengkak ini akan menyebabkan tekanan pada saluran kencing dan menghalang aliran air kencing.
Selain itu, bagi lelaki dan wanita, jangkitan saluran kencing juga boleh menyebabkan bengkak pada saluran kencing dan pundi kencing yang lemah. Jangkitan ini boleh menyebabkan kencing tidak lawas.
Tambahan lagi, penyakit yang tersebar melalui hubungan seks atau turut dikenali penyakit hubungan jenis boleh menyebabkan bengkak dan menyebabkan kencing tidak lawas.
4. Ubat-ubatan
Kencing tak lawas juga boleh disebabkan oleh sesetengah ubat-ubatan kerana ia boleh mengubah bagaimana pundi kencing berkerja.
Ubat-ubatan tersebut adalah:
- Ubat antihistamin
- Ubat antidepresan
- Ubat antikejang
- Ubat tekanan darah tinggi
- Ubat antipsikotik
- Ubat antikolinergik
- Pengendur otot
- Agen hormon
5. Pembedahan
Ubat yang diberikan sebelum dan semasa pembedahan untuk membuat anda mengantuk boleh menyebabkan kencing tak lawas sejurus selepas pembedahan.
Prosedur seperti penggantian pinggul, pembedahan tulang belakang, pembedahan rektum, pembedahan untuk masalah pelvis wanita, dan pembedahan untuk membuang buasir boleh menyebabkan masalah selepas itu.
Simptom-simptom Lain yang Berkaitan
Simptom-simptom lain yang melibatkan kencing tak lawas mungkin berbeza-beza bagi setiap individu. Bagi anda yang mengalami kencing tak lawas akut, simptom-simptom yang berkaitan adalah:
- Tidak dapat kencing secara tiba-tiba
- Hanya sedikit air kencing yang keluar walaupun pundi kencing penuh
Bagi anda yang mengalami kancing tak lawas kronik pula, simptom-simptom yang berkaitan adalah:
- Sukar untuk keluarkan air kencing
- Aliran air kencing mengecil
- Air kencing tersekat-sekat
- Rasa ingin kencing tetapi tiada air kencing yang keluar
- Air kencing menitis selepas buang air kecil
- Rasa tidak puas selepas buang air kecil
Bagi kencing tak lawas akut, anda perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya terdapat simptom-simptom yang dinyatakan di atas.
Rawatan
Rawatan untuk kencing tak lawas akut dan kronik bergantung kepada puncanya.
Biasanya bagi kencing tak lawas akut, ahli profesional kesihatan akan segera mengeluarkan air kencing dari pundi kencing anda menggunakan kateter.
Mengeluarkan air kencing dari pundi kencing dapat meredakan kesakitan dan membantu mengelakkan pundi kencing dan buah pinggang anda daripada rosak.
Bagi kes kronik pula, ahli profesional kesihatan akan cuba mendiagnosis dan merawat punca sebenar terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun, ahli profesional kesihatan mungkin perlu menggunakan kateter untuk mengalirkan air kencing daripada pundi kencing anda jika penahanan air kencing berterusan atau menjadi teruk.
Ubat-ubatan
Ahli profesional kesihatan mungkin akan menyarankan ubat-ubatan untuk merawat masalah kesihatan yang dialami yang menyebabkan kencing tak lawas. Antaranya adalah:
- 5-alpha reductase inhibitors: Ubat ini diberikan untuk membantu mengecutkan prostat yang membesar. Contohnya seperti dutasteride dan finasteride.
- Alpha-blockers: Ubat ini bagi merawat simptom-simptom pembesaran prostat (hiperplasia prostat benigna) dengan mengendurkan otot di pundi kencing dan prostat. Keadaan ini boleh memudahkan untuk anda membuang air kecil. Contohnya seperti alfuzosin, doxazosin, prazosin, silodosin, tadalafil, tamsulosin dan terazosin.
- Antibiotik: Ubat ini untuk merawat jangkitan yang menyebabkan kencing tak lawas seperti jangkitan saluran kencing dan prostatitis.
Bagi sesetengah orang, ubat-ubat tertentu boleh menyebabkan kencing tak lawas. Sekiranya ubat tersebut menjadi penyebabnya, anda boleh meminta merendahkan dos atau berhenti menggunakan ubat tersebut.
Prosedur Perubatan
Beberapa prosedur perubatan boleh membantu merawat masalah kencing tidak lawas. Antaranya adalah:
- Terapi laser: Terapi ini menggunakan sinaran laser untuk merawat kawasan pembesaran tisu prostat dengan memecahkan penyumbatan dan mengurangkan halangan.
- Cystoscopy: Cystoscopy digunakan untuk melihat ke dalam saluran dan pundi kencing untuk mencari dan membuang penyumbatan seperti batu karang.
- Prostatic urethral lift: Prosedur ini menggunakan implan kecil untuk mengangkat dan memegang prostat jauh daripada saluran kencing agar air kencing dapat mengalir dengan bebas.
- Urethral dilation: Prosedur ini membantu meningkatkan saiz bukaan saluran kencing secara beransur-ansur dengan meregangkan tisu berparut, untuk membantu merawat penyempitan saluran kencing.
- Vaginal pessary: Prosedur ini melibatkan cincin yang dimasukkan ke dalam faraj untuk membantu menghentikan kebocoran air kencing terutamanya bagi kes-kes seperti pundi kencing yang menggeleber atau rektum yang menggeleber.
Pembedahan
Sekiranya rawatan-rawatan lain tidak berkesan, ahli profesional kesihatan mungkin menyarankan pembedahan bagi merawat masalah kencing tidak lawas yang dialami.
Beberapa rawatan ini mungkin termasuk pembedahan untuk:
- Membaiki organ pelvis yang menggeleber
- Membuang sebahagian daripada prostat
- Membaiki penyempitan saluran kencing
- Membuang tumor
- Membaiki pundi kencing yang tidak normal
- Melakukan prosedur pengalihan air kencing untuk mengalihkan aliran normal air kencing keluar dari badan anda
Rujukan
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease. Urinary Detention.
- Cleveland Clinic medical professional.(2021). Urinary Detention. Cleveland Clinic