Laporan berita dan akhbar mengenai rampasan ubat tidak berdaftar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan isyarat bahawa masih terdapat permintaan kepada ubat tidak berdaftar daripada sebilangan pengguna. Persoalannya, kenapa penting menggunakan ubat berdaftar?
Mungkin sesetengah pengguna menganggap isu ini adalah remeh dan tidak penting. Akibatnya, ramai yang terpengaruh dengan iklan-iklan ubat tidak berdaftar atau tuntutan “menggoda” yang dibuat oleh pihak penjual yang tidak bertanggungjawab.
Tambahan lagi, kaedah penjualan secara dalam talian menerusi platform media baharu, seperti media sosial dan aplikasi perbualan dalam telefon pintar memudahkan lagi akses pengguna terhadap ubat tidak berdaftar.
Selain itu, permintaan kepada ubat tidak berdaftar ini turut disumbang oleh tahap kesedaran yang masih rendah tentang kepentingan menggunakan ubat berdaftar dalam kalangan segelintir orang awam.
Justeru itu, pihak KKM sentiasa mendidik masyarakat agar lebih memahami akan kepentingan menggunakan ubat berdaftar.
Apakah Kepentingan Pendaftaran Ubat?
Semua produk farmaseutikal sama ada ubat-ubatan, suplemen kesihatan mahupun sediaan tradisional perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum boleh diimport, dikilangkan atau dijual di Malaysia.
Tujuan utama pendaftaran ubat adalah untuk memastikannya selamat, berkualiti dan berkesan apabila digunakan oleh pengguna.
Ubat yang hendak dipasarkan akan dianalisis melalui pelbagai tahap penilaian dan pengujian berasaskan prinsip kualiti, keberkesanan dan keselamatan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA).
Perkara lain yang turut diberi penekanan ialah pengilangan ubat-ubatan tersebut di dalam premis yang mematuhi Amalan Perkilangan Baik (Good Manufacturing Practice, GMP).
Pengilangan di fasiliti bertaraf GMP dapat memastikan penghasilan produk yang konsisten dari segi kandungan, kualiti dan keselamatannya.
Ciri-ciri Ubat Berdaftar
Setiap produk ubat yang berdaftar dengan KKM mempunyai dua ciri utama iaitu nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram. Kedua-dua ciri ini dipamerkan pada pek pembungkusan produk.
1. Mempunyai Nombor Pendaftaran
Nombor pendaftaran bagi sesuatu produk bermula dengan huruf ‘MAL’, diikuti dengan 8 digit dan diakhiri dengan abjad ‘A’, ‘X’, ‘T’, atau ‘N’.
Abjad ‘A’ bermaksud produk tersebut merupakan Ubat Terkawal. Abjad ‘X’ pula merujuk kepada ubat am atau ubat belian kaunter (over-the-counter, OTC).
Abjad ‘T’ ialah untuk produk sediaan tradisional manakala abjad ‘N’ merujuk produk suplemen kesihatan.
2. Label Keselamatan Hologram
Label keselamatan hologram ditampal pada pek pembungkusan dan dilengkapi dengan beberapa ciri keselamatan.
Label keselamatan hologram yang digunakan pada semua produk yang berdaftar pada masa ini dikenali sebagai label keselamatan hologram FarmatagTM.
Kesan Penggunaan Ubat Tidak Berdaftar
Penekanan kepada pentingnya menggunakan ubat berdaftar tidak lain dan tidak bukan atas faktor keselamatan pengguna.
Penggunaan ubat tidak berdaftar secara berterusan dan tanpa kawalan berisiko menyebabkan kesan yang tidak diingini dan dikhuatiri dapat menjejaskan kesihatan.
Hal ini demikian kerana ubat tidak berdaftar tidak diuji dari segi kualiti dan keselamatannya. Misalnya, ubat tidak berdaftar sudah tentu tidak menjalani ujian logam berat seperti merkuri, plumbum, arsenik dan kadmium.
Pengambilan produk yang mengandungi logam berat melebihi had yang dibenarkan berkemungkinan menyebabkan kerosakan organ utama tubuh, gangguan pada sistem saraf dan fungsi otak.
Bukan itu sahaja, ubat tidak berdaftar juga tidak diuji dari segi kandungan mikroorganisma yang terkandung di dalamnya.
Sesetengah sediaan tradisional yang tidak berdaftar pula didapati dicampur dengan bahan-bahan terlarang. Contoh Ubat Terkawal adalah seperti:
- Dexamethasone (daripada kumpulan steroid).
- Sildenafil (ubat perangsang seks).
- Sibutramine (ubat antiobesiti).
Pengambilan produk tidak berdaftar yang dicemari bahan-bahan terlarang boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Antara contoh kesan sampingan akibat pengambilan produk mengandungi steroid secara berpanjangan adalah:
- Kerapuhan tulang
- Peningkatan gula dalam darah
- Tekanan darah tinggi
- Kegagalan buah pinggang
- Sindrom Cushing
Produk yang dicampur dengan sildenafil dan sibutramine pula boleh mengakibatkan gangguan pada sistem kardiovaskular, serangan jantung dan strok.
Nasihat untuk Pengguna
Pengguna digalakkan untuk menyemak status pendaftaran sesuatu ubat yang hendak dibeli atau digunakan menerusi fungsi “Carian Produk Berdaftar/Bernotifikasi” (atau “Product Search” bagi versi Bahasa Inggeris) yang terdapat dalam laman web NPRA (www.npra.gov.my).
Semakan juga dapat dilakukan melalui aplikasi telefon pintar “NPRA Product Status” dengan memasukkan salah satu daripada input carian, seperti nama produk, bahan aktif atau nombor pendaftaran.
Aplikasi ini boleh dimuat turun daripada “Google Play Store”, “Apple Apps Store” atau “Huawei AppGallery”.
Selain itu, pengguna turut digalakkan supaya sentiasa menyemak ketulenan label keselamatan hologram yang terdapat pada pek pembungkusan ubat setiap kali sebelum membelinya.
Pengesahan ini boleh dilakukan dengan menggunakan aplikasi telefon pintar FarmaChecker. Oleh sebab itu, orang awam disaran supaya membeli ubat daripada penjual yang beroperasi di premis fizikal yang sah seperti kedai farmasi dan klinik. Elakkan membeli ubat melalui penjualan secara dalam talian.
Orang awam juga digalakkan untuk melaporkan sebarang penjualan produk ubat-ubatan yang disyaki tidak berdaftar. Aduan boleh dikemukakan melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM.
Teliti sebelum membeli
Pengguna harus lebih berhati-hati apabila hendak membeli atau menggunakan produk ubat-ubatan.
Pastikan produk tersebut berdaftar dengan KKM bagi memastikan kesan yang diingini dapat diperoleh dan kesan negatif yang memudaratkan dapat dielak.
Ambil langkah proaktif untuk menyemak status pendaftaran produk terlebih dahulu. Iklan dan promosi daripada penjual produk harus dipertimbang sewajarnya agar tidak terpedaya dengan tuntutan yang melampau.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).
Rujukan
- Booklet Ubat Berdaftar untuk Pegawai Farmasi Edisi ke-4 (kemaskini Jan2023)
- Hazlin. (2023). Adakah Ubat Perlu Berdaftar? Kenali Ubat Anda.
Mohamad Farhan Bin Adi Kasuma
En. Mohamad Farhan Bin Adi Kasuma ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Pulau Pinang.